Fahrin Menangis Didakwa Panas Baran Dan Kaki Pukul





SIKAP berdiam diri bukan lagi jalan terbaik bagi pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad, 31, menghadapi segala kemelut kisah percintaannya.

Tindakan mengemukakan notis tuntutan dalam tempoh tujuh hari terhadap bekas kekasihnya, penyampai radio Suria FM, Linda Onn, merupakan jalan terakhir bagi Fahrin membersihkan semula namanya dari persepsi negatif masyarakat.

Dakwaan kononnya dia seorang yang panas baran dan kaki pukul dalam satu kenyataan Linda baru-baru ini merupakan tamparan hebat kepadanya sehingga dia terpaksa mengambil keputusan yang agak sukar itu.

"Keputusan ini sangat berat. Saya ambil masa yang agak panjang untuk membawa perkara ini ke mahkamah. Saya lebih suka berdiam diri, namun keadaan tersebut tidak dihargai.

"Apabila keadaan semakin tidak terkawal dan menjejaskan imej dan kredibiliti saya sebagai duta kepada tiga produk terkenal Shell, Celcom dan Garnier, saya rasa tiada jalan lain selain bagi amaran kepada dia (Linda Onn).

Fahrin menzahirkan rasa kesal dengan dakwaan dia seorang lelaki yang panas baran. Pelakon drama TV itu turut mengakui, dia menghadapi tekanan emosi sejak kebelakangan ini kerana dakwaan itu.

"Kesan kenyataan itu sangat besar kepada emosi, kerjaya dan keluarga saya. Bayangkan bagaimana perasaan saya bila orang bertanyakan hal ini kepada ibu saya yang terlantar sakit di hospital?.

"Bagaimana jika saya nak berkahwin dan macam mana tanggapan keluarga perempuan terhadap saya? Bagaimana pula tanggapan produk-produk iklan yang ambil saya sebagai duta? Bagaimana dengan rezeki dan masa depan saya nanti?," ujar Fahrin sambil menahan sebaknya.

"Saya sangat kecewa, saya tidak marah dengan mereka tetapi kenapa sampai hati buat saya begini. Kata saya kaki pukul, panas baran...., saya tidak macam itu," ujar pengacara Sehati Berdansa ini.

Dia turut memberitahu bahawa keburukan-keburukan yang diceritakan oleh bekas-bekas kekasihnya itu telah mengaibkan dirinya.

"Percintaan bersama Linda dan Scha Al-Yahya adalah dua percintaan yang berbeza. Jalan ceritanya juga berbeza tapi bila mereka sudah berkawan baik, mereka bercerita tentang keburukan saya. Cuba suruh mereka cari 10 kebaikan saya, mesti ada.
Dalam pada itu, Fahrin turut mengakui serik untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mereka di kalangan selebriti setelah melalui hal-hal sebegini.

"Mula-mula dulu saya anggap ini adalah jodoh. Tapi setelah apa yang saya lalui dan apa yang telah ditunjukkan tuhan, mungkin lepas ini bukan dengan rakan artis lagi," ujarnya mengakhiri perbualan.

kredit:mstar

7 Hari Untuk Linda Onn Minta Maaf, Jika Tidak...


Pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad, 31, hari ini menafikan tuduhan penyampai radio Linda Onn, 32, bahawa dia seorang yang memiliki sikap panas baran seperti yang didakwa bekas teman wanitanya itu baru-baru ini sehingga mendatangkan fitnah dan provokasi kepada pembaca.

Sehubungan itu, Fahrin melalui peguamnya, Tengku Naufal Tengku Mansor menuntut Linda atau nama sebenarnya, Rozlinda Onn tampil membuat kenyataan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari mulai Jumaat lalu melalui akhbar Sinar Harian dan The Star.

Beliau mendakwa, anak guamnya sangat tertekan dari awal tahun dengan apa yang berlaku sehingga memberi impak kepada imej dirinya dan keluarga.

Dalam pada itu, Tengku Naufal memberitahu pihaknya sedang dalam proses mengumpul bukti yang cukup, sama ada melalui kenyataan-kenyataan akhbar, blog dan laman Twitter untuk mendakwa selebriti lain yang terlibat.

kredit:mstar

Bung dan Zizie




PENGANTIN BARU ... Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, 52, bersama isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, 32, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini. Mereka baru pulang dari Sabah selepas Bung Mokhtar meninjau keadaan banjir di kawasan beliau. Zizie yang juga pelakon drama bersiri 25 episod, 'Suraya' terbitan Zeel Production, dikatakan mendirikan rumahtangga dengan anggota parlimen itu penghujung tahun lepas
'Cerita perkahwinan kami sudah diketahui umum dan tiada apa hendak sorok pun," katanya.

"Kami sudah menjadi suami isteri yang sah. Pada saya tiada apa yang perlu disorokkan lagi. Malah, kami sama sekali tidak pernah berselindung mengenai perkahwinan ini," ujarnya.

Ditanya bilakah dia dan Bung bersedia untuk berkongsi gambar-gambar mereka secara rasmi dengan pihak media, Zizie berkata, perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsikan dengan khalayak buat masa ini.

Namun, Zizie juga tidak menlak kemungkinan akan berkongsi cerita kebahagiaan mereka di masa akan datang.

"Buat masa ini, saya minta maaf sangat sebab masih tidak dapat kongsi gambar-gambar atau cerita perkahwinan kami dengan lebih mendalam.

"Harap semua pihak faham kami perlu menjaga hati banyak pihak.

"Bagaimanapun, di satu masa terbaik, saya tidak menolak kemungkinan untuk kami berkongsi perkara ini kepada umum. Tunggulah nanti," ujarnya mengakhiri perbualan.

Ketika diusik dengan pertanyaan bilakah mereka akan berbulan madu, Zizie berkata, dia tidak dapat menjawab soalan itu memandangkan kedua-duanya sedang sibuk dengan tugasan masing-masing.

Zizie yang enggan memaklumkan mengenai butiran lanjut pernikahan mereka termasuklah tarikh nikah, bagaimanapun mengakui dia dan Bung kini sedang bahagia

kredit:mstar

Radhi- Mahu selesai cara baik!


AKHIRNYA dia muncul juga. Setelah empat kali ‘gagal’ atau sengaja ‘mengagalkan diri’ untuk hadir ke Mahkamah Rendah Syariah untuk prosiding kes pengesahan lafaz cerainya, Radhi OAG akhirnya tidak mampu mengelak lagi.

Dia akhirnya muncul pada prosiding kes pengesahan lafaz cerai yang dituntut oleh isterinya, Shazlin Sharif pada hari Isnin lepas.

Bukan setakat muncul, tetapi datang berkongsi satu kereta lagi. Apakah akan ada sinar baru dalam rumah tangga mereka setelah melihat perkembangan terbaru ini?

Radhi dilihat hadir bersama Shazlin dengan menaiki sebuah kereta yang dipercayai milik isterinya itu pada pukul 2.40 petang.

