Liyana Jasmay Jelas Isu Restoran Terlalu Mahal


PELAKON dan penyanyi Liyana Jasmay menafikan Restoran Ikan Sungai di Desa Melawati yang didakwa menjual makanan terlalu mahal itu adalah miliknya.

Sebaliknya restoran yang terkenal dengan menu 10 jenis ikan sungai itu merupakan milik bapanya, Jasmay Shah, 56, yang diusahakan di bawah syarikat Besta Corporation Sdn Bhd sejak November 2008.

Oleh sebab itu, gadis berusia 20 tahun ini berkata dia tidak layak untuk menjawab isu harga makanan yang dianggap mahal di restoran itu.

"Saya tidak layak memberikan komen kerana restoran itu tiada kena-mengena dengan saya. Jadi, saya tidak tahu kenapa harga makanan di restoran itu terlalu mahal.

"Tetapi saya memang tahu yang harga makanan di situ agak mahal. Nasihat saya, kalau rasa restoran itu mahal, jangan paksa untuk datang makan di situ...," jawab Liyana atau lebih mesra dengan panggilan Nana ini.

Jelas Liyana, dia menganggap mungkin harga makanan di situ agak mahal kerana jenis ikan sungai yang digunakan.

"Saya sekeluarga memang penggemar ikan sungai. Kami pernah makan ikan sungai di sebuah restoran di Pahang. Harga makanan di restoran itu juga mahal kerana menggunakan ikan-ikan sungai yang segar.

"Walaupun harganya mahal, kami tetap berpuas hati kerana ikan itu memang sedap.

“Sama seperti restoran bapa saya, ia lebih menjual makanan Melayu kampung seperti ikan-ikan sungai segar yang jarang ada di setengah restoran lain.

“Lagipun restoran bapa saya bukan seperti gerai di tepi jalan,” kata pelakon filem Papadom ini.

Tambah penyanyi lagu Aku Tak Percaya Cinta ini lagi, “Mungkin orang ingat makanan Melayu ni murah dan makanan barat adalah mahal.”

Dalam pada itu, ibu Liyana, Habsah Simpon, 52, yang lebih arif tentang restoran milik suaminya itu berkata harga makanan mahal disebabkan oleh kesukaran mendapatkan ikan-ikan sungai dari Sungai Pahang dan Sungai Perak itu.

“Ikan-ikan sungai ini merupakan ikan sungai liar yang segar dan bukannya ikan yang dibela dalam sangkar.

“Restoran itu dibuka untuk peminat-peminat ikan sungai. Antara ikan sungai yang boleh didapati di restoran ini adalah Ikan Nanas, Ikan Tengalan, Ikan Kerai dan Ikan Sebarau.

“Ikan Patin pun ada pelbagai jenis dan lebih mahal. Ikan lain yang mahal iaitu dicaj RM35 per 100gm untuk seorang makan seperti Ikan Tengalan, Ikan Sebarau dan Ikan Kerai,” jelas Habsah.

Walaupun mahal, namun restoran itu menjanjikan makanan yang sedap dan menyelerakan dengan menu istimewa seperti ikan masak asam, ikan masak tempoyak, ikan goreng, ikan bakar termasuk beberapa jenis masakan kampung yang lain oleh Chef Kamarul Arifin.

Chef Kamarul merupakan rakan baik selaku rakan kongsi perniagaan di restoran itu.

Di restoran itu juga terdapat poster gambar dan maklumat 10 jenis ikan sungai untuk tujuan pendidikan.

kredit : mstar

0 comments:

Post a Comment