Chef Wan Restui Serina & Salahuddin


"Ya saya restui mereka." Begitulah pengakuan Chef Selebriti Terbaik Dunia, Chef Wan apabila ditanya tentang penerimaannya terhadap jejaka Inggeris yang menjadi pilihan anaknya, Serina Redzuawan, 26. Lelaki bertuah itu adalah Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya, Salahuddin Ghaffar, 33.

Bukan itu sahaja, Chef Wan juga membenarkan murai.com.my menyiarkan wajah bakal menantunya itu yang semakin mesra dengan keluarganya.

Salahuddin yang menjawat tugas sebagai Pengarah Urusan Football Focus Sdn. Bhd, berdarah kacukan Inggeris-Irish. Beliau yang berasal dari England turut hadir meraikan sambutan Hari Bapa buat Chef Wan pada Jun lalu dan mereka bagaikan tidak sabar-sabar menantikan hari bahagia yang bakal menjelma kelak.

Kata Chef Wan majlis pernikahan Serina itu akan berlangsung pada tanggal 01.01.2010 di Masjid Wilayah Jalan Duta manakala acara persandingan akan dibuat di Royal Chulan Hotel Kuala Lumpur pada hari berikutnya.

"Mungkin sudah sampai masanya saya menerima calon menantu atau bakal suami untuk anak saya Serina. Saya gembira kerana Salahuddin dan Serina saling mencintai dan bersedia untuk menjadi pasangan suami isteri.

"Bagi majlis yang sangat bermakna untuk keluarga kami itu, saya serahkan segalanya kepada rakan karib saya, Datin Seri Faridah Hashim (bekas isteri Datuk Seri Effendi Norwawi). Manakala untuk rekaan pelamin saya gunakan khidmat Datin Linda Rahim. Maklum sajalah mereka lebih arif dalam soal kenduri kendara dan saya pula terlalu sibuk dengan bermacam program masakan.

"Baju nikah dan bersanding pun sudah ditempah. Sebenarnya ada pihak yang ingin menaja baju pengantin anak dan calon menantu saya itu tapi saya telah menolaknya dengan baik. Tak apalah, ini adalah perkahwinan anak saya sendiri dan biarlah kita menguruskannya," kata Chef Wan yang memilih busana rekaan Radzuwan Radziwill dan Ridz.

Chef Wan bagaimanapun berkata majlis itu lebih bersifat kekeluargaan dan bukan majlis persandingan untuk bergelar Wedding of The Year sebagaimana yang pernah dibuat oleh selebriti lain. Sebelum ini dalam laporan media, Chef Wan telah menetapkan wang hantaran belanja untuk Serina sebanyak RM30,000.

"Kita hanya buat apa yang sesuai untuk keluarga, sahabat handai serta mengundang pihak media. Mungkin untuk sekitar 650 tetamu saja. Yang penting, kita doakan saja agar semuanya berjalan dengan lancar dan selamat nanti,"

kredit:murai

Irma Hasmie Tak Lupa Hanie




Raya tahun ini pasti lebih istimewa buat Irma Hasmie jika Hanie masih ada di sisi. Tetapi apakan daya. Dua bulan selepas bergelar ibu, terpaksa dipulangkan anak angkatnya itu kepada keluarga kandungnya.

Sejak itu, tidak lagi mendapat khabar dari mereka. Bila cuba dihubungi, mereka sudah menukar nombor telefon.

Pengalaman menjaga Hanie tidak akan dilupa buat selamanya. Mendapatnya ketika dia baru berusia kurang dari satu minggu, Irma, walaupun tiada sebarang pengalaman, bersedia mengalas tanggungjawab sebagai ibu.

"Masa tu tak tidur malam lah sebab nak melayan dia. Setiap jam dia akan terjaga, nak susu. Bila siang, dia baik. Malam je dia seperti nak 'attention' dari kita. Tapi best pengalaman itu," ceritanya.

"Mulanya takut juga jika tiada masa nak jaga dia. Sebab tu saya tak ambil tawaran lakonan, cuma buat 'hosting' saja untuk TV9. Itupun saya bawa dia bersama ke Sri Pentas."

Dedah Irma, selepas itu pernah dia ditawarkan untuk mengambil anak angkat yang lain tetapi ditolaknya.

"Saya cuma nak baby itu," katanya tersenyum. "Lepas ni, nak jaga anak sendiri pula."

Pasti ramai yang menunggu hari perkahwinan Raja Lawak Nabil bersama puteri jelita kesayangannya. Sebelum ini, Nabil pernah menyatakan buat masa terdekat ini masing-masing sibuk dengan kerjaya di samping mengumpul duit untuk pernikahan mereka nanti. Tambah pula, Nabil sedang menyiapkan rumah untuk orang tuanya dan adiknya akan berkahwin pada Disember ini.

Sejak bermulanya puasa, belum lagi mereka berpeluang berbuka bersama. Jika Nabil sibuk dengan penggambaran 'Sonata Labu Labi', Irma pula sudah memulakan kerja untuk musim kedua 'Awan Dania'.

"Tak tahu bila (nak berbuka bersama). Tapi dia habis shoot dua minggu sebelum Raya."

kredit:gua.com.my

saluran khas 'SITI' di astro



sempena meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-52, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza diberikan penghormatan oleh Astro dengan menampilkan saluran khas 'SITI' yang boleh disaksikan secara percuma di saluran 188.

Selama dua hari tanpa henti bermula 30 Ogos ini pada pukul 8 malam sehingga 31 Ogos, jam 11.59 malam, saluran istimewa SITI ini bakal menyiarkan rakaman konsert Satu Datuk Siti Nurhaliza yang telah diadakan di Istana Budaya pada Jun lalu sebagai siaran utamanya.

Turut akan ditayangkan menerusi saluran itu ialah Konsert Siti Nurhaliza Fantasia dan video muzik penyanyi tersohor itu.

"Saya memang terharu sangat kerana dalam ramai-ramai artis, saya yang dipilih oleh Astro untuk bekerjasama bagi menghasilkan saluran SITI ini. Bagi saya, saluran ini memang amat istimewa kerana buat pertama kalinya, konsert Satu akan ditayangkan di televisyen.

"Bagi saya, konsert itu memang 'kena' dan bersesuaian dengan Hari Kemerdekaan kerana sedikit sebanyak ia turut menyahut seruan 1Malaysia.

"Apapun, saya memang bersyukur kerana ini merupakan satu penghargaan dan pencapaian yang baik dalam karier saya," kata Siti pada satu temubual khas bersama media di Astro, semalam.

Menurut Siti, walaupun saluran istimewa itu hanya menemui penonton selama dua hari, namun, katanya, ia sedikit sebanyak mampu menjadi platform yang baik untuk sebarang perancangan lain pada masa depan.

"Kalau ikutkan, memang syok ada saluran sendiri sepanjang masa. Tapi macam syok sendirilah pulak...Tapi kalau ada tawaran, apa salahnya kan. Bukannya apa, kalau ada saluran sendiri, banyak yang boleh dikongsi dengan penonton

"Lagipun saya sendiri ada menerbitkan program sendiri, mungkin boleh buat 'gameshow'...macam-macamlah. Apapun, saya sudah cukup gembira dengan saluran khas selama dua hari ini.

"Bagi saya, ini adalah satu permulaan," tutur Siti yang menambah, kandungan program di dalam saluran itu merupakan perbincangan bersama antara dia dan pihak Astro.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, idea untuk menghasilkan saluran istimewa itu tercetus kerana merasakan ia bersesuaian dengan bulan kemerdekaan.

"Kita memang dari awal lagi memilih Siti setelah melihat kejayaan konsert SATU tidak lama dulu. Dan konsert itulah yang akan menjadi siaran utama dalam saluran ini selain program-program lain.

"Memandangkan juga Hari Kemerdekaan disambut dalam bulan Ramadan, kami kena mengambilkira banyak perkara.

"Kami merasakan saluran SITI ini memang sesuai untuk Ramadan kerana masa siarannya juga fleksibel untuk penonton pilih.

"Malah, selain konsert SATU, kami juga akan menyiarkan Konsert Fantasia Tour Siti di Bukit Jalil pada tahun 2004 di samping video muziknya berselang-seli secara bonus.

"Ini adalah hadiah istimewa Astro kepada pelanggan-pelanggan setia kami," kata Khairul yang menambah, program-program dalam saluran itu akan diulangtayang mengikut jadual yang ditentukan.

Ditanya sama ada idea ini mungkin akan diteruskan dengan membabitkan artis-artis lain pula kelak, kata Khairul, semuanya bergantung kepada acara dan artis itu sendiri.

"Kita kena lihat kepada kapasiti yang kita ada...bergantung kepada artis dan acara itu sendiri. Jika kita merasakan ia sesuai, kita akan ketengahkah," tambahnya lagi.

kredit:mstar

Lydiawati tidak hadir failkan kes hina mahkamah terhadap bekas suami

Aktres Lydiawati gagal tampil di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam di sini untuk menfailkan kes menghina mahkamah terhadap bekas suaminya, Datuk Azhar Mohd. Zar.

Pada 5 Mei lalu, Azhar melafazkan cerai talak satu terhadap Lydiawati di hadapan Hakim Syarie, Mohamad Fauzi Ismail di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada pukul 11.47 pagi.

Bekas suami pelakon itu diperintah Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat supaya memulangkan semula semua barang perkakas perkahwinan bernilai RM67,000 serta membayar nafkah edah, mutaah dan tunggakan nafkah berjumlah RM36,000.

Bagaimanapun, difahamkan Azhar masih belum menurut arahan mahkamah tersebut sehingga hari ini.

Menurut peguam Lydiawati, Norazmi Mohd. Arif, dia tidak boleh mewakili anak guamnya (Lydiawati) memfailkan kes tersebut dan dia tidak tahu punca ketidakhadirannya.

"Kes tidak boleh difailkan kerana anak guam saya (Lydiawati) belum dapat menandatangani affidavit kerana dia tidak dapat datang. "Bila tarikh yang sesuai terpulang kepada Lydiawati sendiri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Affidavit itu, jelas Norazmi ialah keterangan bertulis untuk membolehkan permohonan pemfailan kes menghina mahkamah oleh Lydiawati dibuat terhadap bekas suaminya, Azhar.

kredit:mstar

Pendedahan Fasha: Akui pernah dilamar 4 kali termasuk oleh Ally Iskandar, Rizal Ashram


Enggan membiarkan spekulasi dan kontroversi terus menghantui dirinya, Fasha nampaknya telah membuat pendedahan tentang isi hatinya dan perkara sebenar menerusi laman web MySpace miliknya, semalam.

Buletin yang bertajuk 'luahan hatiku' yang ditulis oleh Fasha itu antara lain menjelaskan tentang hubungan sebenarnya dengan Rizal yang dipanggil dengan nama Jejai dan ekuin negara itu yang diakui oleh Fasha ialah Qabil Ambak.

"Memang saya pernah berkawan rapat dengan Rizal Ashram (Jejai). Saya mengenali Jejai sejak tahun 2005 sebelum dia berkahwin dengan Nora Danish. Harus saya jelaskan disini,memang saya tidak pernah bercinta dengan Jejai ketika dia masih suami Nora Danish.

"Saya dan Jejai menjadi rapat sejak Januari tahun ini iaitu enam bulan setelah Nora Danish bercerai. Dia adalah teman rapat saya pada ketika itu. Kami selalu berjumpa dan dia adalah lelaki yang istimewa untuk saya pada ketika itu.

"Memang betul, Jejai pernah melamar saya. Dia melamar saya pada tanggal 3 Januari 2009. Saya beritahu Mama dan keluarga tentang perkara ni tapi mereka menentang. Saya yakin keluarga Jejai juga tentu tidak suka dengan hubungan ini kerana Jejai sudah punyai seorang anak hasil perkahwinan dengan Nora.

"Tetapi itu semua kisah lama, kami sudah tidak rapat seperti dulu lagi kerana Mama saya menghalang saya terlalu rapat dengan Jejai di atas macam-macam sebab. Saya menghormati permintaan ibu saya kerana saya terlalu sayangkan Mama saya," luahnya dalam laman web itu.

Menurut Fasha lagi, dia sedih apabila dia dikaitkan sebagai punca perceraian Nora dan Rizal kerana ramai yang tidak tahu cerita sebenar yang berlaku.

Kata Fasha lagi, setelah hubungan mereka dihalang keluarga, dia dan Rizal tetap berhubung antara satu sama lain.

"Saya dan Jejai terus berhubung sehinggalah pada tanggal 11 Februari, saya mengambil keputusan untuk tidak mahu meneruskan apa-apa hubungan dengan Jejai lagi kerana terlalu tertekan.

"Saya terlalu tertekan kerana saya dipersalahkan sedangkan orang tidak tahu perkara sebenar. Kami tidak berhubung selama hampir sebulan sehinggalah pada 7 Mac, Jejai menghubungi saya dan merayu-rayu supaya memaafkannya.

"Ketika itu saya berada di Pasir Gudang, Johor. Jejai terus menghantar SMS dan menghubungi saya setiap hari selepas itu walaupun saya tidak peduli dengan rayuannya.

"Pernah juga Jejai menunggu di hadapan rumah saya selama 4 jam untuk bercakap dengan saya. Jejai tetap mahu saya berkawan dengannya walaupun tidak jadi seperti dulu. Saya setuju setelah berminggu-minggu dia memujuk saya," catat Fasha lagi.

"Di mata saya pada ketika itu, dia seorang lelaki yang baik, selalu mengambil berat tentang diri saya dan keluarga dan saya tahu dia perlukan saya dalam hidupnya sebagai seorang kawan.

"Walaupun ramai orang berprasangka yang tidak elok tentang dirinya, saya tetap berkawan dengan Jejai ketika itu. Pernah juga kami mencuba untuk kembali bersama selama beberapa kali tetapi gagal.

"Saya rasa masyarakat tidak harus menunding jari pada sesiapa tentang penceraian Jejai dan isterinya. Hanya mereka berdua yang tahu apa yang tidak kena pada rumahtangga mereka. Lagipun soal jodoh ditangan tuhan.

"Kesimpulan tentang hubungan saya dan Jejai, kami pernah menjalinkan hubungan istimewa sebelum ini,tetapi kami hanya berkawan selepas itu sehingga tarikh 18 Ogos 2009. Sekarang tidak berhubung lagi," katanya.

Fasha ambil pil tidur berlebihan, Qabil datang bantu di hospital

Tentang hubungannya dengan ekuin egara, Qabil Ambak, kata Fasha, dia mula mengenali jejaka itu pada Ogos tahun lalu di majlis gala makan malam anjuran Polo.

"Saya diperkenalkan oleh rakan saya yang bernama Faris. Faris yang menjemput saya ke majlis polo tersebut. Ketika pertama kali pertemuan kami, Jejai turut berada di sana.

"Saya ke majlis tersebut bersama kakak angkat saya iaitu Maria Farida. Selepas majlis tersebut, kami menjadi kawan dan berhubung melalui SMS. Dia sering bertanya khabar dan begitu juga saya. Saya pernah pergi ke rumah Qabil dan pernah berjumpa famili Qabil di rumah terbuka pada hari raya ke-3 tahun lepas," ujarnya.

Kata Fasha, hubungannya dengan Qabil semakin rapat selepas jejaka itu datang membantunya di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) dan Pusat Pakar Damansara pada 12 Februari lalu.

"Saya terpaksa ditahan selama 2 hari di hospital kerana mengambil pil tidur berlebihan. Saya mengalami insomnia pada ketika itu kerana tekanan perasaan yang saya hadapi menyebabkan saya sukar untuk tidur.

"Qabil adalah sahabat yang paling rapat dengan saya pada waktu itu sehingga ke hari ini. Kami pernah membincangkan bermacam-macam topik tentang kehidupan.

"Dia seorang yang positif dan mengajar saya untuk menjadi seorang yang positif. Kami berhubung setiap hari sekarang walaupun jarang berjumpa. Dia juga baik dengan keluarga saya.

Empat kali dilamar

Dalam buletin yang ditulis Fasha di laman web tersebut, dia turut mengakui pernah dilamar empat kali untuk dijadikan isteri dan juga sudah empat kali menerima cincin.

Lamaran pertama yang dibuat terhadapnya ialah oleh pengacara popular, Ally Iskandar pada tahun 2007.