Kehadiran mereka secara bersama yang turut ditemani oleh seorang wanita itu menimbulkan tanda tanya kerana selama ini kedua-duanya bersikap dingin antara satu sama lain. Siap perang mulut, tuduh-menuduh bagai di luar mahkamah sebelum ini.

“Kami nak selesai cara baik,” kata Radhi ringkas.

Selepas bikin kontroversi hampir setahun di dalam dan luar kawasan mahkamah, akhirnya Radhi tahu bahawa dia perlu menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan secara baik.

Pada 3 November lalu, pihak Shazlin telah pun memberikan keterangan mengenai lafaz, tarikh dan niat cerai suaminya itu tetapi dinafikan oleh Radhi.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Radhi kerap tidak hadir ke mahkamah sebelum ini disebabkan masalah pengangkutan dan kes itu sekali lagi ditangguh pada 24 Februari ini bagi memberikan ruang kepada Radhi untuk mengemukakan pembelaan.

Pada 1 Disember lalu, Radhi terlewat lima minit selepas prosiding kes tersebut ditangguhkan sehingga menyebabkan waran tangkap yang dikenakan pada 3 November lalu dilanjutkan.

Namun yang tak berapa best, Radhi mengaitkan alasan kelambatannya sebagai sikap biasa artis.

“Rock star mesti datang lambat,” kata Radhi.

kredit:utusan

Fahrin: Peguam Saya Dah Hantar Notis Kepada Linda Onn


Aktor dan pengacara Fahrin Ahmad berkata, peguamnya telah mengemukakan notis tuntutan kepada bekas kekasihnya yang juga pengacara dan penyampai radio Linda Onn termasuk beberapa syarikat akhbar, semalam.

Tindakan itu dibuat sebagai langkah awal Fahrin untuk membersihkan namanya berikutan Linda mendakwanya sebagai kaki pukul.

Dia juga kecewa dengan penyampai radio Suria FM itu yang berterusan memburukkan namanya sejak percintaan mereka putus dua tahun lalu.

Sehubungan itu Fahrin dan peguam yang mewakilinya, Tetuan Naufal & Co akan mengadakan sidang media di Palace of The Golden Horses pada pagi Isnin ini untuk menjelaskan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap mereka.

Dalam pada itu, peguam Tengku Naufal ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen sehingga Isnin ini.

“Tunggu saya komen pada Isnin ini,” tegasnya.

Fahrin, pengacara yang popular menerusi program Sehati Berdansa selama tiga musim berturut-turut berkata dia amat sedih apabila Linda mendakwanya panas baran serta ‘cepat naik tangan’.

Lantaran, dakwaan itu telah memberikan kesan negatif kepada kerjayanya sebagai seorang pelakon serta duta Garnier dan Shell.

kredit:mstar

Along raja lawak berkahwin





WALAUPUN bergelar raja sehari, pelakon filem Adnan Sempit Along Raja Lawak yang berasal dari Johor Baru, Johor tidak lupa untuk ‘berkabung’ ekoran kemangkatan Sultannya, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 27, mengenakan kain lilitan putih pada songkoknya semasa upacara pernikahan dengan pasangannya, penyanyi dan pelakon Nur Azilah Seeron, 21, (Zila AF4) di Masjid Felda Lui Selatan 1, Bandar Seri Jempol, hari ini.

Dengan dua kali lafaz, pasangan yang bertunang selama setahun sebulan ini sah bergelar suami isteri dengan mas kahwin RM200 beserta tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM17,119.

Menurut Zila, nilai wang hantaran ditetapkan mengikut gabungan tarikh lahirnya dan Along di mana Along dilahirkan pada 19 Januari manakala Zila pada 17 November.

“Alhamdulillah, saya memang nervous kerana tidak percaya yang saya kini sudah bergelar isteri Along yang sah walaupun menempuhi pelbagai dugaan sebelum ini,” beritahu Zila yang tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir di tubir mata sejurus selepas selamat dinikahkan.

Selepas sehari bergelar suami isteri, Zila berkata dia akan menemani suaminya pulang ke Kuala Lumpur esok kerana Along akan kembali sibuk dengan kerjanya.

Disebabkan itu, mereka terpaksa menangguhkan rancangan untuk berbulan madu dalam masa terdekat ini.

“Kami belum rancang tempat dan waktu untuk berbulan madu kerana selepas nikah dan bersanding hari ini, Along akan sibuk dengan penggambaran,” katanya ketika dihubungi.

Disoal mengenai anak, tanpa berselindung Zila memberitahu dia dan suaminya belum membuat apa-apa perbincangan berhubung soal anak sebaliknya menyerahkan kepada izin Allah.

kredit:mstar

Tony Eusoff, Diana Johor Saman Gulatis RM1 Juta


Dua pelakon dan model terkenal, Tony Eusoff atau Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman,33, dan Diana Johor Zainal Abidin, 29, telah memfailkan saman berjumlah RM500,000 setiap seorang terhadap syarikat tekstil, Gulatis Exclusive Sdn Bhd.

Saman dikemukakan melalui peguambela yang mewakili kedua-dua model itu, Ahmad Rizal Effande Zainol.

Tony dan Diana memfailkan saman atas alasan syarikat tekstil terkenal itu telah menggunakan gambar mereka untuk tujuan komersil bagi mempromosi jualan gedung tersebut pada kain rentang dan iklan syarikat berkenaan tanpa kebenaran.

Mereka menganggap Gulatis telah mengakibatkan mereka kerugian dari segi peluang pekerjaan memandangkan kerjaya mereka bergantung kepada penampilan dan penggunaan wajah.

Selain itu, mereka turut menuntut gantirugi teladan (akan ditaksir semasa perbicaraan), faedah pada kadar 8 peratus setahun mengikut jumlah gantirugi RM500,000 dan gantirugi teladan bermula dari tarikh Penghakiman sehingga penyelesaian sepenuhnya, kos antara peguam dan anak guam.

“Ia ibarat orang mengguna barang dan imej kita tanpa sebarang pengetahuan dan budi bicara sedangkan kita mempunyai hak.

“Lagipun, setiap artis Malaysia mempunyai ‘harga’. Sedangkan orang biasa pun akan cuba menegakkan keadilan. Apatah lagi insiden ini telah mengurangkan peluang kami untuk mendapat tawaran daripada syarikat lain.

“Peguam kami telah menghantar notis kepada pihak Gulatis namun tiada sebarang respons,” katanya.

Pada 19 Februari 2009, Tony dan Diana melalui peguambela mereka telah menghantar notis tuntutan kepada pihak Gulatis dan menuntut bayaran gantirugi daripada syarikat itu.

Namun sehingga ke tarikh saman ini difailkan pihak Gulatis masih ingkar, cuai dan enggan untuk membayar gantirugi yang dituntut oleh Tony dan Diana.

Menurut Tony, gambar mereka berdua yang memakai pakaian pengantin itu disalahgunakan selama lebih setahun lalu selepas mereka menerima makluman daripada rakan-rakan bahawa gambar mereka telah dipamerkan dihadapan premis perniagaan di 162 & 164, Tingkat 2, Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur pada 24 September 2008.

