9 pasangan selebriti bakal gamatkan pentas Sehati Berdansa 3














Setelah proses pencarian dan penelitian dibuat oleh pihak Astro sejak bulan April lalu, sembilan pasangan suami isteri ini akhirnya dipilih untuk menyertai musim baru program realiti berbentuk tarian ini dan mereka adalah pelakon Anita Baharom dan suaminya, Mohamad Ismadi; pelakon Didie Alias dan Nor Isham; pelakon Dira Abu Zahar dan Ash; pelakon Enot dan Zainul Abidin; penyanyi Isma AF dan Zulkefli Majid; bekas pemain hoki kebangsaan Mirnawan Nawawi dan Noorah Mokhsin; penyanyi kumpulan Lips, Oshin dan Mohd Firdaus; pengacara dan pelakon, Sazzy Falak dan Nazril Idrus; serta penyanyi Syed Hussein (Sein Ruffedge) dan Noor Diyana.

Kesemua pasangan selebriti ini akan dibimbing oleh koreografer masing-masing yang terpilih pada musim ini iaitu Bayu yang akan membentuk persembahan untuk pasangan Sein, Emma (Anita), BB (Didie), Ezrey (Dira), Anuar (Enot), Markyong (Isma), Dayana (Mirnawan), Lilly (Oshin) dan Papa J (Sazzy).

Sembilan pasangan selebriti ini telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan persembahan terbaik pada setiap minggu di atas nama badan-badan kebajikan yang terpilih.

Pasangan yang tersingkir pada setiap minggu akan menyumbangkan wang tunai terkumpul kepada badan-badan kebajikan masing-masing yang mereka wakili. Jumlah wang akan meningkat selagi pasangan itu masih kekal di dalam pertandingan tersebut.

Badan-badan kebajikan yang terlibat bagi musim ini ialah Persatuan SLE Malaysia (Anita), Persatuan Epilepsi Malaysia (Didie), Persatuan Thalassemia Malaysia (Dira), Yayasan Paru-Paru Malaysia (Enot), Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (Isma), Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan (Mirnawan), Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (Oshin), Persatuan Parkinson Malaysia (Sazzy) dan Persatuan Albinisma Kuala Lumpur dan Selangor (Sein).

Mengulas mengenai pemilihan sembilan pasangan selebriti ini, kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, dia akui ramai selebriti lain pernah menyuarakan hasrat untuk menyertai program popular ini.

Namun, kata Khairul, pihak penerbitan perlu meneliti banyak perkara sebelum memilih peserta-peserta yang akan menyerikan Sehati Berdansa musim terbaru ini.

Banyak perkara yang perlu kami ambil kira antaranya tujuan mereka ingin menyertai program ini, sama ada ikhlas atau tidak.

"Dan yang paling penting ialah komitmen mereka terhadap program ini kelak kerana mereka perlu mengorbankan kerja mereka untuk berlatih menari dan melawat rumah kebajikan yang mereka wakili.

"Lebih kurang 30 pasangan selebriti telah kami letak dalam senarai pendek dan akhirnya kami memutuskan untuk ambil sembilan pasangan saja. Setiap tahun, kami tidak pernah meletakkan bilangan tertentu berapa peserta yang akan diambil.

"Kali ini, setelah mengadakan perbincangan dengan pihak produksi, kami merasakan nombor sembilan adalah bagus dan disebabkan itu kami memilih sembilan peserta berbanding musim-musim terdahulu yang lebih ramai," kata Khairul.

Menurutnya lagi, semua pasangan selebriti itu telah mula memberikan komitmen terhadap Sehati Berdansa sebelum bulan Ramadan lalu yang mana mereka telah terlibat dengan penghasilan promo program ini.

KOMEN PESERTA:

Sazzy:

"Pihak Astro sebenarnya sudah 'approach' saya dan Nazril sejak musim pertama lagi, tetapi saya tidak mahu. Musim ini juga mereka sekali lagi hubungan kami, tetapi tetap saya mengatakan tidak. Mereka cuba juga dapatkan kami, kali ini menerusi seorang produser yang rapat dengan kami iaitu.

"Saya kemudiannya menghubungi Kak Vee (Vanidah) dan tanya kenapa dia dan suaminya sertai Sehati Berdansa dulu. Dia akui program ini bagus dan dia sendiri rasa ingin lakukan sekali lagi. Akhirnya setelah berfikir, kami pun bersetuju untuk sertai."

Isma AF:

"Ketika di Akademi Fantasia dulu, saya hanya belajar asas-asas tarian saja, tetapi sedikit-sebanyak saya rasa ia mampu membantu saya dalam program ini. Apa yang saya lihat, Sehati Berdansa ini amat bagus kerana dapat meluangkan masa yang lebih dengan pasangan masing-masing."

Didie Alias:

"Dulu kami asyik ketawakan aksi pasangan yang masuk sehati Berdansa. Tak sangka pula kali ini Astro hubungi kami dan ajak kami sertai musim terbarunya kerana menurut Astro, mereka ingin menyuntik elemen humor dalam musim ini. Mulan-mulanya, suami agak keberatan untuk sertai.

"Tetapi setelah kami melawat badan kebajikan yang bakal kami wakili baru-baru ini, kami lebih bersemangat untuk sertai. Apa yang pasti, kami tidak mahu terlalu memikirkan tentang persaingan."

Mirnawan:

"Ini adalah satu peluang yang baik untuk saya dan isteri luangkan masa yang banyak antara satu sama lain kerana sebelum ini masing-masing memang sibuk dengan urusan sendiri...saya sibuk di padang hoki dan isteri pula sebagai pramugari.

"Pada masa yang sama, kami juga gembira kerana dapat beramal kepada mereka yang memerlukan. Sememangnya ini adalah satu cabaran baru buat kami. Kami akan cuba lakukan yang terbaik dan selebihnya terserahlah kepada juri dan penonton."

Enot:

"Saya adalah peserta yang 'terkecil' dan paling 'comel' dalam program ini. Apapun, saya tidak terfikir langsung tentang kemenangan. Apa yang saya dan suami lakukan ini adalah untuk kebajikan dan sekaligus untuk habiskan masa bersama kerana selama ini kami asyik sibuk bekerja saja."

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment