Dengan sekali lafaz, pelakon popular Sharifah Sofea Syed Hussein, 24, telah sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Syed Ismail Syed Ibrahim Al-Ali, 31, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta tepat pukul 12.15 tengahari semalam.
Jika Ismail tertarik dengan keletah manja dan ‘gila-gila’nya, Sofea pula memilih suaminya kerana sifat yang sama dan menyenangi diri lelaki itu sendiri.
“Saya suka sebab ‘he’s him’. Dia suka membuat saya ketawa dan perasaan suka dan sayang itu datang begitu sahaja tanpa saya sedar..,” kata anak kelahiran Liverpool, England ini.
Sementara itu, lelaki bergraduan bisnes dari sebuah universiti di Australia ini menambah dia menyenangi Sofea kerana wanita itu sempurna di matanya.
“Dia melengkapi hidup saya kerana dia suka membuat saya gembira dan seorang yang kelakar,” ujar Ismail pula.
Pasangan yang bercinta selama dua setengah tahun ini diijabkabulkan oleh bapa Sofea sendiri, Syed Hussein Syed Harun dengan mas kahwin sebanyak RM100 sambil disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid, Ustaz Mohd. Nazarudi Nadzir.
Turut hadir adalah ibu Sofea, Maureen Hussein, ibu dan bapa Ismail, Sharifah Saidah Tun Syed Nasir dan Syed Ibrahim Al-Ali serta keluarga dan rakan yang rapat.
Pengantin perempuan menerima sembilan hantaran berupa wang hantaran berjumlah RM20,000, cincin, set beg tangan beserta beg duit Coach, telekung sembahyang dan sejadah, coklat, set persalinan wanita, al-Quran, set perhiasan mutiara dan sirih junjung.
Sementara pengantin lelaki pula menerima 11 hantaran berupa telefon bimbit Blackberry, kemeja Hugo Boss, al-Quran, komputer riba Dell, set dompet dan tali pinggang Hugo Boss, coklat, jam tangan, cincin dan sirih junjung.
Menurut Sofea, dia dan suami memilih untuk tidak bertunang sebaliknya memilih untuk terus bernikah selepas melalui proses merisik pada 26 Mac lalu.
Alasannya kerana tidak mahu membazir. Kesederhanaan majlis yang serba ringkas itu terpamer apabila majlis resepsi Sofea juga berlangsung di masjid itu tanpa upacara bersanding dan sekadar majlis nikah dan makan tengahari.
“Memang inilah majlis kahwin yang saya nak,” luah anak ketiga daripada empat beradik ini yang manis memakai cincin nikah emas putih bertatah berlian dari Arab Saudi di jari kirinya.
Pertemuan dan jodoh Sofea bagaikan ‘secocok’ apabila dia yang merupakan anak perempuan bongsu dalam keluarganya itu disatukan dengan anak tunggal kacukan Melayu-Jordan itu.
Erti perkahwinan juga lebih bermakna buat Sofea dan dia menganggap ‘tiada ‘batasan’ antara satu sama lain dan tiada siapa yang boleh menghalang kami untuk melakukan apa yang kami ingini..’.
Minggu hadapan, majlis resepsi di sebelah pengantin lelaki akan dilakukan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
“Tidak ramai yang dijemput dalam majlis itu melainkan keluarga dan rakan terdekat. Majlis itu berlangsung dalam suasana ‘privasi’.
“Memanglah nampak seperti tak manis bila tak jemput semua termasuk pihak media tetapi sekurang-kurangnya kami jemput ke majlis nikah kami,”
kredit:mstar