Roslin Sudah bercerai?

Inai masih merah di tiga jari kiri, namun takdir menentukan jodoh jaguh badminton negara, Roslin Hashim, 34, dengan Faizah Mohamad, 32, tidak panjang.

Pasangan pengantin baru itu yang bernikah pada 30 Januari lalu cuma sempat melayari bahtera rumah tangga selama 12 hari apabila mereka bercerai pada 11 Februari lalu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang dirasai Roslin kerana perceraian itu terjadi ketika dia sedang bersiap-siap menghadapi kejohanan badminton Terbuka India pada bulan depan, apatah lagi kedua-duanya belum sempat menikmati detik manis berbulan madu.

Ketika ditemui, Roslin berkata dia melafazkan cerai pada isterinya atas kerelaan sendiri di rumah ibu bapa mentuanya di Puchong, Selangor, sekitar jam 10.50 malam di hadapan mereka.

“Tiada sesiapa memaksa saya melafazkan cerai. Cuma sebelum lafaz itu keluar dari mulut saya, ayah mentua minta saya fikir dulu kerana mereka tidak nampak kami bersengketa, tapi saya yang hidup bersama anaknya lebih memahami mengapa saya membuat keputusan itu.

“Saya hanya melafazkan talak satu kepada dia. Sejak berpisah saya tidak berjumpa lagi dengan dia. Saya pun sudah kembali hidup di rumah bujang saya sebelum ini di Wangsa Maju,” katanya.

“Selepas tiga hari, saya mula terfikir ke arah mana rumah tangga saya ini. Sebabnya, saya terasa seperti tidak dilayan seperti suami, tiada hormat pada saya tetapi saya masih beri dia peluang.

“Selepas seminggu melihat keadaan tidak berubah, saya sedar rumah tangga saya tidak boleh diselamatkan lagi,”

Roslin dan Faizah mengikat tali pertunangan pada 1 November lalu dan jika mengikut perancangan, pasangan itu sepatutnya berkahwin pada 25 Disember tahun lalu. Bagaimanapun, ia terpaksa ditunda kepada 1 Februari kerana Roslin perlu bersiap menghadapi Terbuka Malaysia dan Korea 2009.

Majlis persandingan di rumah pihak perempuan diadakan pada 1 Februari lalu, manakala bertandang di rumah keluarga lelaki di Kampung Sirih, Kota Bahru, Kelantan, pada 8 Februari iaitu tiga hari sebelum Roslin dan Faizah berpisah. Hantaran untuk Faizah RM15,000.

0 comments:

Post a Comment