Radhi- Mahu selesai cara baik!


AKHIRNYA dia muncul juga. Setelah empat kali ‘gagal’ atau sengaja ‘mengagalkan diri’ untuk hadir ke Mahkamah Rendah Syariah untuk prosiding kes pengesahan lafaz cerainya, Radhi OAG akhirnya tidak mampu mengelak lagi.

Dia akhirnya muncul pada prosiding kes pengesahan lafaz cerai yang dituntut oleh isterinya, Shazlin Sharif pada hari Isnin lepas.

Bukan setakat muncul, tetapi datang berkongsi satu kereta lagi. Apakah akan ada sinar baru dalam rumah tangga mereka setelah melihat perkembangan terbaru ini?

Radhi dilihat hadir bersama Shazlin dengan menaiki sebuah kereta yang dipercayai milik isterinya itu pada pukul 2.40 petang.

Kehadiran mereka secara bersama yang turut ditemani oleh seorang wanita itu menimbulkan tanda tanya kerana selama ini kedua-duanya bersikap dingin antara satu sama lain. Siap perang mulut, tuduh-menuduh bagai di luar mahkamah sebelum ini.

“Kami nak selesai cara baik,” kata Radhi ringkas.

Selepas bikin kontroversi hampir setahun di dalam dan luar kawasan mahkamah, akhirnya Radhi tahu bahawa dia perlu menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan secara baik.

Pada 3 November lalu, pihak Shazlin telah pun memberikan keterangan mengenai lafaz, tarikh dan niat cerai suaminya itu tetapi dinafikan oleh Radhi.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Radhi kerap tidak hadir ke mahkamah sebelum ini disebabkan masalah pengangkutan dan kes itu sekali lagi ditangguh pada 24 Februari ini bagi memberikan ruang kepada Radhi untuk mengemukakan pembelaan.

Pada 1 Disember lalu, Radhi terlewat lima minit selepas prosiding kes tersebut ditangguhkan sehingga menyebabkan waran tangkap yang dikenakan pada 3 November lalu dilanjutkan.

Namun yang tak berapa best, Radhi mengaitkan alasan kelambatannya sebagai sikap biasa artis.

“Rock star mesti datang lambat,” kata Radhi.

kredit:utusan

0 comments:

Post a Comment