Perkahwinan Sheikh Muszaphar Berkonsepkan Istana Kayangan 10.10.2010



PERSANDINGAN angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor bersama pilihan hatinya Dr Halina Mohd Yunos bakal berlangsung pada 10 Oktober dengan berkonsepkan Istana Kayangan.

Ilham tersebut dicurahkan oleh perancang perkahwinan terkenal, Bill Bora yang bertanggungjawab memberi kelainan dan menguruskan majlis gilang-gemilang itu nanti.

"Konsep perkahwinan tradisional dicampur dengan elemen angkasa lepas memberi ilham kepada saya untuk memilih konsep Istana Kayangan.

"Memandangkan tetamu yang bakal menghadiri perkahwinan itu nanti adalah 100 angkasawan daripada 35 buah negara disamping tetamu kehormat dari dalam dan luar negera menjadikan majlis ini bukan majlis biasa.

"Konsep tradisional dan elemen dongeng melayu itu bakal membuka mata tetamu luar negara tentang kebudayaan Malaysia, Itu yang diinginkan oleh Datuk sendiri," ujarnya yang menganggap majlis ini bakal menjadi ‘wedding of the decade’.

Pasangan yang mengikat tali pertunangan pada 1 Januari lalu telah memilih tarikh 10 Oktober 2010 untuk majlis perkahwinan mereka sempena ulang tahun ketiga Dr. Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Selain itu, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada persidangan Association of Space Explorers pada 3 hingga 10 Oktober ini, maka peluang ini diambil bagi menunjukkan kepada tetamu dari luar negara tentang adat kebudayaan melayu di Malaysia.

Dr. Sheikh Muszaphar dijangka akan melangsungkan majlis pernikahan pada pukul 11 pagi dan persandingannya pula pada sebelah malamnya.

"Kelainannya ialah saya turut menyelitkan unsur sejarah melayu, di mana Dr. Sheikh Muszaphar sebagai anak melayu pertama ke angkasa lepas akan di tampilkan dengan pakaian kepahlawanan melayu lama.

"Persembahan Istana Kayangan pula melambangkan angkasa lepas, bulan dan bintang. Pasangan mempelai pastinya bagai seorang pahlawan Melayu mengahwini puteri dari kayangan. Banyak lagi unsur-unsur yang akan saya selitkan dari segi pemakanan, persembahan artis dan instrumen muzik.

"Saya masih mencari unsur-unsur lain bagi mencantikan lagi majlis ini. Setakat ini semua perancangan dan idea saya telah dipersetujui oleh Dr. Sheikh Muszaphar, tapi ia masih lagi diperingkat awal," ujar publisis Bill Bora yang mengakui memikul tanggungjawab yang sangat besar bagi mencorakkan majlis ini.

Namun begitu anggaran perbelanjaan masih belum dapat dipastikan kerana lokasi majlis juga masih dalam perbincangan.

"Persidangan tersebut masih belum ditentukan tempatnya. Kalau boleh Dr. Sheikh Muszaphar mahu tempat tersebut berhampiran dengan tempat berlangsungnya kongres Angkasawan bagi memudahkan para jemputannya datang," ujarnya.

Bagaimana pun, tempat kongres itu masih belum ditentukan lagi.

Dalam pada itu, Bill turut memberitahu bahawa persiapan perlu dibuat dengan teliti memandangkan Datuk Sheikh Muzafar bukan sahaja selebriti di Malaysia malah angkasawan yang diakui di peringkat antarabangsa.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment