Rosma selamat lahirkan Muhammad Amzar Danish

Penyanyi Rosmayati Sidik atau Rosma, 24, selamat melahirkan bayi sulungnya, Muhammad Amzar Danish di Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bangi pada pukul 5.35 pagi tadi.

Isteri kepada penyanyi Khairul Nizam Wahi atau Khai ini berkata, bayi lelaki seberat 2.75 kg itu dilahirkan awal dari jangkaannya kerana dia sepatutnya melahirkan anaknya pada bulan hadapan namun kelahirannya pada hari ini (Jumaat) telah cukup 37 minggu.

“Saya rasa gembira dan teruja kerana memang saya nak anak sangat. Apabila dia berada di depan mata, perasaan tu memang lain berbanding saya melihat bayi orang lain sebelum ini.

“Saya tahu selepas ini tanggungjawab saya semakin berat memandangkan saya bukan sahaja perlu memikul tugas seorang isteri malah tugas seorang ibu.

“Harap-harap saya dapat menjadi ibu yang baik,” kata Rosma yang melahirkan anaknya secara normal.

Selepas ini, alumni Akademi Fantasia (AF) musim pertama ini berkata dia akan berpantang selama dua bulan di rumah keluarganya di Kuantan, Pahang.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment