Nora Danish: Orang Ingat Saya Lembut, Boleh Pijak Kepala Saya!



JIKA dulu, pelakon Nora Danish selalu mengambil langkah ‘selamat’ dan mendiamkan diri saat disoal tentang kisah peribadi seperti kontroversi penceraiannya.

Biar apa pun helah media, dia tetap tidak mahu memberikan komen dan terus-terusan membuat penafian sehingga terungkainya kebenaran.

Lantas, apabila tercetusnya isu dia tidak profesional dan menarik diri dari drama ‘Spa Qistina’, mudah pula Nora memberikan penjelasan sebenar.

Perubahan ketara Nora yang semakin berani bersuara itu 'menjerat' dirinya dan ramai pihak mula 'membuka mata' untuk mengetahui sebalik isu itu.

Isunya, Nora telah membuat perjanjian dengan produser Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa agar tidak mempertemukan dirinya dengan pelakon Fasha Sandha, yang didakwa menjadi orang ketiga penceraiannya dengan bekas suami, Rizal Ashram.

Namun, Nora menganggap pihak produksi telah melanggar perjanjian itu setelah mendapati Fasha berada di lokasi penggambaran yang sama. Cara Fasha yang sedang bersolek dan membaca skrip di tangannya menimbulkan rasa curiga Nora yang pada waktu itu belum selesai berlakon lagi.

“Apabila sesuatu perkara itu menyentuh tentang prinsip dan harga diri, saya akan cuba pertahankannya.

“Sebelum ini, orang ingat saya lembut, jadi orang boleh pijak kepala saya. Sedangkan orang tak tahu yang saya seorang yang tegas,” ujarnya yang mula menjalani pengambaran filem terbarunya ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’ sejak semalam.

Kesan daripada insiden itu, Nora berpendapat mungkin ada sesetengah produksi yang takut untuk mengambilnya berlakon.

Namun, ada juga pengarah dan produser yang masih setia menyokongnya seperti Adam Hamid dan Aziz M. Osman.

“Ramai juga yang masih percayakan saya lagi. Misalnya Abang Adam Hamid meyakinkan kepada sesetengah produser yang Nora tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya,” katanya yang melakonkan watak sampingan bernama Seha dalam filem ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’.

kredit: mstar

0 comments:

Post a Comment