Sementara itu, Diana yang dikenali menerusi drama Sembilu dan filem Sembilu 2005 menambah, “Bukan kedai di Jalan TAR sahaja, saya juga mendapat tahu gambar kami telah digunakan oleh Gulatis di Johor Bharu.”

Dalam pada itu, peguam Rizal berkata tuntutan yang dibuat terhadap pihak Gulatis adalah memadai setelah mereka mempertimbangkan tempoh masa dan reputasi anak guamnya sebagai pelakon dan model yang dikenali umum.

Sebelum ini, Gulatis juga pernah disaman oleh dua selebriti terkenal iaitu Zahnita Dorothy Hussein Wilson dan Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja.

Eja telah mendapat RM20,000 berhubung saman ganti rugi yang dituntut olehnya terhadap Gulatis atas dakwaan melanggar perjanjian.

Sementara Zahnita menfailkan saman pada Disember lalu yang menuduh Gulatis menggunakan gambarnya di poster dan iklan syarikat itu tanpa kebenarannya dan mendakwa dia telah mengalami kerugian besar ekoran pembatalan usahasamanya dengan syarikat tekstil yang lain kerana perkara itu.

kredit:mstar

Perkahwinan Sheikh Muszaphar Berkonsepkan Istana Kayangan 10.10.2010



PERSANDINGAN angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor bersama pilihan hatinya Dr Halina Mohd Yunos bakal berlangsung pada 10 Oktober dengan berkonsepkan Istana Kayangan.

Ilham tersebut dicurahkan oleh perancang perkahwinan terkenal, Bill Bora yang bertanggungjawab memberi kelainan dan menguruskan majlis gilang-gemilang itu nanti.

"Konsep perkahwinan tradisional dicampur dengan elemen angkasa lepas memberi ilham kepada saya untuk memilih konsep Istana Kayangan.

"Memandangkan tetamu yang bakal menghadiri perkahwinan itu nanti adalah 100 angkasawan daripada 35 buah negara disamping tetamu kehormat dari dalam dan luar negera menjadikan majlis ini bukan majlis biasa.

"Konsep tradisional dan elemen dongeng melayu itu bakal membuka mata tetamu luar negara tentang kebudayaan Malaysia, Itu yang diinginkan oleh Datuk sendiri," ujarnya yang menganggap majlis ini bakal menjadi ‘wedding of the decade’.

Pasangan yang mengikat tali pertunangan pada 1 Januari lalu telah memilih tarikh 10 Oktober 2010 untuk majlis perkahwinan mereka sempena ulang tahun ketiga Dr. Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Selain itu, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada persidangan Association of Space Explorers pada 3 hingga 10 Oktober ini, maka peluang ini diambil bagi menunjukkan kepada tetamu dari luar negara tentang adat kebudayaan melayu di Malaysia.

Dr. Sheikh Muszaphar dijangka akan melangsungkan majlis pernikahan pada pukul 11 pagi dan persandingannya pula pada sebelah malamnya.

"Kelainannya ialah saya turut menyelitkan unsur sejarah melayu, di mana Dr. Sheikh Muszaphar sebagai anak melayu pertama ke angkasa lepas akan di tampilkan dengan pakaian kepahlawanan melayu lama.

"Persembahan Istana Kayangan pula melambangkan angkasa lepas, bulan dan bintang. Pasangan mempelai pastinya bagai seorang pahlawan Melayu mengahwini puteri dari kayangan. Banyak lagi unsur-unsur yang akan saya selitkan dari segi pemakanan, persembahan artis dan instrumen muzik.

"Saya masih mencari unsur-unsur lain bagi mencantikan lagi majlis ini. Setakat ini semua perancangan dan idea saya telah dipersetujui oleh Dr. Sheikh Muszaphar, tapi ia masih lagi diperingkat awal," ujar publisis Bill Bora yang mengakui memikul tanggungjawab yang sangat besar bagi mencorakkan majlis ini.

Namun begitu anggaran perbelanjaan masih belum dapat dipastikan kerana lokasi majlis juga masih dalam perbincangan.

"Persidangan tersebut masih belum ditentukan tempatnya. Kalau boleh Dr. Sheikh Muszaphar mahu tempat tersebut berhampiran dengan tempat berlangsungnya kongres Angkasawan bagi memudahkan para jemputannya datang," ujarnya.

Bagaimana pun, tempat kongres itu masih belum ditentukan lagi.

Dalam pada itu, Bill turut memberitahu bahawa persiapan perlu dibuat dengan teliti memandangkan Datuk Sheikh Muzafar bukan sahaja selebriti di Malaysia malah angkasawan yang diakui di peringkat antarabangsa.

kredit:mstar

Betty Banafe Gila Kerana Berkasih Dgn Nash


"‘Are you out of your mind? You boleh dapat lelaki yang lebih baik darinya’," cerita Betty Banafe sambil tersenyum, terkenangkan reaksi kawan-kawannya. Kongsinya lagi, ada juga yang bertanya jika perhubungannya dengan Nash sekadar taktik untuk menimbulkan rasa cemburu pada bekas kekasih.

“Biasalah, perkara seperti ini bila didedahkan akan ada yang cuba untuk mempengaruhi, ada yang tak puas hati, mungkin dari sebelah sana juga tidak puas hati. Abang (gelarannya untuk Nash) ada minta saya tabahkan diri untuk menghadapi segala cemuhan orang. Tapi saya tak kisah.

“I'm a love seeker. Tetapi saya amat cerewet dan berhati-hati dalam memilih pasangan. Saya mesti mencari seorang lelaki yang boleh memahami saya. Saya selalu berdoa agar ditemukan dengan lelaki yang baik untuk diri dan agama.

“Harta itu boleh dicari tetapi kebahagiaan rohani dan dalaman bukan sesuatu yang mudah (untuk dicari). I don’t like fake things. Saya sudah melalui semua itu, dah kenal bermacam-macam orang, dah hidup mewah… Jika saya nak kejar glamor, saya dah lama glamor. Saya letihlah.”

Tambah Betty, 30, hatinya tidak mudah terbuka dan dia bukan seorang yang senang untuk dicintai. Malah sudah diberi amaran kepada Nash bahawa dia seorang yang agak ‘difficult’.

“Tapi dia cuma ketawa. Nash seorang yang istimewa. Usianya dah 51 tahun, jadi cara dia memberi kasih sayang itu berbeza. Dia seorang yang akan berada di sisi saya pada bila-bila masa saya memerlukannya. Dia juga seorang yang romantik dan pendengar yang baik. Dia terlalu baik sebenarnya, sempurna.

“Dia pernah bertanya jika saya bimbang orang akan bercakap tentang perhubungankami. Bagi saya, orang boleh cakap tapi itu tidak akan menghalang saya. Dia pun pernah berkata, jika saya dapat mencari seorang yang lebih baik dan ingin meninggalkannya, dia izinkan.

“Katanya, ‘Abang nak tengok adik bahagia. Pilihlah yang terbaik untuk diri you. Takpe kalau sekarang bukan masa kami. Walaupun janda, abang masih akan terima.’ Itu sudah cukup menyentuh hati saya.”

