Tewas: Afzan Kecewa, Ruby Dah Jangka


Sungguhpun Afzan A Rahman menjadi pilihan juri pada Pentas Anak Wayang minggu ke-8 tetapi dia terpaksa akur apabila keputusan SMS penonton tidak menyebelahinya. Afzan hanya mendapat 12.10 peratus undian, diikuti satu-satunya peserta Cina, Ooi Nor Wen atau Ruby, sebanyak 6.29 peratus.

Ketika ditemui pada sidang media pengumuman peserta tersingkir semalam, kedua-dua peserta ini tenang menerima keputusan walaupun jauh di sudut hati kecewa kerana tidak dapat mara dalam Anak Wayang.

"Ruby dah cuba yang terbaik. Ruby menyerah 100 peratus kepada penonton untuk menilai. Mungkin tuah tak berpihak pada diri Ruby. Yang penting, disenaraikan dalam Top 5 pun Ruby dah lega.

"Sebenarnya Ruby dah agak akan tersingkir. Tapi Ruby akui mendapat banyak pendedahan apabila menyertai program Anak Wayang ini. Nak jadi pelakon bukannya mudah dan terima kasih kepada Astro," jelas Ruby.

Menyokong pendapat Ruby, Afzan menegaskan penyertaannya dalam Anak Wayang juga adalah satu platform baru kepada dirinya walaupun sudah setahun berjinak-jinak dalam lakonan.

"Afzan tak nafikan, perasaan kecewa tetap ada. Tapi inikan pertandingan secara SMS dan Afzan kena akur dengan apa jua keputusan. Sekurang-kurangnya komen juri profesional dan karyawan seni berjaya menyuntik semangat baru kepada Afzan," ujarnya.

Dalam pada itu, Afzan yang sudah banyak berlakon drama seperti Cinta Yang Indah (RTM2) dan Bonda (TV9) menjawab gosip mengatakan dia perasan bagus.

"Itu hanya desas-desus sahaja. Saya seorang yang agak pendiam dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu. Mungkin ada salah faham di mana-mana tapi saya Ok dengan semua peserta," jelasnya.

Ditanya apakah perancangan seterusnya, Afzan dan Ruby berkata mereka akan meneruskan perjuangan sebagai pelakon yang berwibawa. Mereka ingin terus mengutip pengalaman jika diberikan peluang dan mengucapkan selamat berjaya kepada 3 lagi peserta iaitu Dayana, Hairi dan Hafiz yang mara ke Top 3.

Namun kedua-dua mereka sependapat bahawa Hairi mempunyai potensi untuk menjadi Juara Anak Wayang musim pertama kelak.

kredit:murai.com

0 comments:

Post a Comment