"Saya menolak secara baik walaupun Mama dan keluarga sukakan Ally. Saya menolak kerana saya hanya menganggap dia sebagai seorang abang. Dia terlalu baik untuk saya.

"Lamaran kedua adalah daripada seorang VVIP yang sangat dikenali dari Brunei pada pertengahan 2007. Saya menolak kerana saya langsung tidak mengenali VVIP tersebut. Dia seorang peminat (tak mungkin saya ingin berkahwin dengan orang yang saya langsung tidak kenal).

"Lamaran ketiga adalah daripada Jejai pada Januari 2009. Saya mengambil masa yang panjang untuk berfikir tentang perkara tersebut kerana terlalu banyak masalah yang akan saya hadapi sekiranya saya berkahwin dengan Jejai," ujarnya.

Dan untuk lamaran keempat pula, kata Fasha, datangnya pada pertengahan Mac lalu.

"Siapa lelaki itu? Siapa lelaki yang akan menjadi suami saya? Insyaallah,saya akan umumkan pada hujung tahun ni. Saya cuma minta agar diberikan sedikit masa diatas sebab-sebab tertentu.

"Saya hanya menunggu masa yang sesuai. Doakan agar tidak ada aral yang akan mengganggu hubungan kami. Bukan saya tidak mahu berterus terang sekarang, saya khuatir jika saya beritahu sekarang, perkara lain pula akan jadi.

"Lebih elok saya umumkan apabila masa yang sebenar sudah hampir tiba," katanya di laman web http://www.myspace.com/angel_fasha

Suraya (Anak Raja Azmi) Bertunang



Mengambil berkat bulan Ramadan yang mulia, produser sensasi Raja Azmi mengambil keputusan untuk melangsungkan pertunangan anak gadisnya, Puteri Suraya Mohd Jalani, 24, dengan pengarah filem .... Dalam Botol, Mohd Shadan Hashim, 34.

selama ini Shadan memang sudah rapat dengan keluarga Raja Azmi dan suaminya, bekas jaguh badminton, Mohd Jalani Sidek. Memandangkan sikap Shahdan yang baik dan cukup disenangi keluarga Raja Azmi, dia dirasakan paling layak menjadi calon menantu.

Khabarnya, kedua-dua pasangan itu sendiri sudah lama menyimpan hati terhadap diri masing-masing. Oh ya, Shadan juga adalah pengarah filem Haru Biru yang dilakonankan oleh Ijoi Azahari, Que Haidar dan Dynas.

tarikh yang dipilih untuk majlis pertunangan itu adalah pada 09.09.09 ini yang dilangsungkan selepas majlis berbuka puasa. Kebetulan, Raja Azmi pun hendak menunaikan ibadah haji pada tahun ini, lalu dia pun berhajat majlis itu dilaksanakan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

kredit:murai.com

gambar Erra Fazira,engku Emran dan Engku Aleesya di AC?






fasha "diserang"?




Sehari selepas seorang atlit ekuin negara mengakui menjalin hubungan istimewa dengan Fasha Sandha, pelakon itu teruk "diserang" apabila beberapa gambarnya dalam pos istimewa bersama bekas suami pelakon Nora Danish, Rizal Ashram Ramli, muncul di Internet.

Gambar pelakon dan model iklan itu memaparkan kemesraannya bersama Rizal dengan berpakaian serba putih yang agak seksi.

Enam keping gambar yang dipercayai dirakam pada majlis sambutan hari jadi seseorang, dikirim kepada Harian Metro menerusi e-mel selain dipaparkan di beberapa laman web hiburan tanah air.

Beberapa gambar artis jelita itu bersama Rizal ketika berada di trek lumba kereta turut berlegar di Internet.

Tidak dapat dipastikan bila dan di mana gambar itu diambil, malah Fasha sendiri enggan memberi sebarang komen apabila diajukan soalan mengenai gambar berkenaan dengan alasan bimbang kenyataannya akan disalah tafsir.

"Ia gambar lama dan saya tidak tahu apa motif orang menghantar gambar itu ke Harian Metro. Lagipun gambar terbabit bukan kami berdua saja tetapi beramai-ramai," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Fasha atau nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan, 25, berkata gambar itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia bukan menunjukkan sebarang hubungan istimewa antara dia dengan Rizal.

"Siapa yang hendak memanaskan keadaan dengan gambar itu saya tidak tahu dan malas hendak komen, nanti salah tafsir.

"Lagipun tidak lama lagi, kita hendak sambut Ramadan, jadi lebih bagi saya mendiamkan diri," katanya.

Menurutnya, buat masa sekarang dia hanya mahu memberi tumpuan terhadap kerjaya, tambahan pula selepas menjadi model barangan kemas Habib Jewel.

"Memandangkan sekarang saya sudah menerima tawaran menjadi model selama dua tahun, jadi lebih baik memberi tumpuan lebih kepada karier," katanya.

Harian Metro Rabu lalu melaporkan ekuin negara yang enggan namanya didedahkan, mengakui hubungan dengan Fasha sudah terjalin sejak setahun lalu dan difahamkan mereka bakal disatukan awal Januari depan.

Ekuin berusia 29 tahun itu dilaporkan berkata, dia tidak mahu perkara itu diperbesarkan sebaliknya akan membuat pengumuman bulan depan.

"Saya tidak mahu perkara ini diperbesar-besarkan dan kalau boleh biar saya bersikap diam diri. Saya tidak mahu apabila perkara ini dihebahkan, tumpuan saya pada kejohanan akan datang terjejas."

"Sekarang masih banyak masa, jadi kalau boleh saya tidak mahu perkara ini diperbesarkan. Apabila keadaan mengizinkan, saya akan memberi penjelasan kepada anda (wartawan).

kredit:hmetro

Ya, kami akan menikah-Sharifah Sofia





kata Sofia, mereka memilih untuk bernikah pada pertenghan Oktober dan diikuti dengan majlis resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 23 Oktober tahun ini.

Menurut pelakon berkulit putih gebu ini, mereka memikirkan sudah sampai masanya untuk mengakhiri hubungan berkenaaan dengan satu ikatan yang sah setelah sekian lama bercinta.

Ingin mengorek dengan lebih mendalam tentang lelaki yang bertakhta di hatinya itu, Sofia bagaimanapun awal-awal lagi sudah memberi isyarat enggan bercerita panjang-lebar tentang bakal suaminya.

"Saya tidak boleh beritahu nama penuh dia. Apa yang saya boleh katakan, dia merupakan lelaki kacukan Melayu, Jordan dan Arab, berusia 31 tahun dan seorang usahawan," katanya yang mengenali bakal suami sejak di alam persekolahan.

"Sebenarnya saya kenal dia sejak dari sekolah lagi. Suatu hari dia menyambung pelajaran ke Australia dan kami tidak bertemu lagi sejak saat itu.

"Dengan kuasa Tuhan, tahun 2007 kami terserempak di Kuala Lumpur selepas dia tamat belajar. Dari situlah kami mula menjalin percintaan. Ia lebih mudah kerana masing-masing sudah ada perasaan cinta dalam hati."

Meneruskan cerita manisnya, Sofia memberitahu pada penghujung tahun 2008, dia sendiri pergi ke Amerika Syarikat untuk bercuti selama beberapa bulan sambil mengintai peluang belajar dan bekerja sementara di sana.

Berada di negara Uncle Sam itu, timbul perasaan untuk terus bermastautin di sana dan tidak mahu pulang ke Malaysia pada waktu itu.

"Bagaimanapun pada awal tahun 2009, si dia suruh balik ke tanah air sambil melamar saya untuk menjadi pasangan hidupnya.

"Saya terus menerima lamaran itu tanpa berfikir panjang. Keluarga pihak lelaki datang merisik pada Mac lalu dan seterusnya kami merancang bernikah terus tujuh bulan kemudian.

"Kini saya sedang menanti hari untuk bergelar isteri orang. Teruja dan gembira rasanya dengan perubahan diri yang bakal berlaku kira-kira dua bulan lagi. Memang tidak sabar untuk bergelar isteri kepada orang yang kita sayangi dan kemudian menjadi ibu," luah Sofia dalam nada kegirangan.

kredit:kosmo

Azmir Arif :akhirnya impian tercapai


Sudah lama Azmir Arif mengidam memiliki album sendiri. Dia sedar kekurangan dirinya, namun menyedari ada bakat dan keupayaan Azmir nekad merakam lagu dengan kos sendiri.

Lagu Misteri Cinta Sakti ciptaan sepenuhnya Adnan Abu Hassan dirakam menggunakan wang sendiri. Ada beberapa stesen radio memutarkan lagu itu. Namun keupayaan Azmir belum lagi dipandang.

Kini penyanyi itu boleh menarik nafas lega apabila ada syarikat yang memberi kepercayaan untuk memasarkan albumnya.

Album mini berjudul Kurniaaan itu berjaya diterbitkan hasil kerjasama Azmir dengan Kriss Managemement, sebuah syarikat pengurusan dari Singapura.

"Saya sangat terharu kerana impian saya sudah menjadi kenyataan. Saya rasa macam tak percaya apabila saya sudah memiliki album sendiri.

"Saya akan bekerja keras untuk menempatkan diri saya sebaris dengan penyanyi popular lain," kata Azmir.

Albumnya memuatkan lagu-lagu Cinta Jasmin, Maafkan Aku, Bila Kau Jauh, Misteri Cinta Sakti dan sebuah lagu berentak tradisional, Zapin Kelana. Turut dimuatkan lagu Cinta Jasmin versi remix serta empat lagu minus one.

kredit:mangga online

kami masih bersama


"Saya pun tak nak ambil tahu apa orang cakap mengenai kami kerana yang penting kami masih bersama," nafi Almy mengenai keretakan hubungannya dengan Fizz Fairuz.

Walaupun telah bersama lebih daripada tiga tahun, namun Almy mengakui mereka belum lagi mempunyai perancangan untuk bertunang mahupun mendirikan rumahtangga.

"Memang kami tak plan apa-apa kerana takut tak menjadi nanti diri sendiri yang malu.

"Apa yang penting sekarang, saya nak cari duit dulu dan bila sudah sedia untuk pikul tanggungjawab, barulah saya akan fikirkan semua itu," ujar Almy yang lebih gemar membicarakan soal kariernya.

Salahkah Kalau Saya Ini Andartu?


Apabila Haliza tampil menerbitkan filemnya, Andartu Terlampau…21 Hari Mencari Cinta, ada pihak yang ketawa sinis. Mereka berkata itulah dirinya yang sebenar yang sememangnya andartu!

Namun Haliza, 36, tidak cepat melatah atau melenting. Sekurang-kurangnya dia tidak hipokrit. Dia juga akui tidak tersinggung dengan cakap orang kerana telah bersedia.

"Saya dah tak kisah pun apa orang hendak kata. Sebaliknya, memang saya sudah agak ini semua akan berlaku. Saya tak nafikan anda antara segelintir babak dalam filem ini adalah diri saya tetapi adakah ia satu kesalahan?

"Ya tidak segan untuk akui saya antara artis dalam golongan andartu. Mungkin ia masih satu tabu kepada sesetengah pihak. Bukan saya pernah minta untuk jadi andartu pun. Semua soal jodoh dan saya redha.

"Cuma orang kita suka memandang serong. Kahwin salah, tak kahwin pun salah. Kalau saya tidak bangkitkan isu ini, sampai bila pun golongan andartu ini akan rasa lemah, tersisih dan rendah diri tak bertempat," katanya.

Sambung Haliza lagi seseorang wanita itu berhak untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Kalau dia hendak jadi andartu, biarkanlah. Kenapa perlu mengata mereka? Kenapa perlu mempersoalkan tindakan mereka itu?

"Disebabkan pandangan serong masyarakat, mereka akhirnya berada di dalam dilema dan terpaksa berkahwin walaupun bersama lelaki yang tidak begitu dicintainya. Akhirnya... banyak yang bercerai juga!

"Tetapi, ada yang sanggup bergelar janda daripada memegang status andartu kerana terlalu bimbangkan cakap-cakap orang di sekeliling. Bukan saya hendak berpaksikan masyarakat di Barat, tetapi kalau di sana, wanita yang berusia macam saya, baru memikirkan tentang soal kahwin.

"Seperkara lagi, tentu ada hikmahnya jika seseorang wanita itu lambat bertemu dengan jodohnya. Semuanya itu bukan disengajakan tetapi ketentuan Tuhan juga. Jadi, janganlah mencemuh orang yang masih belum berkahwin," katanya dengan berani.

kredit:murai.com.my

Fara Berpuasa Kerana 'Jin Notti'?


Gara-gara sebab terlalu gementar, maklumlah filem pertamanya ditambah pula memegang watak utama, Fara Fauzana terpaksa 'berpuasa' kerana tak lalu nak makan.

"Saya tak makan sejak semalam. Lapar sebenarnya tapi tunggulah selepas tayangan nanti," katanya bila ditemui sebelum bermulanya tayangan perdana filem 'Jin Notti' Jumaat lalu.

Kongsinya, dia bimbang memikirkan penerimaan penonton terhadap lakonannya. Lebih-lebih lagi di dalam 'Jin Notti' dia memainkan lima watak yang berbeza. Antaranya, seorang gadis 'punk', peguam dan kekasih seorang gengster.

"Layar perak juga berlainan dari TV di mana kesilapan yang kecil akan nampak jelas," tambahnya.

Ditemani rombongan seramai 15 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan baik dan para peminatnya yang juga ahli Fafau Entertainment, Fara memberitahu dia hanya sempat menonton beberapa babak dari filem 'Jin Notti'. Norman Abdul Halim tidak membenarkannya menonton kesemuanya kerana ingin "saya suspens malam ni".

Terang Fara, 'Jin Notti' sebuah filem yang ringan dan mampu menenangkan fikiran. Tidak perlu fikir terlalu mendalam tentang mesejnya, penonton hanya perlu gelak saja.

"Saya tidak mengharapkan semua orang akan menyukainya tetapi mereka perlulah cuba dulu. Sebagai seorang penggemar filem, saya faham apa yang di gemari sekumpulan penonton mungkin tidak di sukai orang lain.

"It's all very subjective. Tetapi sekurang-kurangnya mereka melihatnya secara positif. Saya seorang yang 'very open'. Saya dapat menerima kritikan. Bagi saya, kritikan mendorong saya untuk bekerja dengan lebih keras," katanya yang baru habis menjalani penggambaran untuk 'Andartu Terlampau ... 21 Hari Mencari Suami'.

Di sidang media yang diadakan selepas tamatnya tayangan 'Jin Notti', Fara mengadu digelak keluarganya.

"Mereka lebih menggelakkan saya. Malunya...," ceritanya sambil ketawa. "Ibu pula tanya kenapa saya asyik sentuh rambut saya. Sebenarnya Notti memasuki tubuh mereka, jadi dia tidak sepatutnya selesa di dalam tubuh itu.

"Tetapi, ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Lega rasa selepas menontonnya. I have no regrets tapi saya akui banyak yang boleh diperbaiki."

Fara memberitahu di antara lima watak yang perlu dilakonkannya, watak peguam yang paling mencabar dirinya kerana ia berlainan sekali dari dirinya yang sebenar.

"Seorang peguam itu perlu serius. Cakap percakapannya juga perlu jelas. Tapi seronok dapat memainkan watak-watak yang berbeza."

Tentang pengalaman bekerja dengan Mawi, cerita Fara walaupun kekok pada awalnya, namun selepas beberapa hari penggambaran, semuanya okay.

kredit:gua.com.my

rosyam hampakan peminat?



Sememangnya pilihan Rosyam menghampakan pengundi kerana peserta yang mendapat undi tertinggi, Reza Hasbi hanya menduduki tempat kedua kerana tidak mendapat markah yang baik daripada Rosyam.

Sememangnya itulah format Pilih Kasih yang hanya memberi kuasa separuh sahaja kepada pengundi dan separuh lagi di tangan Rosyam. Kalau Rosyam suka, mereka akan dapat markah banyak dan boleh menjadi juara walaupun undian daripada pengundi tidak memihak kepada mereka.

Inilah yang berlaku kepada Iqbal yang menduduki tangga tercorot yang kurang daripada 1 peratus tetapi apabila diambil kira markah Rosyam, dia berjaya memintas Reza yang mendapat lebih 50 peratus undian penoton berbanding peserta lain. Nampaknya pilihan pengundi tidak menyamai apa yang Rosyam suka.