Saling mengenali ketika Betty mula-mula menceburi industri hiburan sebagai penyanyi, sekitar tahun 2000, mereka mula rapat enam tahun lalu melalui Persatuan Karyawan. “Masa tu, dia lebih kepada seorang ‘father figure’. Kami sangat rapat. Kita selalu berkongsi rahsia.”

Dedah Betty, antara faktor yang merapatkan mereka adalah kebetulannya mereka sentiasa mengalami nasib yang serupa. “Kami sering berdepan dengan masalah yang sama. Orang tidak suka pada kita kerana pendirian kita, pengalaman diambil kesempatan... Sebab itu kami berdua amat menghargai keikhlasan.”

Jika ada jodoh, adakah Betty akan menerimanya? “Saya bukan seorang yang suka mempermainkan perasaan orang. Saya percaya Nash seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Sudah pasti dia ada ciri-ciri yang saya cari dalam seorang teman walaupun bukan semua.”

kredit:gua.com.my

Scha dedah cerita putus cinta


PUNCA utama keretakan cinta membabitkan dua pelakon dan pengacara popular, Fahrin Ahmad serta Scha Alyahya akhirnya terlerai apabila Scha bersuara menceritakan perkara sebenar. Dia tidak mahu peminat mahupun media massa terus berteka-teki memberikan pelbagai spekulasi, ditambah 'hukuman' yang diterimanya apabila diserbu pihak polis apabila didapati berada di sebuah pusat hiburan haram bersama rakan pengacaranya dalam Sehati Berdansa 3, Awal Ashaari, baru-baru ini.

“Secara rasmi saya putus cinta dengan Fahrin ketika Ramadan tahun lalu. Kami bercinta pun tak sampai setahun. Saya mengaku, saya yang minta daripada Fahrin, kami putus cinta. Sebelum ini ada beberapa siri, kami putus kemudian sambung kembali, tapi sampai suatu ketika, keadaan semakin tidak terkawal, saya angkat kaki dan terus bertemu media massa memaklumkan saya dan Fahrin sudah tidak ada apa-apa hubungan istimewa lagi.

Kami putus cinta bukan disebabkan orang ketiga, sebaliknya sikap Fahrin sendiri. Saya tahu, Fahrin cuba meraih simpati dengan kegagalan percintaan kami sebab itu dia seolah-olah mendakwa wujudnya pihak ketiga. Mungkin Fahrin berada dalam tekanan apabila gagal bercinta dua kali (Linda Onn dan Scha), tapi tak perlulah menuding jari mencari kesalahan orang lain.

Fahrin sendiri ada kesilapan dan kelemahan dalam perhubungan kami. Saya mengaku, saya sendiri melakukan kesalahan, bahagian saya, saya ambil, dia pula ambil bahagiannya dan terus ke depan. Kami sama-sama panas baran. Apa yang pernah saya lalui bersama Fahrin, Linda Onn juga pernah melalui situasi yang sama. Saya dan Linda Onn berkongsi perkara yang sama, sangat tepat secara terperinci!

Saya sudah tidak mampu bertahan lagi dengan sikap Fahrin. Saya tahu semua perkara yang dilakukannya. Linda pernah memberitahu saya, jangan terus berdiam diri, nanti orang akan menyalahkan saya, justeru hari ini biarlah saya menceritakan perkara sebenar. Punca utama saya minta hubungan kami diputuskan ialah sikap Fahrin itu sendiri.

Saya mengaku, suatu ketika dulu saya memang menyayangi dan menyintai Fahrin, kami serius dalam perhubungan, tapi saya harus memikirkan masa depan. Sebelum berkahwin sudah berlaku macam-macam perkara, nanti dah kahwin macam mana? Dalam percintaan, memang kami berusaha menyelamatkan perhubungan, masing-masing cuba memperbaiki kelemahan, tapi apabila tiada toleransi, tak perlulah diteruskan lagi.

Saya berkawan dengan Awal dah lama sejak zaman ‘nobody’ lagi. Awal jadi hos pertandingan Dewi Remaja. Apabila tiba-tiba saja ada dakwaan mengatakan Awal orang ketiga, kasihan dia. Dia tak tahu apa-apa. Padahal, perhubungan saya dan Awal semakin rapat apabila saya putus cinta dengan Fahrin. Sekalipun Fahrin tidak pernah menyebut nama Awal sebagai pihak ketiga, orang tahu siapa yang dimaksudkan sebagai orang ketiga itu.

Fahrin tahu, bukan Awal orang ketiga. Sekarang ni Fahrin ‘jack pot’, kebetulan ada isu saya dan Awal ‘kantoi’ serbuan polis di pusat hiburan. Ada dua cerita yang berbeza. Saya putus dengan Fahrin bukan sebab Awal, saya ‘kantoi’ dengan Awal, itu cerita lain. Saya rapat dengan Awal apabila bermulanya Sehati Berdansa 3, ketika itu saya dan Fahrin sudah tidak ada apa-apa hubungan istimewa lagi.

Awal pun berkawan baik dengan Linda Onn juga, jadi dia tahu banyak cerita. Dia tahu punca sebenar saya dan Fahrin putus cinta. Saya mengaku, ketika ini, Awal ialah kawan saya paling rapat. Nak kata kami bercinta... belum lagi, tapi tujuan perhubungan kami memang ke arah itu (bercinta). Berilah kami sedikit masa. Saya tak mahu kesilapan yang sama berulang lagi. Risikonya tinggi. Namun, sekiranya suatu hari nanti kami jatuh cinta, alhamdulillah.”

Apabila saya putus cinta dengan Fahrin, saya mengaku, saya sering berkongsi kesedihan dengan Awal, itu yang membuatkan kami bertambah rapat. Apabila mengacara Sehati Berdansa 3, membuka ruang kami terus rapat. Ditambah peristiwa hitam di pusat hiburan itu, kami sama-sama berkongsi kesedihan dan kesilapan, itu juga membuatkan kami semakin rapat. Terus-terang, antara saya dan Awal, kami serius berkawan.

Saya akui, kejadian saya diserbu pihak polis pada malam Krismas, baru -baru ini, memang kesilapan saya, saya tak fikir panjang, akal pendek. Terpulanglah apa orang nak fikir, tapi pada malam kejadian, saya memang tidak dipengaruhi dadah mahupun alkohol. Saya juga berpakaian sopan, bukannya mencolok mata dan melakukan perkara tidak senonoh dengan Awal seperti digembar-gemburkan sebelum ini.

kredit:bharian

Natasha Hudson jadi penyanyi pula?



SEMPENA kedatangan 2010, aktres Natasha Hudson bertekad untuk membuang jauh-jauh semua 'episod duka' yang pernah membelenggu dirinya sebelum ini. Untuk tahun ini, Natasha Liana Hudson ingin lebih fokus pada karier seninya.

Terbaru, pelakon dan model ini bakal melebarkan cabang seninya ke bidang nyanyian pula.

"Sebenarnya, saya sudah menjadi artis mereka sejak November lalu. Cuma, kebetulan di Konsert Alibi, malam semalam (kelmarin) baru saya diperkenalkan kepada umum.

