Nabil tak menyesal peluk Irma spontan





AKSI spontan Bintang Paling Popular 2008, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil yang memeluk kekasihnya, Irma Hasmie sebaik diumumkan sebagai pemenang utama Anugerah Bintang Popular kali ini cukup mengejutkan banyak pihak.

Ramai yang tidak menyangka Raja Lawak musim kedua itu berani berbuat demikian di hadapan ribuan penonton yang turut boleh disaksikan secara langsung di kaca televisyen menerusi TV3.

Nabil yang turut berjaya dua kemenangan iaitu anugerah Artis Komedi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular bagaimanapun membuat penjelasan tentang hal itu yang mana Irma sendiri sebenarnya turut terkejut dengan tindakan Nabil.

“Saya peluk dia secara spontan, jadi saya tak menyesal sebab itu merupakan cara saya meluahkan perasaan gembira.

"Lagipun, dia merupakan tempat untuk saya meluahkan perasaan, semasa saya susah dan senang,” kata Nabil selepas majlis tersebut berakhir.

Nabil bagaimanapun sedar perlakuannya itu pasti akan menimbulkan satu kontroversi.“Saya minta maaf kalau apa yang orang nampak itu melampaui batas dan terpeluk di tempat yang salah.

“Selepas ini, saya tidak akan buat lagi, sehinggalah dia menjadi isteri saya,” ujar Nabil yang merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh dua tahun lagi.

Seperti yang disaksikan oleh jutaan penonton, Nabil turut mengaku yang itu merupakan pertama kali dia memeluk Irma.

“Orang pernah cakap meluat tengok saya peluk Irma kat Shopping Complex tetapi saya tak pernah buat pun.

“Saya hanya pernah pegang tangan dan bahunya,” akui Nabil.

Sementara itu, Irma turut meluahkan perasaan terkejutnya kerana tidak menyangka Nabil akan memeluknya.

“Namun, Nabil sudah minta maaf dengan saya kerana tidak sengaja. Lagipun, dia terkesima dan terlalu ‘excited’,” luah Irma yang bergaya anggun dengan pakaian berwarna merah rekaan Betty.

Nabil pula mengenakan sut berwarna sedondon dengan Irma rekaan Michael Shu.

Dengan kemenangan sebagai Bintang Paling Popular 2008, Nabil berjaya membawa pulang hadiah berjumlah lebih RM250,000 berupa kereta Nissan Sylphy 2.0 C berharga RM109,000, barang kemas Rafflesia (RM150,000) dan perabot Empayar Classic (RM30,000).

SENARAI PENUH PEMENANG

*Bintang Paling Popular - Nabil

*Pelakon Filem Lelaki Popular - Que Haidar

*Pelakon Filem Wanita Popular - Maya Karin

*Pelakon TV Lelaki Popular - Rosyam Nor

*Pelakon TV Wanita Popular - Dynas

*Penyanyi Lelaki Popular - Mawi

*Penyanyi Wanita Popular - Dato' Siti Nurhaliza

*Artis Nasyid Popular - Rabbani

*Artis Berkumpulan/Duo Popular - Meet Uncle Hussain

*Artis Komedi Lelaki Popular - Nabil

*Artis Komedi Wanita Popular - Noorkhiriah

*Artis Baru Lelaki Popular - Nabil

*Artis Baru Wanita Popular - Stacy

*Pengacara TV Lelaki Popular - Aznil Hj Nawawi

* Pengacara TV Wanita Popular - Fara Fauzana

*Penyampai Radio Lelaki Popular - Faizal Ismail

*Penyampai Radio Wanita Popular - Fara Fauzana

*Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat - Biduan Jamal Abdillah

kredit: mstar & mr manager

0 comments:

Post a Comment