Norman serik hebohkan jumlah kutipan ‘Jin Notti’




PERANG psikologi yang ditimbulkan kepada peminat filem Melayu pastinya membuatkan mereka tak keruan untuk menonton filem ‘Jin Notti’ atau ‘Momok The Movie’.

Produser ‘Jin Notti’, Norman Abdul Halim akui kontroversi kutipan filem siapa yang lebih tinggi bukanlah sengaja dilakukan hasil pakatan pihaknya dan pengedar ‘Momok The Movie’, David Teo.

Baginya, setiap filem mempunyai tarikan berbeza. Ujar Norman, “‘Jin Notti’ lebih untuk mengumpul kaum keluarga manakala ‘Momok The Movie’ lebih banyak menarik golongan remaja yang sukakan cerita hantu.”

Kutipan filem ‘Jin Notti’ tak semestinya berjaya menarik penonton untuk menonton filem itu sebaliknya Norman turut memikirkan tentang inisiatif lain untuk mempromosikan filem itu.

Menurut Norman, selain mengeluarkan jumlah kutipan, dia percaya yang cara membawa pelakon utama ‘Jin Notti’ iaitu Fara Fauzana dan Mawi ‘turun padang’ beramah mesra dengan penonton juga boleh menjadi alternatif untuk menarik penonton datang ke pawagam menonton filem itu.

Selain itu, Norman mewakili KRU Studios menjemput semua peminat ‘Jin Notti’ untuk menghadiri majlis jamuan Hari Raya bersama para pelakon filem itu pada 3 Oktober ini, mulai pukul 2 hingga 5 petang di Berjaya Times Square, Bukit Bintang.

“Aktiviti ini sebagai responsif kepada aktiviti semasa dan untuk menggalakkan penonton menonton filem ini.

Dalam pada itu, Norman turut mengulas sebalik kontroversi antara ‘Jin Notti’ dan ‘Momok The Movie’.

Kontroversi itu timbul akibat daripada Pengarah Urusan Metrowealth Movies Production (MMP) itu mendakwa kutipan 'Momok The Movie' selepas lima hari ditayangkan berjaya mengaut sebanyak RM1.25 juta berbanding 'Jin Notti' RM1.1 juta. Kedua-dua filem ditayangkan kepada umum sempena 1 Syawal lalu.

Norman akui dia tidak malu bertelagah dengan David demi mempertahankan kebenaran yang kutipan ‘Jin Notti’ lebih tinggi daripada ‘Momok The Movie’ setakat ini.

“Saya tidak rasa malu kerana saya tidak boleh berdiam diri tentang hal ini.

“Niat saya bukanlah untuk menjatuhkan David tetapi lebih untuk mempertikaikan apa yang diuar-uarkan itu tidak benar kerana ia melibatkan strategi pemasaran.

“Saya mendapat tahu kutipan ‘Jin Notti’ melebihi ‘Momok The Movie’ berdasarkan sumber rasmi dan tidak rasmi.

“Saya tak nak beritahu siapa sumber itu kerana takut ada pertikaian pula.

“Setakat semalam, saya mendapat tahu yang jumlah kutipan filem kami juga telah mencecah lebih RM2 juta.

“Harap-harap filem ini akan mencapai sasaran RM3 juta kerana filem ini telah pun dilanjutkan tempoh wajib tayang sehingga 30 Oktober ini.

“Jika melihat kepada kutipan sekarang, saya rasa ada kemungkinan untuk mencapai RM3 juta,” ujar Norman dengan penuh bersemangat.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment