Amelina diusir dari rumah sewa

Amelina dan suaminya, Reduan Mahamood (menutup muka) berjalan keluar dari Jabatan Agama Islam Perlis selepas membayar denda di Kangar pada tahun 2000 lalu

AWAL minggu ini, kawasan kediaman di Kota Kemuning, Shah Alam menjadi kecoh dan berlaku sedikit 'drama' apabila seorang pemilik rumah hadir bersama para pegawai mahkamah untuk mengusir penyewanya pagi semalam.

Yang menyebabkan peristiwa ini menjadi lebih menarik apabila, penyewa yang dimaksudkan itu adalah bekas penyanyi dangdut Amelina dan suaminya.

Menurut pemilik rumah tersebut, K. Madhavankutty, beliau telah mendapatkan perintah dari Mahkamah Shah Alam setelah Amelina dan suaminya tidak membayar sewa rumah selama dua bulan.

Jurutera Madhavankutty turut hadir bersama pegawai-pegawai Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memutuskan bekalan air dan elektrik di rumah tersebut.

"Perintah mahkamah sudah menetapkan mereka perlu melangsaikan semua tunggakan sewa mereka dalam masa dua minggu, kalau mereka masih gagal juga, kesemua harta mereka akan dirampas." jelas Madhavankutty.

Menurut peguam Arnold Andrew yang mewakili Madhavankutty, suami penyewa rumah itu yang mendakwa dirinya seorang 'Datuk' telah menyewa rumah banglo berkembar yang lengkap dengan perabot dengan sewa RM2,700 sebulan.

"Dia hanya membayar sebahagian sewa untuk bulan pertama dan tiada apa-apa bayaran dibuat untuk bulan ini.

"Salah satu cek yang dikeluarkan kepada anak guam (K. Madhavankutty) semasa berpindah masuk ke rumah ini adalah cek tendang," dakwa Andrew.

Menurut Andrew, mereka terpaksa menunggu lama untuk masuk ke rumah tersebut walaupun puas membunyikan loceng rumah itu, sehinggalah suami penyewa rumah itu datang bersama seorang peguam.

"Bila suami dia sampai baru isteri dia buka pintu dan pada masa itu juga saya terperanjat dan kenal yang isteri dia ialah Amelina," kata Madhavankutty yang juga pemilik itu.

Kata Madhavankutty, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin lengkap berpakaian tudung dan berjubah ketika ditemui pada hari penyanyi dan suaminya itu diusir dari kediaman tersebut.

Menurutnya lagi, pasangan ini bukan sahaja tidak membayar sewa rumah tersebut, bil elektrik dan air juga tertunggak dan jumlahnya telah menjangkau lebih RM 2 ribu.

"Saya tak tahu apa yang mereka buat, saya pernah menyuruh kontraktor TNB untuk potong elektrik di rumah tersebut, tetapi suami Amelina telah mengamuk dan mengancam untuk menembak semua orang.

"Jadi pada hari yang saya datang dengan pegawai-pegawai TNB dan Syabas, mereka masing-masing datang bersama polis bantuan yang lengkap bersenjata untuk mengelak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Elektrik dan air dirumah tersebut telah dipotong pada hari tersebut juga," dakwanya lagi.

Kata Madhavankutty, dia membuat laporan itu bagi memastikan dia tidak kerugian apa-apa dan tidak menghadapi sebarang masalah.

"Saya buat laporan polis sebab saya takut bila mereka pindah, mereka akan ambil semua barang-barang saya yang ada di dalam rumah itu dan saya takut juga kalau-kalau mereka akan rosakkan barang-barang saya." kata pemilik rumah ini.

Menurut cerita Madhavankutty juga, jiran-jiran ada memberitahunya bahawa setiap petang mereka kerap mendengar Amelina menangis.

"Pernah jiran beritahu saya, dia terdengar bunyi seperti Amelina menangis. Malah suami Amelina pernah memarahi jiran tersebut kerana keluar berjalan bersama Amelina.

"Jiran juga ada beritahu saya, yang Amelina sekarang sedang mengandungkan anak mereka yang ke-7," tambahnya lagi.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment