Pepatung Dan Tiara Hiasi Majlis Perkenal Ratu

KEMUNCULAN Tengku Ratu Haidar pastinya dinanti-nantikan sejak anak pasangan selebriti Que Haidar dan Linda Jasmine itu dilahirkan pada 26 Oktober 2009.

Que dan Linda telah memilih tarikh 27 Februari ini untuk mengadakan sebuah majlis kecil untuk memperkenalkan Ratu di Bora Ombak, Ampang.

“Kalau jadi, kita akan membuat majlis memperkenalkan Ratu pada 27 Februari ini. Setakat ini, majlis itu akan ditaja oleh Cradle ‘N’ All dan Bora Ombak.

“Seperti yang dibincangkan, pihak penaja bersetuju dengan idea saya untuk memilih tema tiara (mahkota) dan pepatung dengan konsep warna putih dan emas yang melibatkan elemen tradisional.

“Saya memilih tema tiara sebagai simbolik kepada nama Ratu manakala pepatung pula diambil mengikut tema yang pernah digunakan dalam majlis perkahwinan saya dan Que,” kata Linda, koreografer terkenal menerusi program realiti Akademi Fantasia dan Sehati Berdansa itu.

Linda berkata, majlis itu terhad kepada 100 orang tetamu sahaja yang terdiri daripada keluarga, kawan rapat, rakan artis dan para media.

Mereka yang hadir akan menerima sedikit cenderamata sumbangan Cradle ‘N’ All serta disajikan dengan makanan tempatan.

Cradle ‘N’ All pernah menaja majlis cukur jambul anak sulung aktres Erra Fazira dan Engku Emran sebelum ini.

“Saya berharap semua tetamu yang hadir temasuk rakan media memakai pakaian mengikut warna tema iaitu putih atau emas,” ujarnya kepada mStar Online.

Setelah berusia empat bulan baru Ratu akan diperkenalkan kepada media. Menjawab hal itu, Linda memberikan alasan dia dan Que sibuk dengan kerja masing-masing.

“Tambahan lagi, kami memang nak tunggu Ratu besar dahulu dan lebih lasak. Nanti kesian pula dia.

“Sekarang, dia sudah besar dan beratnya juga sudah mencecah 7 kg. Jadi, kami rasa sudah tiba masanya untuk perkenalkan Ratu kepada orang ramai,” jelasnya yang turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Qalif Khan.

Dalam masa yang sama, Linda memberitahu dia dan Que menetapkan tarikh majlis cukur jambul Ratu di kampung Que di Felda Taib Andak, Kulai, Johor iaitu pada 6 Februari ini.

Majlis itu akan dilakukan secara tertutup. Linda berkata mereka memilih untuk mengadakan majlis itu di luar Kuala Lumpur atas permintaan ibu Que.

“Ibu mertua saya minta buat di sana bagi memudahkan keluarga dan sanak saudara Que untuk hadir ke majlis cukur jambul itu.

“Lagipun, suasana majlis itu pasti lebih terasa apabila dilakukan di kampung dengan iringan marhaban…,” tuturnya lagi.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment