Showing posts with label Yasmin Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Yasmin Ahmad. Show all posts

Pengarah Yasmin Ahmad meninggal dunia

Pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam ini di Hospital Pakar Damansara.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di Hospital Pakar Damansara.

Yasmin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di otak.

Suaminya, Tan Yew Leong, Dr.Zakaria Zahri (adik ipar) dan Datin Orked (adik), Dr. Zurin turut berada di sisi Allahyarhamah ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah pengarah tersohor ini akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid SS19, Subang Jaya sebelum solat Zohor, esok (26 Julai), manakala tempat pengebumian masih belum ditetapkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh rakan baik Allahyarhamah, iaitu pelakon Fatimah Abu Bakar yang mewakili keluarga pengarah itu, pada sidang media yang dibuat di hospital tersebut, sebentar tadi.

Fatimah juga meminta kepada semua peminat Yasmin untuk turut menyertai solat jenazah serta mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di sisi orang beriman.

Pihak media juga diminta untuk tidak mengganggu ahli keluarga Yasmin buat masa ini yang masih bersedih dengan kematian pengarah itu.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Datuk Seri Farid Ridzuan dan adik iparnya, Dr. Zakaria Zahri.

Yasmin, 51, rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, pada Khamis dan dikejarkan ke hospital berkenaan.

Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.

kredit:mstar

Pengarah Yasmin Ahmad selesai jalani pembedahan otak



Pakar Neuro di Hospital Pakar Damansara, Dr. Zakaria Zahri memberitahu pengarah Yasmin Ahmad telah mengalami serangan strok.

"Yasmin telah mengalami serangan strok dan terdapat pendarahan pada otaknya. Kami telah melakukan pembedahan untuk mengurangkan bengkak di dalam otaknya," kata Dr Zakaria Zahri yang telah membuat pembedahan kecemasan ke atas Yasmin selama lebih sejam bermula dari pukul 6 petang tadi.

Pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad yang kurang sihat ketika sedang membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, TV3, hari ini menjalani pembedahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Damansara dan keadaannya kini stabil.

Datuk Dr Zakaria yang juga adik ipar Yasmin berkata pengarah itu mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.

"Jantungnya disokong oleh ubat-ubatan bagi mengawal tekanan darah... tempoh beberapa jam akan datang amat penting bagi kami, tapi beliau kini dalam keadaan stabil sungguhpun masih belum sedar," katanya.

Sementara itu penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin bersama suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang turut berada bersama Yasmin pada pembentangan kertas kerja itu, berkata Yasmin mengadu sakit selepas 15 minit membentangkan kertas kerja berkenaan.

Menurut Dr Zakaria, beberapa jam seterusnya amat kritikal bagi Yasmin yang sedang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut.

"Buat masa ini, jantungnya disokong oleh ubat-ubatan dan keadaannya sekarang stabil," kata Dr. Zahari pada sidang akhbar di Hospital Pakar Damansara di sini, petang tadi.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Presiden Mercy Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.

Beberapa selebriti terkenal turut berada di hospital untuk mengetahui perkembangan Yasmin. Di antara mereka ialah Datuk Siti Nurhaliza dan suami Datuk Khalid Mohd Jiwa, Adibah Noor, Fatimah Abu Bakar, Jaclyn Victor, Dafi, Rozie Rashid dan Afdlin Shauki .

Dalam perkembangan yang lain, keluarga Yasmin meminta pihak media dan orang ramai agar memberi mereka privasi. Mereka juga memohon agar semua orang mendoakan Yasmin kembali sihat seperti biasa.

kredit:mstar