Mungkin ramai yang tidak percaya personaliti 'kontroversi' Azwan Ali pernah menyimpan hati pada penyanyi terkenal Ziana Zain yang kini sudah pun mempunyai empat orang anak.
"Kisah tu dah lama berlalu. Tapi sampai hari ini saya pun hairan kenapa dia tidak mahu menjejak kaki ke rumah saya walaupun puas saya mengajaknya.
"Bukan sekali, bukan dua kali tetapi berpuluh kali. Sekali pun dia tidak pernah sudi datang ke rumah saya," jelas Azwan yang masih teringat kali pertama dia berjumpa dengan Ziana.
Kata Azwan lagi, "Saya ingin tegaskan di sini, saya sukakan Ziana ketika dia seorang penyanyi baru. Bukan seperti Ziana yang sekarang. Ada sesuatu tentang dirinya yang saya suka.
"Waktu tu usia saya baru 23 tahun. Pada saya, Ziana seorang gadis Melayu yang naif, bersahaja dan menarik. Itu membuat saya sangat tertarik padanya.
"Saya ingat lagi peristiwa di sebuah hotel di mana dia telah 'reject' saya dan telah memanggil saya 'Dik Non'.
"Dia lah artis pertama yang panggil saya Dik Non. Tapi saya tak ambil hati dan masih simpan lagi sepasang kasut comel yang dibelinya di Jepun, pemberian Ziana sewaktu dia menjadi pramugari ketika itu," kata Azwan yang memberi pose menarik di almari tempat tersimpannya sepasang kasut comel itu.
Bila ditanya adakah Ziana punca hatinya tertutup pada wanita, Azwan mengambil masa yang lama untuk menjawab soalan itu.
"Ya...mungkin juga," kata Azwan menutup kisah lama itu rapat-rapat dan terus ke topik lain.
Azwan juga tidak kisah jika ada yang berkata kisahnya bersama Ziana hanya satu 'propa.'
"Biarlah apa orang nak kata. Yang penting saya jujur menyatakan isi hati yang terpendam selama ini," kata pengacara terkenal yang pernah menghasilkan program menarik seperti Cit Cat Azwan dan Amboi amboi amboi.
Kata selebriti popular ini, dia juga ada mendengar sosek-sosek orang ramai tentang kononnya pengumuman dia sudah berubah sekembalinya dari umrah baru-baru ini hanya satu 'propa' juga.
"Itu pun terpulanglah. Saya tak kisah apa orang nak cakap sebab saya berjanji dengan Allah bukan dengan you atau wartawan lain. Jadi, apa pun orang nak cakap, biar lah."
Tambahnya lagi, "Macam yang saya cakap sebelum ini, sampai bila nak kejar hal-hal dunia saja. Azwan Ali pun ada hati dan perasaan juga. Bila tuhan dah buka hati orang itu akan berubah, siapa kita hendak persoalkan," jelasnya ringkas.
kredit:mstar