Anak Riezman kena bedah akibat gegaran

WAJAH pasangan pelakon, Riezman Khuzaimi dan Kartina Ayob kelihatan lesu ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleaneagles Intan, Ampang semalam. Manakan tidak, dalam kesibukan mengejar penggambaran dan urusan kerja lain mereka juga perlu berulang alik ke hospital untuk menjenguk anak bongsu, Ruzain Nars yang baru genap berusia 6 bulan hari ini.

Ruzain sudah lebih sepuluh hari dimasukkan ke wad. Pada mulanya Riezman dan Kartina menyangka keadaan anak mereka yang kerap muntah selepas diberikan susu dan mengalami ketegangan berpunca daripada masalah bronkitis yang pernah dialami sebelum ini. Justeru, mereka terkejut apabila dimaklumkan doktor bahawa Ruzain perlu dibedah segera kerana terdapat darah beku yang perlu dikeluarkan di kepalanya. Keadaan ini disyaki berpunca daripada gegaran ataupun goncangan yang kuat.

“Jika sekarang ini badannya kelihatan berisi, sebelum ini berlebih-lebih lagi. Syukurlah Ruzain kini sudah kembali aktif tetapi dia masih tidak mahu makan. Tidurnya juga tidak nyenyak dan sering tersentak, mungkin akibat trauma,” ujar Kartina yang jelas sugul dengan tragedi yang menimpa keluarganya itu.

Kini, dia dan Riezman menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak berkuasa.

Apa pun, pasangan ini sempat melahirkan rasa terharu kerana ramai rakan termasuk di kalangan artis sudi meluangkan masa untuk datang melawat dan memberikan sokongan. Antaranya Deja Moss, Ahmad Idham serta Den Wahab dan isteri.

Dalam pada itu, Riezman bercadang untuk membawa pulang Ruzain buat sementara waktu bagi menyempurnakan kenduri kesyukuran yang dirancang secepat mungkin.

Kenduri itu bakal berlangsung di rumah baru mereka yang terletak di Kemensah, Ulu Kelang sebagai tanda memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.





kredit: sinar harian

0 comments:

Post a Comment