Miller : Antara Modelling Berlakon & Kehidupan


It’s not an easy thing. Dia betul-betul bermula dari bawah, merangkak, berjalan dan berlari merempuh segala halangan bagi menggapai impian. Sikap berani dan berdikari mendewasakan aktor juga model ini. Kini dia sudah boleh berkata: “Now I’m proud with myself”. Sudah lama tidak mendengar cerita dan perkembangan terbaru mengenainya.

Dia antara pelakon dan model yang telah saya kenali hampir 4 tahun lalu. Kami mula berkawan sehingga hari ini selepas dia mengadakan fotografi fesyen dengan Maskulin. Seingat saya ketika itu usianya baru 19 tahun. Memiliki wajah Pan Asia hasil kacukan Cina sebelah ibu dan bapanya berketurunan Arab serta berketinggian 6’1” menjadi pakej lengkap bagi Mohamad Suhaimi Bin Ali Dad Khan atau lebih dikenali sebagai Miller untuk bergelar seorang selebriti.

Hari ini, namanya mula menjadi sebutan, tidak di tanah air sendiri tetapi di negara seberang, Indonesia. Sebelum sesi fotografi ini diadakan, sudah berkali-kali saya memujuk Miller untuk pulang ke Kuala Lumpur. Tapi malangnya dia sering tidak berpeluang disebabkan kekangan waktu. Hampir setiap hari dia terpaksa ke lokasi penggambaran drama, filem dan juga fotografi. Wah! Semakin sibuk dan semakin popular.

Ya! Alhamdullilah, rezeki katanya. Tibalah baru-baru ini, saya menerima mesej di telefon bimbit. Miller menyatakan dia akan pulang ke Kuala Lumpur. Itu pun untuk tempoh waktu yang singkat. Kebetulan pula ketika itu, kami di Maskulin masih mencari calon sesuai yang bakal menghiasi muka depan isu Julai. Tiba hari fotografi, Miller datang ditemani ibunya. Hampir tiga tahun tidak bertemu, dia telah banyak berubah. Hanya penampilan saja tetap sama seperti dulu.

Berseluar pendek dan berbaju kemeja-T, Oh! Dia kelihatan begitu bergaya memakai kaca mata gelap jenama Calvin Klein. Perubahan ketara dapat dilihat pada lenggok percakapannya. Butir-butir kata yang keluar dari mulutnya tidak ubah seperti orang Indonesia. Ngomongnya semakin pintar. Mungkin sudah dewasa dan kerjaya yang diceburi kini juga banyak mengubahnya. Dulu jika ditanya satu soalan, sepatah dua kata sahaja yang keluar dari mulutnya.

Khas untuk pembaca Maskulin, kami tampilkan Miller dengan penampilan lebih elegan dan kemas. Ikuti kisah mengenai kerjaya, teman hidup dan hala tuju masa hadapan pelakon dan model muda ini. Bergelar model dan pelakon di usia muda Miller, namanya mungkin begitu asing dalam industri seni tanah air. Walaupun pernah beberapa kali menjadi pelakon ekstra di dalam filem dan drama, tidak ramai yang mengenali siapa dirinya.

Mungkin juga ketika itu usianya masih muda remaja atau kurang kisah mengenai dirinya ditulis. Dia akui memang tidak ramai yang mengenalinya. Anak jati Kuala Lumpur ini pernah berlakon dalam filem “Sepet”, drama “Gerak Khas”, “Mahligai Gading”, “Kerana Dia” dan “Dilema Wanita”. Berbeza pula di bidang modelling. Dia antara wajah yang sering kali menghiasi iklan televisyen mahupun billboard untuk pasaran tempatan dan juga luar negara. Petronas Merdeka, Honda Civic, McDonalds, Digi, Hotlink, Pepsi, Kit Kat, Twisties dan beberapa lagi antara iklan yang memaparkan wajah kacak ini.

Jika diikutkan, kata Miller lebih selesa dan senang menjadi model iklan daripada berlakon. Ketika masih di Malaysia, tawaran menjadi model iklan tidak pernah terhenti, dan segalanya bermula ketika berusia 16 tahun.

kredit:maskulin

0 comments:

Post a Comment