Ada yang berpendapat Rosyam membuat kesilapan apabila mengangkat peserta yang tak popular. Apatah lagi Iqbal juga bukanlah pelakon terbaik pada pentas akhir kerana pemarkahan juri profesional memilih Sofian Bujang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pentas akhir.

Pada majlis memperkenalkan peserta akhir Pilih Kasih minggu lalu, Rosyam ada berkata, projek filem Kekasih yang dirancangkan tidak akan dimulakan dalam masa terdekat kerana dia bimbang pelakon yang dibawa daripada peserta Pilih Kasih belum mampu menarik penonton ke pawagam. Mereka belum cukup tahap populariti.

Itu bermakna Rosyam mengakui pentingnya populariti dalam menarik penonton ke pawagam. Tapi dalam membuat pilihan juara, Rosyam tidak membawa kepercayaan itu.

Nama yang popular juga menjadi pilihan media kerana sama seperti sesebuah filem, majalah atau akhbar mahu menghidangkan apa yang dimahukan oleh pembaca. Pembaca pasti mahu mengetahui kisah orang popular sahaja.

Sebab itu bintang popular sering mendapat peluang dan publisiti meluas berbanding pelakon yang kurang popular. Nampaknya Rosyam dan teamnya kena bekerja keras mempromosikan Iqbal agar lebih diminati oleh peminat. Mungkinkah kejuaraannya boleh meningkatkan populariti?

Reza mungkin lebih mudah dipromosikan kerana sepanjang program itu berjalan, dia sudah berjaya menarik perhatian pengundi dan sering mendapat undian tertinggi sehingga ke pentas.

Rosyam mungkin ada sebab tersendiri mengapa memilih Iqbal sebagai juara. Mungkin dia nampak sesuatu yang peminat tidak nampak dalam diri pelakon yang pernah gagal dalam percubaan menjadi penyanyi melalui Akademi Fantasia musim kelima lalu.

kredit:mangga

siti, keluarga syahdu tanpa abah



Tahun ini keluarga Datuk SIti Nurhaliza menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa arwah bapanya yang kini sudah tiada. Mereka membayangkan suasana syahdu pada hari raya nanti, khususnya apabila terkenangkan gelagat arwah setiap kali menyambut hari raya.

"Memang Siti terasa sayu dan rindukan saat manis bersama awrah abah. Bulan puasa juga banyak kenangan Siti bersama arwah abah," kata Siti kepada wartawan majalah Harmoni edisi istimewa Aidilfitri yang kini sudah ada di pasaran.

Siti bersama ibu, Siti Salmah Bachik, kakak, Saida dan adiknya Saerah menjadi penghias majalah berteraskan isu wanita yang semakin hari semakin hangat di pasaran itu.

"Hari raya tahun ini tentulah Siti rindu nak bersalam dan bermaaf-maafan dengan abah. Tapi semua itu hanya tinggal kenangan," katanya yang merancang menyambut 1 Syawal di Kuala Lipis tahun ini.

Ibunya juga berharap tahun ini anak-anak dapat berkumpul di kampung menjelang hari raya. Dia berusaha menguatkan semangat walaupun sedih mengenangkan kenangan manis semasa bersama yang kini telah tiada.

Saida pula terkenang gurau senda arwah abahnya kerana dia dan arwah kerap bergurau.

"Abah sendiri gelar Ida `yang goreng' kerana mulut banyak cakap. Ida bersykur sebab abah sempat beri restu untuk Ida menjadi artis," katanya.

Saerah pula meluahkan rasa terkilan sebab abahnya tidak sempat melihat dia berkahwin.

"Bila anak bongsu perempuan abah nak kahwin? Kalau boleh abah nak jadi wali masa Erah kahwin nanti," kata Saerah terkenang kembali kata-kata abahnya.

kredit:mangga

"BEBASKAN" hadiah hari jadi Shila



"Sememangnya pelancaran album sulung adalah hadiah yang paling bermakna sempena birthday Shila yang ke-19 pada hari ini," ujar Shila yang menerima G10 Canon Semi SLR daripada bapanya, ND Lala sempena hadiah hari lahirnya yang jatuh pada 13 Ogos.


Shila tidak dapat menahan sebak tatkala majlis pelancaran apabila mengenangkan pengorbanan keluarga terutama ibunya yang banyak berkorban sepanjang melibatkan diri dalam industri muzik.

"Memang adik-adik Shila yang lain agak terasa kerana perhatian dilebihkan kepada Shila. Pernah sekali Shila terdengar mereka merayu mama untuk memasak walau hanya sambal ikan bilis kerana sudah lama tidak merasa air tangan mama," luahnya apabila ibunya kerap tiada di rumah kerana terpaksa menguruskan perjalanan karier Shila yang semakin berkembang.

Shila kini tampil dengan album dan imej baru yang lebih segar dan remaja. Katy Perry dan Lady Gaga menjadi inspirasi Shila untuk membentuk gaya namun dalam cara yang lebih sopan dan sesuai dengan budaya kita.

"Mama selalu pesan kalau pergi mana-mana mesti nampak macam artis, kena jaga imej dan jangan terlalu simple," kata naib juara One In A Million musim kedua yang kini semakin matang dalam berfesyen.

Shila baru sahaja melancarkan album sulung Bebaskan bersama-sama syarikat rakaman Monkey Bone. Album yang memuatkan 10 buah lagu menampilkan komposer terkenal seperti Aubrey Suwito, Audi Mok, Shazee Ishak dan ramai lagi. Gabungan komposer-komposer ini sememangnya memberikan kelainan dalam industri hiburan tanah air masa kini.

kredit:mangga

Iqbal juara 'Pilih Kasih' musim pertama








Pelakon dan penyanyi sambilan, Muhammad Iqbal Mazlan, 20 (Iqbal Mazlan) dinobatkan sebagai juara 'Pilih Kasih' musim pertama, pada peringkat akhir program itu yang berlangsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, di sini, semalam.

Iqbal, 20, yang memperoleh peratusan tertinggi iaitu 39.36 peratus adalah antara lima pelakon yang 'dicari' Rosyam Nor selama 10 minggu program realiti itu berlangsung.

dia sememangnya cukup terkejut dan tidak menyangka akan menjadi juara 'Pilih Kasih'.

Lebih-lebih lagi katanya, dia menduduki tempat tercorot dalam undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan hanya mendapat 0.36 peratus.

"Saya tidak pernah berfikir untuk melangkah sejauh ini apatah lagi menjuarai program realiti ini.

"Apa yang saya tahu, saya mesti membuat yang terbaik di pentas agar menonjolkan bakat lakonan saya," katanya pada sidang akhbar sejurus berakhirnya 'Pentas Akhir Pilih Kasih'.

Sementara itu, Pelakon lelaki dan wanita terbaik 'Pilih Kasih' ialah Sofian Bujang dan Wanina Zaki.

kredit:mstar

Ajai-Liza kini sah suami isteri











Komposer dan penyanyi, Ajai atau nama sebenarnya Faizal Maas, hari ini selamat diijabkabulkan bersama pilihan hatinya Norliza Ilyas, yang merupakan bekas pegawai kanan Maestro Talent Management.

Pasangan ini telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Rujuk-Nikah Pejabat Agama Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, Ustaz Hj Mansur dengan hanya sekali lafaz dari Ajai, kira-kira pukul 11 pagi tadi di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Norliza diwalikan oleh bapanya, Ilyas Muhammad.

Mas kahwin bagi perkahwinan mereka adalah sebanyak RM 1001 manakala jumlah wang hantaran pula adalah RM 15 ribu.

Menurut Norliza yang ditemubual mStar Online selepas majlis akad nikah tersebut menyatakan kesyukurannya kerana majlis tersebut berlangsung dengan selamat seperti yang dirancang.

"Alhamdulillah, majlis hari ini berjalan seperti yang dirancang dan berjalan dengan selamat.

"Malah semua ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara tidak kira yang dekat dan jauh hadir ke majlis hari ini untuk meraikan saya dan Ajai," kata Norliza.

Ditanya mengenai perancangan berbulan madu, Norliza berkata, dia dan Ajai masih belum membuat perancangan itu kerana lebih 'excited' untuk menyambut bulan Ramadan bersama.

"Buat masa ini, belum ada perancangan untuk berbulan madu lagi kerana kami lebih 'excited' untuk sambut puasa bersama-sama.

"Lagipun kami masing-masing ada komitmen dengan kerja, jadi mungkin untuk bulan madu kami akan tangguh dulu hingga hujung tahun ini," jelas Norliza yang agak sibuk melayan tetamu yang hadir ketika itu.

Norliza turut menyatakan harapannya terhadap perkahwinan bersama Ajai setelah hampir dua tahun menjalin hubungan cinta dan pernah dilanda kisah panas yang menguji keutuhan cinta mereka.

"Sama seperti semua pasangan yang baru berkahwin, saya berharap perkahwinan kami akan berkekalan hingga ke akhir hayat dan dapat membina sebuah keluarga yang bahagia.

"Saya juga tidak sabar untuk mulakan sebuah keluarga dengan Ajai," katanya.

Ditanya mengenai bilangan cahaya mata yang diinginkannya, Norliza berkata: "Berkenaan anak, kami terima je apa yang Tuhan bagi. Kami pun belum ada perancangan lagi.

"Tapi mungkin saya nak anak dalam tiga atau empat orang anak," katanya sambil ketawa.

Pihak lelaki menghantar tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada mas kahwin, sebentuk cincin, sepasang kasut, sebuah beg tangan, satu set solekan, kek dan juga tepak sireh.

Manakala pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran yang terdiri daripada senaskhah al-Quran, sebentuk cincin, satu set tali pinggang dan dompet, satu set pakaian, sepasang kasut, kek yang dihiasi dengan nota muzik, tepak sireh, satu set wangian dan sebuah telefon bimbit jenis Blackberry.

Pada majlis akad nikah itu, pasangan tersebut menggayakan busana pengantin yang direka oleh pereka fesyen terkenal, Rizalman.

kredit:mstar

gambar rakaman 'Lantera Aidilfitri Datuk Siti Nurhaliza'






Pelawak Param disemadikan Ahad ini


Pelakon dan pelawak veteran, Param Periaphanby, 55, telah meninggal dunia pada pukul 6 pagi tadi akibat sakit jantung di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam nada sayu dan sedih, kakaknya, Sarah menceritakan tentang saat-saat bagaimana Param pergi.

“Dia meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital dan waktu itu dia sesak nafas.

“Dia akan disemadikan pada Ahad ini di Hindu Krematorium, Cheras,” kata Sarah yang sebelum ini menjaga Param.

Sarah juga terkilan kerana tidak sempat menghantar Param ke hospital setelah mendiang mengadu sesak nafas pada awal pagi tadi.

“Saya berasa sangat terkejut apabila dia meninggal setelah mengadu sakit. Waktu itu, kami tergesa-gesa menghantarnya ke hospital.

“Sebelum ini, dia dijaga oleh keluarga kami kerana dia tidak berkahwin dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda.

kredit:mstar