KAPOWW!!! Atoi The Kultur Boy





Sinopsis KAPOWW!!! Atoi The Kultur Boy

Sebuah keluarga superhero – “keluarga Astromen” berbakti melindungi rakyat Malaysia daripada anasir-anasir jahat. Mereka adalah superhero yang disukai oleh ramai orang.

Atoi, seorang remaja yang sentiasa bernasib malang bercita-cita menjadi seorang superhero. Dia mahu menolong orang dan menjadi kebanggaan ibunya. Namun, dengan keadaan dirinya itu, Atoi sering dibuli dan diperkecilkan oleh gangster kampung, diketuai oleh Faibo. Hanya Aboo, kawan baiknya yang memahami dan menggalakkan misi Atoi. Aboo cuba yang terbaik membantu Atoi untuk mendapatkan kuasa yang sudah lama diidamkannya itu. Aboo banyak merujuk kepada buku-buku komik Spiderman, Superman, Batman dan lain-lain. Dan mereka mencuba pelbagai cara… disengat tebuan, kejutan eletrik, dilanggar keretapi… namun sia-sia belaka, malahan menambahkan kekecewaan dan kesedihan ibunya.

Pada suatu petang, Dolet, kerbau Atoi tiba-tiba hilang kerana lari dari rumah. Dalam keadaan hujan lebat dan ribut petir, Atoi keluar mencari Dolet. Ketika berteduh di bawah sepohon pokok, Atoi disambar petir. Setelah sedar daripada pengsan Atoi memperolehi kuasa superheronya - boleh bergerak sepantas kilat, mata setajam mata pisau…

Dalam masa yang sama, Persatuan Superhero Malaysia sedang mencari superhero baru untuk dilatih. Selepas menyelamatkan Siti daripada Faibo, dan disaksikan oleh Persatuan Superhero Malaysia dan penduduk kampung, Atoi terpilih sebagai superhero baru Malaysia. Atoi kemudiannya mengikut Din Abu (pengurus kepada superhero) ke KL, dan berjanji kepada mereka di kampung, yang beliau tidak akan melupakan mereka.

Atoi Budak Kultur kini menjadi sensasi terkini di KL. Namanya meniti di bibir. Beliau menumpaskan banyak jenayah, lebih pantas dan lebih baik daripada Geng Astromen. Orang ramai menjadikannya idola dan menyayangi beliau. Atoi mengalami kejutan budaya. Beliau menukar namanya kepada Azroy. Atoi kini dikelilingi oleh arak dan gadis-gadis cantik. Sikap berlagak Atoi menyebabkan beliau menghina ibu sendiri yang datang mencarinya di sidang akhbar pelancaran album barunya. Atoi malu dengan ibu yang berbaju kurung, teman wanita dari kampung, dan kawan baik yang bodoh-bodoh alang. Atoi berpura-pura tidak mengenali mereka. Rakyat melihat kelakuan buruknya dan semua orang terkejut. Atoi kehilangan peminat, rakan-rakan, penaja, rumah, kereta lumbanya dalam sekelip mata. Atoi kini dipulaukan oleh semua orang.

Mengetahui Atoi sangat bergantung kepada sejenis minuman popular untuk meransang kuasanya, arahan dikeluarkan oleh kerajaan, jika sesiapa dilihat memberi Atoi minuman tersebut, mereka akan didakwa! Atoi putus asa… beliau kehilangan kuasa, juga keluarga. Beliau sedar kesilapannya tetapi sudah terlambat! Keluarganya telah diculik oleh kuasa jahat, Alakazambo! Superhero lain juga tidak lagi bersamanya, dan tiada siapa mahu membantu.

Mampukah Atoi menyelamatkan keluarganya? Adakah beliau akan memiliki kembali kuasanya? Siapa Alakazambo dengan kuasa sihir jahatnya itu?? Tonton Kapoww!!! untuk memengetahui jawapannya… KAPOWW!!!

0 comments:

Post a Comment