Erra Tak Sabar Nak Shopping


Kalau sesetengah selebriti, kedatangan bulan Ramadhan memang dinanti-nanti kerana inilah masanya untuk mereka mengurangkan aktiviti seni. Malah, ada sesetengah itu langsung tidak mahu diganggu. Tetapi berbeza dengan Erra Fazira, pada bulan Ramadhan ini dia masih tidak dapat melarikan diri daripada jadual kerjanya. Hendak tahu apa yang disibukkan oleh ibu kepada Engku Aleesya ini?

Ditemui semasa majlis berbuka puasa anjuran Suria Records baru-baru ini Erra memberitahu yang dia sekarang ini sibuk dengan proses rakaman album terbarunya. Setakat ini dia sudah pun berjaya merakam tiga buah lagu. Menurut Erra, jika tiada sebarang masalah, albumnya itu akan berada di pasaran sebelum tahun hadapan.


“Selain sibuk dengan proses rakaman album, saya juga akan terlibat dengan penggambaran telemovie ‘Bonanza’ selama seminggu (jika mengikut perancangan, penggambaran sudahpun bermula pada 30 Ogos lalu). Dalam masa yang sama, seperti ibu-ibu yang lain, saya juga sibuk menguruskan rumahtangga. Tetapi setakat ini saya tidak menghadapi sebarang masalah dengan Aleesya. Bulan puasa ini pun ok sebab Aleesya tidak lagi bangun malam. Jadi, saya tidak ada masalah untuk bersahur. Waktu berbuka pun sama, selalunya Aleesya sedang tidur waktu itu,” cerita Erra kepada pihak media yang hadir.

Dalam masa yang sama Erra turut mengakui minggu pertama berpuasa pada tahun ini badannya terasa agak lemah sedikit.

“Mungkin kerana setelah melahirkan anak agaknya. Saya pun tidak tahu mengapa. Tetapi tidaklah sampai menjejaskan kesihatan saya. Cuma saya terasa perbezaannya setelah bergelar ibu. Selain daripada itu, pengalaman berpuasa saya tidak jauh bezanya dengan tahun-tahun terdahulu.

"Cuma sekarang ini saya tengah menahan nafsu daripada membeli-belah. Dalam kepala ini sudah terbayang-bayang macam-macam barangan keperluan Raya yang perlu dibeli. Bukan apa, saya teruja untuk membeli pakaian raya untuk Aleesya. Maklumlah, tahun ini kami akan beraya di banyak tempat, ” tambah Erra yang menggemari hidangan murtabak untuk berbuka puasa ini.

kredit:gua.com.my

0 comments:

Post a Comment