"Penyertaan saya dalam Metadome, berikutan hubungan rapat saya dengan Cat Farish. Mengikut perancangan asal, album saya sepatutnya diterbitkan oleh Cat, beberapa tahun yang lepas.

"Tapi, disebabkan oleh beberapa masalah dan kesibukan kerja, projek itu tertangguh begitu sahaja hingga hari ini.

"Kebetulan pula, Cat dan kumpulannya The Fabulous Cats juga bernaung di bawah Metadome.

"Apabila Metadome bertanya kepada saya jika saya berminat untuk bernaung di bawah mereka, saya terus bersetuju kerana saya sudah mengenali beberapa rakan artis di bawah label itu dengan rapat termasuklah Cat Farish.

"Saya selesa dan yakin dengan strategi pemasaran pasukan mereka. Tambahan pula, aliran muzik dan konsep yang dipertaruhkan Metadome menerusi artis-artisnya terkini dan menepati selera pendengar masakini.

Bercerita lanjut mengenai imej dan konsep lagu yang bakal ditampilkan, Natasha berkata, dia dan beberapa rakan menelaah banyak rujukan bagi mencari konsep lagu dan imej yang bersesuaian untuknya.

"Saya selalu mahu tampilkan sesuatu yang berbeza setiap kali saya muncul.

"Memandangkan ini usaha pertama saya untuk serius dalam bidang nyanyian, saya perlu tampil dengan imej tersendiri dan lagu-lagu yang bukan sahaja dapat memikat pendengar tapi juga memberi impak kepada industri.

"Lagu-lagu yang bakal diterbitkan untuk album pertama ini adalah kombinasi elemen pop dan beberapa genre muzik yang lain. Boleh dikatakan ala-ala muzik Natalie Imbruglia.

"Setakat ini, saya sudah siap rakam sebuah single bertajuk Hanya Tuhan Yang Tahu hasil nukilan bersama saya dan Cat Farish. Rakaman lagu ini hanya mengambil masa selama dua hari.

kredit:mstar

Heliza Nafi Ada 'Affair' Dengan Suami Orang


ARTIS kelahiran Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini hanya ketawa kecil apabila ditanya tentang khabar angin yang melanda dirinya ketika ini.

Dalam nada tenang, Nur Heliza Helmi atau mesra dengan panggilan Heliza berkata, dia sendiri terkejut bila dikaitkan dengan gosip yang mengatakan dirinya mempunyai hubungan dengan suami orang.

Semuanya gara-gara satu panggilan telefon yang dibuat oleh seorang wanita ke radio Hot FM baru-baru ini yang mengesyaki suaminya mempunyai hubungan dengan seorang artis kelahiran sebuah program realiti.

Wanita tersebut mengadu tentang perkara itu dalam program pagi stesen radio tersebut yang dikendalikan oleh Fara Fauzana dan Faizal Ismail. Menerusi panggilan susulan yang dibuat oleh DJ tersebut selepas itu, wanita terbabit turut memberi beberapa 'clue' tentang artis realiti itu.

Menurutnya, artis perempuan itu adalah seorang yang bertudung litup, bermata galak serta boleh bertutur dalam loghat utara dan Sabah. Disebabkan itu, ramai pendengar merasakan artis tersebut ialah Heliza menerusi 'gambaran' yang diberikan oleh wanita terbabit.

"Saya tidak berkesempatan mendengar radio pada waktu itu, tapi saya terbaca mengenai gosip tersebut di internet selepas itu. Malah, ramai kawan turut menghubungi saya bertanyakan tentang kesahihan cerita itu.

"Berdasarkan apa yang saya baca, ramai yang mengesyaki sayalah artis tersebut. Memang terkejut juga pada awalnya, tapi saya tidaklah 'melatah' dengan perkara ini sebab saya tak buat pun. Saya tidak ada hubungan dengan mana-mana suami orang.

"Keluarga saya pun ada membaca tentang perkara ini di intenet dan mereka faham keadaan sebenar. Itu spekulasi semata-mata," kata Heliza.

Ujar gadis berusia 23 tahun ini, dia berharap peminat-peminatnya tidak salah anggap dan merasakan artis itu ialah dirinya walaupun menerusi bayangan yang diberikan oleh wanita itu, ia agak ketara menjurus kepada Heliza.

"Saya sibuk dengan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ditambah pula ini adalah semester akhir pengajian saya, tugasan semakin banyak untuk disiapkan. Jadi saya tidak ada masa untuk jalin hubungan cinta dengan sesiapa pun.

"Tapi saya tidak tertekan pun dengan gosip ini kerana keluarga dan rakan-rakan terdekat memang memahami. Cuma saya berharap sangat orang tidak salah anggap tentang saya," luah anak kelahiran Kuala Terengganu ini.

Kata Heliza lagi, dia akui dikalangan rakan-rakan lelaki yang dikenalinya juga memang ada yang sudah berkahwin. Namun, mereka semua dianggap sebagai rakan saja.

Ditanya jika ada diantara mereka yang mungkin menyimpan perasaan terhadapnya, ujar Heliza, dia sendiri tidak pasti tentang perkara itu.

"Sejujurnya, saya memang tidak tahu siapa suami orang yang dimaksudkan itu. Memang saya ada ramai kawan lelaki yang sudah berkahwin, tetapi apa yang pasti, semuanya adalah kawan sahaja.

"Lagipun, saya tidak mahu dilabel pengacau rumahtangga orang. Mungkin, lelaki itu yang perlu tampil dan menjelaskan perkara sebenar kerana saya tidak mahulah rumahtangga mereka bergolak, sedangkan saya tidak tahu apa-apa," ujar penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi dan Kimia ini.

kredit:mstar

Ammar Fobia Berlakon Lagi Gara-gara Produksi Tidak Profesional


Ammar Alfian Aziz, 22, yang mula melonjak nama menerusi drama bersiri popular Tari Tirana.

Impian aktor kelahiran Cardiff, Wales ini untuk mengembangkan bakat lakonannya ternyata mengundang mimpi ngeri dan perasaan fobia gara-gara kekusutan dalam sebuah produksi drama.

"Saya jadi fobia untuk berlakon lagi ekoran apa yang terjadi dalam produksi Radius One yang menerbitkan siri Tari Tirana. Bukan hendak memburuk-burukkan produksi itu tetapi segala kekusutan yang berlaku sepanjang penggambaran drama ini benar-benar melampau.

"Bayangkan saya terpaksa komited kepada projek 26 episod itu selama tujuh bulan. Jika saya hendak bariskan satu persatu kekusutan itu, memang tidak guna sebab perkara telah pun berlaku. Watak saya sebagai Neo pun telah tamat penggambarannya. Itu pun setelah saya 'bertikam lidah', barulah mereka tergesa-gesa habiskan watak saya.

"Sebagai pelakon baru saya cukup komited dengan masa dan jadual penggambaran drama itu, tapi kekusutan dalam produksi itu sama sekali tidak saya jangka, memandangkan produksi itu terkenal menerusi beberapa drama bersiri yang popular sebelum ini seperti Sindarela dan Merah Putih.

"Apabila terlibat dengan mereka untuk Tari Tirana, barulah saya alami sendiri sikap tidak profesional produksi ini dalam menguruskan proses penggambaran.

Mengulas mengenai cerita kononnya Ammar 'bermulut tempayan' dan mendedahkan keburukan produksi itu, Ammar bertegas bahawa dia bukan sengaja membuat cerita. Malah katanya, setiap kekusutan yang berlaku sepanjang penggambaran drama itu benar-benar berlaku.

"Sebagai pendatang baru tak mungkin saya berfikiran sebegitu singkat untuk mereka-reka cerita jika kekusutan dalam produksi itu tidak berlaku.

"Saya berani luahkan perkara ini pun kerana saya berada di pihak yang benar. Bukan hendak panjang-panjangkan cerita yang sudah lepas. Cuma, terus-terang saya katakan, sekiranya saya dapat tawaran berlakon dengan produksi tersebut selepas ini, rasanya tak mungkin saya akan terima tawaran itu.

"Malah, saya juga pernah suarakan hal ini kepada penerbit dan pemilik Radius One, Fazli Baharom. Saya bukan marah dengan penerbit, saya kecewa dengan sikap tidak profesional tenaga produksi drama itu.

"Bukannya saya angkuh atau sombong, tapi cukup-cukuplah dengan apa yang telah saya lalui dengan mereka.

"Mungkin pelakon lain boleh bersabar dan berkompromi dengan produksi itu, tapi saya memang tidak boleh bersabar.

"Pada saya, apa yang berlaku, biarlah jadi pengalaman agar saya lebih berhati-hati di masa mendatang," katanya yang mengakui tidak mendapat bayaran setimpal untuk segala penat-lelah dan komitmen selama tujuh bulan terlibat dalam Tari Tirana.

"Kini, saya perlu lebih berhati-hati dalam memilih watak dan produksi yang memberi tawaran lakonan.

"Bukan serik atau tidak mahu berlakon langsung cuma saya jadi fobia setelah apa yang berlaku," katanya. Tambahnya, dia ingin kembali aktif dalam dunia modeling yang pernah dipinggirkannya seketika sebelum ini kerana ingin mencuba nasib dalam bidang lakonan.

"Saya dapat tawaran kontrak selama setahun untuk buat modeling di New York. Kontrak tersebut akan tamat pada Mac 2011.

"Memandangkan ini peluang yang sangat baik untuk saya terus mengembangkan nama dalam bidang modeling, saya sedang mempertimbangkan pro dan cons sebelum terbang ke sana.

"Sekiranya selepas saya tamat berlakon telefilem Ceritera nanti, tiada tawaran lakonan yang menyakinkan lagi, mungkin saya akan terus fokus pada bidang modeling semula,"

kredit:mstar

Gaya Selebriti Di Malam AJL24














Lagu 'Pergi' Juarai AJL24



Alunan lagu menyentuh perasaan, Pergi nyanyian Aizat telah berjaya mengungguli gelaran juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Dengan kemenangan lagu ciptaan Pete Teo dan lirik oleh Amran Omar itu, mereka telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000 berserta trofi.

Aizat juga berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Kau Aku dan sekaligus merangkul wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.

Sementara bagi tempat kedua, lagu Dan Sebenarnya nyanyian dan ciptaan sepenuhnya oleh Yuna telah berjaya meraih kemenangan dan membawa pulang wang tunai RM15,000 serta trofi.

Dalam pada itu, tempat ketiga pula berjaya dimenangi oleh lagu Bencinta ciptaan Audi Mok serta lirik dan nyanyian oleh Faizal Tahir. Mereka memenangi wang tunai RM12,000 dan trofi.

Juara Mentor musim ketiga, Black pula dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu nyanyiannya Aku Rindu Sayang Kamu, ciptaan sepenuhnya oleh Yuzai. Black membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

AJL24 diadili oleh juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi Zainal Abidin, penyanyi dan komposer Hazami, pelakon Fatimah Abu Bakar dan komposer Fauzi Marzuki selaku ketua juri.

Acara gilang-gemilang yang bertemakan Music Unfolds ini dihoskan oleh gandingan tiga pengacara hebat iaitu Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar.

kredit:mstar

Cerita Azza 'dibelasah' kekasih


AZZA dipukul kekasih sampai berdarah.Azza dikatakan telah mengalami kecederaan teruk akibat dipukul oleh teman lelakinya sendiri beberapa hari sudah.

Azza juga dikatakan telah membuat laporan polis angkara dipukul oleh teman lelaki sendiri.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai kejadian berkenaan, Azza memberitahu bahawa semua cerita itu telah diberi penambahan yang cukup melampau oleh pihak lain.

Azza yang popular dengan lagu Trauma bersama kumpulan Elite juga menafikan percintaannya dengan lelaki bernama Firhan lebih setahun lalu sudah putus akibat kejadian berkenaan.

“Tak ada lebam-lebam dan tak ada pun bengkak- bengkak.”

Begitulah pengakuan pelakon Azza (Elite), 32, apabila diminta komen berhubung insiden pergaduhan dengan teman lelakinya Mohd. Firhan Yusof, 29, di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Azza atau nama sebenarnya Azzarima Zawari juga terkejut bagaimana pertelingkahan kecil itu dilaporkan akhbar sehingga menggambarkan seolah-olah tragedi besar menimpanya.

Ditanya bagaimana insiden itu berlaku sehingga membabitkan pihak polis, jujur Azza bercerita ia bermula dengan pertelingkahan kecil di antara mereka.

Disebabkan tidak boleh mengawal perasaan, maka perang mulut telah berlaku sehinggalah terjadi sedikit kekasaran.

Ketika tidak dapat mengawal emosi itu, Azza terpaksa menghubungi pihak polis kerana bimbang berlakunya perkara yang lebih teruk selain untuk meminta polis memberi nasihat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Apabila pihak polis datang, mereka bawa kami ke balai polis. Di sana mereka bagi nasihat supaya jangan gaduh-gaduh lagi.

“Polis ada tanya Azza nak buat laporan atau tidak? Azza kata tak payahlah. Bukannya Firhan pukul Azza sampai bengkak-bengkak atau lebam-lebam pun. Cuma gaduh-gaduh biasa saja dan sekarang kami sudah okey,” katanya.

Selepas mendapat nasihat itu, mereka pulang ke rumah masing-masing dan Azza dihantar semula oleh anggota polis yang mengambilnya.

Mengenai laporan polis yang dibuat di Balai Polis Hulu Kelang pada 5 Januari lalu pula kata Azza ia tidak membabitkan teman lelakinya itu.

Sebaliknya laporan dibuat setelah dia mendapat kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbau ugutan.

Ujar Azza dia terkejut tiba-tiba ada orang mengirim SMS seolah-olah mengetahui rahsia luar dalam mengenai dirinya, selain berhasrat menyebarkan rahsia itu kepada umum.

Mengakui tidak pernah melakukan perkara tidak bermoral tetapi sebagai seorang artis tentunya dia terdedah dengan tumpuan orang ramai dan berkemungkinan ada pihak cuba melakukan sabotaj untuk memburukkan dia.

