FFM22: Jac, Adik Hadziq, Zahiril Menang!





Percubaan pertama penyanyi Jaclyn Victor membintangi filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita Terbaik menerusi pengumuman yang dibuat pada Majlis Perasmian Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) di Centre Atrium 1, Borneo Hypermall, malam tadi.

Jaclyn yang bagaimanapun tidak hadir telah menewaskan saingannya yang lain seperti Heliza Helmi (Syurga Cinta), Zalina (Jin Hutan), Yasmin Khaniff (Jalang) dan Yuhana Yahya (Histeria). Jac juga telah menerima sorakan yang paling kuat di kalangan peminatnya di negeri itu tatkala namanya diumumkan sebagai pemenang.

Bagi kategori lelaki pula, sekalipun bersaing dengan cukup sengit bersama Radhi OAG yang membintangi filem Antoo Fighter, kemenangan nampaknya lebih berpihak kepada Zahiril Adzim menerusi filem Kami The Movie.


Selain Radhi, Zahiril turut menewaskan Nabil Raja Lawak (Sifu dan Tongga), Isma Yusoff (Setem) dan Faizal Ramli (AF4) (Momok The Movie).


Bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pula, ramai yang sudah menjangkakan bahawa kemenangan akan berpihak kepada Addik Mohd Hadziq yang cukup menyinar dalam filem Syurga Cinta.


Kemunculan Mohd Hadziq di atas pentas sewaktu menerima trofi turut menarik perhatian ramai. Sambil berlari-lari, dia telah melompat dengan penuh kegirangan di sisi Harun Salim Bachik yang menyampaikan anugerah itu kepadanya.


Dalam pada itu, kemenangan Filem Dokumentari Terbaik pula menjadi milik Bumi Pribumi yang dihasilkan Finas bersama Q-Plex Communication, Filem Pendek Terbaik (Permata Bonda/USIM), manakala Filem Digital Terbaik (Aathma/Demaz Entertainment Sdn Bhd).


Bagi Filem Animasi Terbaik pula, Upin & Ipin dan Kawan-Kawan: Kembara Ke Pulau Harta Karun karya Les' Copaque pula tewas kepada My Telatori yang dicetuskan The One Academy oOf Communication Design.


Sungguhpun begitu, filem animasi Geng:Pengembaraan Bermula daripada Les Copaque Karun telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Filem Box-Office yang melebihi kutipan RM6.2 juta.


Bagi kategori Lagu Tema Asal Terbaik pula, ia telah dimenangi filem Jin Hutan menerusi lagu Sayangku Di Sisimu manakala Poster Terbaik pula dimenangi filem seram Histeria.


Majlis Perasmian FFM22 itu telah disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi Kebudayaan, Datuk Josepth Salang Gandum; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masisi Hj Manjun; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Ilyas Ibrahim; Pengerusi FINAS, Dato Wong Kam Hong serta Ketua Pengarah FINAS, Encik Mahyidin Mustakim.


Ramai artis popular dan veteran hadir memeriahkan acara majlis perasmian tersebut. Antaranya Scha Al-Yahya, Liyana Jasmay, Farid Kamil, Hans Isaac, Afdlin Shauki, Que Haidar, Sharifah Sofea, Maimon Talib, Imuda, Datuk Jins Shamsuddin, Datuk Maria Menado, Datin Rosnani Jamil serta Seniwati Mariani Ismail.


Acara itu turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan tarian tradisi yang menarik seperti Tarian Daling-Daling dan Igal-Igal, manakala aktres jelita Sazzy Falak bersama penyanyi lagu folk Abu Bakar Ellah pula bertindak sebagai pengacara majlis itu.


Perasmian majlis itu ditutup dengan acara Tayangan Perdana filem terbaru, Papadom arahan Afdlin Shauki dan Pisau Cukur arahan Bernard Chauly di pawagam GSC 1 Borneo.

kredit:murai.com

0 comments:

Post a Comment