Sut 'istimewa' dari Lord's Tailor untuk Que


Linda menemani Que ketika sesi 'fitting' sut pengantin.


Loh bertindak selaku pereka yang bertanggungjawab dalam menyiapkan sut 'istimewa' untuk Que sambil diperhatikan oleh Linda.


Linda turut menyumbangkan idea dalam rekaan sut yang bakal digayakan oleh Que.

Bakal pengantin, aktor Que Haidar atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 30, bakal menyarungkan sut kolar Nehru berharga RM2,500 yang menyamai paten atau bentuk sut yang dipakai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, menurut pereka terkenal Robert Loh daripada Lord’s Tailor, sut Que berbeza dari segi stailnya berbanding sut yang dipakai oleh Tun Mahathir.

Sut yang bakal digayakan kepada Que itu merupakan hadiah daripada Loh kepadanya.

“Ini kerana sut untuk Que yang sesuai dipakai olehnya ketika bersanding. Que juga merupakan selebriti pertama yang mengenakan sut seperti ini.

“Yang pasti, kami akan cuba membuat sut ini kelihatan ringkas dan elegan. Kami perlu membuatkan potongan sut tersebut tidak terlalu mengikut bentuk badan Que agar dia tidak nampak terlalu kurus.

“Saya rasa mudah sahaja kerana dia mempunyai ‘square shoulder’. Selepas melihat bentuk badannya, kami mampu membetulkan ukurannya dan menghasilkan sut mengikut permintaannya,” ulas Robert mengenai sut yang menggunakan fabrik ‘Italian Wool’ berwarna krim pilihan Que itu.

Ditanya sebab beliau memilih Lord’s Tailor, Que berkata beliau gemarkan pilihan sut yang cantik yang terdapat di butik tersebut.

Sut tersebut akan dipakai oleh Que ketika majlis persandingannya dengan koreografer Linda Jasmine Hashim, 37, di Bora Ombak, Ampang.

Sementara Linda pula akan mengenakan pakaian pengantin rekaan Saiful Baharin.

Untuk majlis nikah, Linda berkata mereka berdua akan menyarungkan kostum rekaan Datin Sharifah Kirana.

Sementara untuk majlis memotong kek, bakal kedua mempelai ini akan mengenakan pakaian pengantin rekaan Calvin Thoo.

Bertanya mengenai persiapan perkahwinan yang lain, Que berkata, semuanya hampir siap melainkan hanya tinggal perkara-perkara kecil seperti sistem audio, dekorasi, inai, bunga telur yang sedang diuruskan.

Dalam pada itu, mereka berkata kad jemputan sudah mula diedarkan sedikit demi sedikit kepada 400 tetamu.

Jelas Que, beliau pada mulanya hanya mahukan majlis kahwin yang ringkas dan tidak menyangka ia boleh menjadi seperti yang telah dirancang sekarang.

“Saya ingatkan nak buat majlis makan-makan di restoran selepas selesai akad nikah sebab waktu itu saya nak adik-beradik dan keluarga terdekat sahaja yang meraikannya.

“Tetapi, apabila difikirkan semula, saya dan Linda mempunyai keluarga dan mereka ingin melihat kami bersanding.

"Jadi, sebab itu kami fikir untuk membuat majlis nikah dan resepsi secara sederhana,” ulas Que yang tidak sabar dan teruja dengan perkahwinannya yang bakal menjelang kira-kira seminggu lagi.

Pasangan ini akan mengadakan majlis pernikahan dalam taman berkonsepkan Bali. Dalam majlis pernikahan tersebut, Linda akan menerima hantaran berupa sejumlah mas kahwin, sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran tanpa wang hantaran manakala Linda akan membalas dengan sebentuk cincin kepada Que.

Selepas itu, majlis resepsi perkahwinan sebelah pengantin lelaki akan berlangsung pada 15 Mac tahun depan di Padang Awam, Felda Taib Andak, Kulai.

Que berkata beliau akan menjemput 2,500 tetamu.

Pereka Datin Sharifah Kirana sekali lagi ditugaskan membuat pakaian pengantin mereka untuk resepsi kedua itu.

0 comments:

Post a Comment