“Kerana bimbang mendapat SMS seolah-olah ugutan daripada orang yang Azza tak kenali, maka adalah lebih baik Azza membuat laporan polis untuk keselamatan,” ujarnya.

Menurut Azza, selama ini macam-macam fitnah dan tuduhan disebarkan melalui SMS membuatkan dia menjadi bimbang dan beranggapan ada pihak berniat kurang baik terhadap dirinya.

Percaya kepada peranan polis, maka Azza berharap individu terbabit dapat menghentikan perbuatannya itu untuk kepentingan bersama.

“Azza membuat laporan itu sebagai langkah berwaspada selepas individu berkenaan mengugut untuk membocorkan rahsia Azza. Tapi apakah rahsia itu? Azza sendiri tidak pasti.

“Perkara tersebutlah yang membuatkan Azza menjadi susah hati dan terus membuat laporan polis demi maruah agar tidak diperbodohkan,” jelasnya.

Mengenai hubungannya dengan lelaki yang berasal dari Kelantan itu, Azza mengaku dia bersyukur dipertemukan dengan seorang yang baik dalam hidupnya. Selama ini ujar Azza, Firhan banyak mencorakkan dia untuk menjadi insan yang mempunyai arah hidup selepas perkahwinannya dengan Mohd. Ehsan roboh.

Tetapi adatlah. Hubungan dan percintaan mana yang tidak ada ujian. Insiden yang berlaku pada Rabu lalu itu merupakan ujian percintaan pertama mereka yang agak serius tetapi syukurlah ia tidak berpanjangan.

“Firhan banyak mengubah hidup Azza untuk menjadi lebih positif. Nasihat yang dia berikan benar-benar bermakna. Apa yang Azza harapkan hubungan kami akan kekal berpanjangan sebab Azza sangat sayang kepadanya,” katanya.

Bercerita mengenai rumah tangga, menurut Azza dia hanya berserah kepada jodoh agar hubungan itu dapat diakhiri di jenjang pelamin.

Bagaimanapun masih terlalu awal merancang ke arah itu kerana mereka dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing.

kredit:utusan

Diddy nak kahwin

SELEPAS empat tahun melayari alam pertunangan, akhirnya Syamsul Hirdi Muhid (Diddy), 24, membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya dengan Ellen Norazah Abdullah, 24.

Selama ini ada dakwaan mengatakan hubungan mereka sudah berakhir dengan perpisahan.

Tetapi bak kata Diddy, ketika dia melangkah ke pentas Akademi Fantasia Keempat (AF4) pada tahun 2006, dia sudah berjanji satu perkara iaitu, cinta dan kasihnya terhadap Ellen tetap tidak akan berubah sampai bila-bila.

Dan hari ini Diddy mengotakan janjinya apabila dia mengumumkan hasrat untuk bergelar seorang suami.

Memilih tarikh 6 Februari, majlis akad nikah akan diadakan di Masjid Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor pada pukul 3 petang sementara sehari selepas itu diadakan majlis persandingan sebelah perempuan.

Dengan hantaran tujuh dulang dibalas sembilan, pihak lelaki juga akan membawa wang hantaran sebanyak RM10,000.

Menurut Diddy, dia amat bersyukur kerana hasrat untuk mendirikan rumah tangga itu tercapai jua.

Selama ini banyak dugaan yang dilalui mereka tetapi Alhamdulillah, segalanya dapat dihadapi dengan tenang.

Selama empat tahun menjadi tunangan orang tidak ada dugaan besar yang melanda kerana persefahaman yang disemai selama ini.

Lagipun Diddy dan Ellen sudah sepuluh tahun berkawan. Tentu mereka sudah memahami hati budi masing-masing.

Ditanya kenapa selepas empat tahun barulah dia bersedia untuk mendirikan rumah tangga, ungkap Diddy mudah saja.

Sekarang dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menggalas tanggung jawab sebagai ketua keluarga.

“Empat tahun kami bertunang tetapi sebenarnya sudah sepuluh tahun kami berkawan. Tahun ini adalah tahun yang mematangkan saya untuk bergelar seorang suami,” kata Diddy.

Ujarnya, walaupun dia tidak pernah membawa Ellen ke majlis-majlis hiburan, bukan bererti hubungan mereka sering bermasalah.

Sebaliknya jika ada masa terluang Diddy dan si dia sering berjumpa untuk mengeratkan lagi hubungan yang sudah terbukti utuh kerana Ellen juga bekerja di Kuala Lumpur.

Percaya atau tidak kata Diddy, dalam tempoh sepuluh tahun kenal itu, mereka sebenarnya masih lagi dalam proses bercinta.

“Memang bunyinya macam “poyo” tapi itulah kebenaran kisah cinta kami,” katanya.

Bercerita bagaimana dia boleh mengekalkan hubungan selama sepuluh tahun, kepercayaan adalah kunci dalam sesebuah kasih sayang.

Dan ketika membuat keputusan untuk bergelar artis sehari selepas bertunang, Diddy sudah berjanji tidak akan mempersia-siakan kekasihnya itu.

Kerana toleransi tersebutlah cinta mereka akhirnya diikat dengan sebuah perkahwinan.

Bersyukur mendapat bakal isteri yang memahami dan banyak membantu dalam kerjayanya selama ini, ujar Diddy, Ellen yang agak pemalu tidak mahu terlibat dalam mana-mana majlis hiburan.

Bukan tidak menyokong kerjaya bakal suami tetapi si dia berpendapat biarlah Diddy seorang sahaja yang menjadi milik masyarakat.

“Ellen berkata kepada saya dia tak mahu ikut saya pergi ke mana-mana majlis hiburan kerana dia tidak selesa.

“Begitu juga bergambar untuk majalah dan akhbar. Cukuplah saya seorang saja. Cuma pada majlis kahwin nanti sahaja dia bersetuju untuk bergambar berdua sebagai tatapan peminat. Apa nak buat, saya kenalah akur kehendaknya itu,” kata Diddy.

Bercerita mengenai majlis resepsi sebelah pihak lelaki pula ia akan diadakan secara sederhana pada satu tarikh yang belum ditetapkan pada bulan Februari akan datang.

Disaat tidak sabar untuk menanti tarikh keramat tersebut, lelaki ini tidak dapat menafikan agak sedih apabila memikirkan kehilangan ayah, Muhid Leman, 62, yang meninggal dunia pada 16 September tahun lalu.

Kata Diddy, ayahnya berhajat besar untuk melihat majlis pernikahannya tetapi apakan daya, hasrat itu tidak terlaksana.

“Sebelum ini Arwah abah selalu tanya saya bila nak kahwin? Saya cakap, nanti dulu abah.

“Beberapa hari sebelum dia meninggal dunia, saya ada luahkan perasaan untuk majlis itu tetapi dia memberi jawapan yang agak dingin seperti sudah tahu yang dia tidak sempat untuk meraikan hari bahagia itu,” katanya.

Walaupun begitu kata Diddy, dia percaya doa arwah sentiasa ada bagi mengiringi kebahagiaan kehidupan alam rumah tangga bersama-sama dengan Ellen tidak lama lagi.

Chef Sentap Dgn Liyana Jasmay

Baru-baru ini, Liyana Jasmay ada mengulas tentang harga makanan yang sangat mahal di Restoran Ikan Sungai, milik bapanya dan seorang lagi rakan kongsi, iaitu Chef Kamarul. Dalam kenyataan Liyana, dia ada menyebut yang dia tidak layak memberi ulasan kerana restoran itu tidak ada kena-mengena dengan dirinya.


Tetapi dalam masa yang sama, Liyana turut memberi komen yang agak pedas. Kenyataannya berbunyi, “Nasihat saya, kalau rasa restoran itu mahal, jangan paksa untuk datang makan di situ.”


Mungkin bagi Liyana kenyataannya itu biasa sahaja, tetapi lain pula bagi rakan kongsi bapanya, Chef Kamarul. Sumber Cik Andalusia memberitahu, Chef Kamarul telah menghubungi sebuah akhbar untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya itu.


Menurut Chef Kamarul, Liyana tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu. Baginya, pelanggan harus diutamakan dalam perniagaan. Kata-kata Liyana sedikit sebanyak boleh membuatkan pelanggan berasa terkilan.


Bagi Cik Andalusia, betul juga apa yang dikatakan oleh Chef Kamarul itu. Kenyataan Liyana seolah-olah ingin memberitahu, kalau tidak mampu membayar harga makanan di restoran tersebut, jangan sesekali datang menjamu selera! Nasib baik Cik Andalusia tidak makan ikan sungai.

kredit:gua.com.my

Abby & Norman Hakim di first day sekolah anak mereka





Tahniah Ako..Dah Jadi Bapa

isteri Ako Mustapha nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 37, Kartina Shuaib Abdullah, 29, apabila baru saja dikurniakan anak perempuan tanggal 31 Disember lalu. Pasangan ini selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri di Masjid Batu 4, Sandakan,Sabah, 17 Januari lalu.

Syukur kepada Allah kerana isteri Ako, Kartina selamat melahirkan bayi perempuan comel yang dinamakan Merissa Tempawan di Tropicana Medical Center.

nama Tempawan itu dipilih sempena nama ibu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seperti yang kita tahu Ako adalah cucu kepada kakak sulung Dr Mahathir, Allahyarham Rafeah.

Bagaimanapun, buat masa ini, Ako dan Kartina belum bersedia menayangkan wajah anak mereka kepada pihak media.

kredit:hmetro

Jais panggil Sosilawati


Usahawan kosmetik terkemuka, Datuk Sosilawati Lawiya dan suaminya yang dihebahkan ditangkap berkhalwat pada malam tahun baru Jumaat lalu diarahkan ke ibu pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shah Alam, hari ini.

Baru-baru ini sebuah akhbar dalam talian melaporkan Sosilawati ditangkap khalwat dengan seorang duda anak tiga di Astana Damansara, Petaling Jaya pada malam tahun baru dan mengaku bersalah serta meminta maaf kepada penguat kuasa kerana berada dalam keadaan yang boleh disyaki berkhalwat.

dia menafikan ditangkap khalwat sebaliknya mengaku bahawa lelaki berkenaan adalah suaminya dan mereka sudah bernikah di luar negara.

Bagaimanapun, dia 'merelakan' ditangkap khalwat kerana tak dapat menunjukkan surat nikah kepada pegawai yang melakukan serbuan.


Sosilawati yang sebelum ini berkahwin dengan penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash pada 16 November 2006 tetapi bercerai pada Mei lalu.

Mereka sedang menjalani majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan harta berjumlah RM1.38 juta oleh Sosilawati terhadap Nash di Mahkamah Tinggi Syariah yang akan bersambung pada 12 Januari ini.

kredit:hmetro

Lynn & Shahira meniti bahagia dalam perkahwinan kedua



Tatkala diajukan pertanyaan mengenai perkahwinan lalu, Lynn atau nama sebenarnya Sharifah Norhaslinda Syed Abu Bakar enggan komen lebih lanjut kerana mahu menjaga hati kedua belah pihak. Enggan bercakap banyak fasal perkahwinan lalu, Lynn sebaliknya menganggap kebahagiaan dan kegagalan segalanya kehendak Tuhan. Sebagai umat-Nya, dia mahu berusaha ke arah menjayakan perkahwinannya kini.

Selebihnya, dia serahkan pada Yang Maha Kuasa. Ditanya akan langkahnya yang kini sudah tidak serancak dulu dalam arena seni, Lynn mengakui walaupun masih rindukan bidang lakonan, namun demi keluarga dia mematikan hasrat tersebut buat seketika. “Ketika di awal perkahwinan ini, saya mengumumkan mahu berhenti dari berlakon. Tetapi masih ada tawaran untuk saya. Buat masa sekarang belum terfi kir untuk aktif semula

Berbeza dengan Sharifah Shahira atau lebih mesra dipanggil Shahira. Dia lebih terbuka dalam hal-hal peribadi. Terlerainya ikatan perkahwinan pertama bukanlah salah sesiapa, sebaliknya segala-galanya ketentuan Tuhan. Malah, sehingga kini mereka masih berbaik dan berkawan.

“Saya dan bekas suami tidak mempunyai sebarang masalah dalam perkahwinan lalu, tetapi mungkin sudah tiada jodoh dan sehingga kini saya masih dalam proses belajar dan menerima segala dugaan dalam alam rumah tangga dengan hati yang sabar. Alhamdulillah, setakat ini rumah tangga kami tidak masalah dan tahniah pada diri saya sendiri kerana mampu bertahan sehingga kini,”seloroh Shahira yang sememangnya ‘gila-gila’ orangnya.

Tatkala diajukan pertanyaan kehidupannya bersama suami yang juga orang terkenal pantas Shiera menangkis. Dia sebaliknya menafikan perkara itu. Walaupun tidak pernah terfikir untuk berkahwin dengan orang yang dikenali dan bergelar pelakon tetapi sudah tersurat, jodohnya begitu maka dia menerima dengan redha.

“Ada baik dan buruknya bila berkahwin dengan orang terkenal. Salah satunya adalah ke mana dan apa yang kita buat akan jadi perhatian. Jadi, kalau ternampak Ijoy lakukan sesuatu misalnya, pasti ada suara-suara luar yang memberitahu saya. “Tetapi saya bukanlah jenis yang mendengar kata-kata orang, sebaliknya saya akan bertanya terus pada Ijoy. Lagipun, kami sering berbincang jika ada sebarang masalah tanpa melibatkan keluarga,” kata Shahira.

Sempena kehadiran tahun baru, kedua-duanya mengakui tak banyak perubahan yang bakal dilakukan. Bagi Lynn sendiri, dia berharap kedatangan tahun baru ini bakal meningkatkan lagi tahap spiritualnya. Manakala Shiera pula dengan nada berseloroh, berharap tidak hamil lagi kerana mahu menumpukan perhatian pada anak-anak. Tapi katanya azam tahun 2010 adalah untuk memperbaiki diri tambahan pula usia yang semakin meningkat.

kredit:mingguan wanita