Showing posts with label eja. Show all posts
Showing posts with label eja. Show all posts

Nur Eishal penyeri lebaran Eja tahun ini


SYAWAL tahun ini memang cukup bermakna buat pemilik nama Siti Shahrizah Saifuddin atau mesra dengan panggila Eja ini.

Jika sejak 10 tahun yang lalu, hari lebaran disambut hanya dengan suami tercinta dan ahli keluarga yang lain, tetapi kali ini kehadiran Nur Eishal nyata lebih menambah keceriaan buat Eja dan keluarga.

Permata hati Eja dan suaminya itu yang lahir ke dunia pada 3 September lalu memang amat dinanti-nantikan oleh aktres jelita itu. Eishal yang digelar 'bayi Ramadan' oleh Eja kerana dilahirkan pada bulan mulia itu dianggap sebagai 'penyeri' Hari Raya tahun ini.

"Walaupun saya masih dalam pantang, tetapi saya memang 'excited' sambut raya tahun ini. Memang lebih ceria nampaknya raya kali ini dengan kehadiran Eishal.

"Memandangkan saya sedang berpantang di rumah ibu di Puchong, jadi suasana raya akan meriah kerana selalunya, memang rumah ibu akan menjadi tumpuan ahli keluarga dan saudara-mara semua bertandang.

"Cuma bezanya tahun ini, saya tidak buat sebarang persiapan raya. Maklumlah, saya sedang dalam pantang.

"Mungkin tahun depan saya akan sibuklah menjelang raya kerana Eishal juga makin besar nanti," ujar Eja ceria menceritakan tentang bayi perempuannya itu.

Bercerita tentang kehidupannya kini bergelar ibu, tutur aktres berusia 37 tahun, dia akui sedang menyesuaikan diri dalam meniti fasa hidup yang baru.

"Dapat menjadi seorang ibu memang akan membuatkan hidup seseorang wanita itu lengkap. Itulah yang saya rasai sekarang. Tidak saya nafikan, hidup saya sudah berubah 360 darjah sejak Eishal dilahirkan.

"Semua kerja kena buat dengan pantas sekarang ini kerana pada masa yang sama kena menjaga 'baby'. Saya akui, pertama kali menjadi ibu memang agak kekok pada awalnya.

"Saya tidak dapat lupakan saat anak anak saya menghidap demam kuning selepas beberapa hari dilahirkan. Memang panik betul saya ketika itu apatah lagi badan Eishal juga dipenuhi ruam yang saya tidak tahu apa puncanya.

"Empat hari anak saya dimasukkan ke hospital selepas itu. Tetapi alhamdulillah, keadaan Eishal semakin 'ok' selepas ibu turut cuba cari tradisional dengan memberikan dia minum susu kambing," cerita Eja tentang pengalaman awalnya bergelar ibu.

Eja juga turut berkongsi cerita di sebalik nama Nur Eishal yang dipilih oleh suaminya, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, untuk anak sulung mereka itu.

"Saya memang teringin nak namakan anak perempuan dengan nama 'Nur'. Dan saya beritahu suami saya, kalau boleh, saya ingin anak kami nanti berpangkal nama 'E' selepas perkataan 'Nur' itu.

"Saya pun tak tahu mengapa saya suka sangat huru 'E' itu, mungkin juga kerana mengikut nama saya, Eja.

"Suami saya kemudiannya cari tiga pilihan nama yang sesuai dan akhirnya, kami bercadang untuk ambil nama Nur Eishal yang bermaksud 'bunga syurga'. Alhamdulillah, ramai yang puji dengar nama ini," kata Eja.

Ditanya tentang perancangannya selepas habis berpantang nanti, ujar Eja, dia akan kembali menghabiskan penggambaran drama bersiri Tasbih Cinta arahan Erma Fatima.

"Saya akan berpantang selama 44 hari. Memang saya kena ikut betul-betul proses pantang ini kerana ibu saya memang tegas dalam hal-hal seperti ini.

kredit:mstar

Eja selamat melahirkan bayi perempuan


Pelakon Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Eja, 37, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.69kg dan setinggi 47cm pada 1.36p.m. hari ini, tiga minggu lebih awal.

"Kedua-dua Eja dan bayi berada dalam keadaan sihat," kata suaminya Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 49 menerusi satu khidmat pesanan ringkas (SMS).

Aktres jelita tersebut sebelum ini tidak pernah mengiyakan mahupun menidakkan tentang statusnya.

Hakikatnya, Eja telah berkahwin kira-kira 10 tahun yang lalu.

Eja hanya mengaku dirinya sudah berkahwin apabila kandungannya sudah mencecah tujuh bulan.

kredit:mstar

“Saya adalah seorang isteri & bakal ibu…” - Eja


Sederhana, elegan dan jelita, itulah tiga perkataan yang sangat tepat apabila membuka bicara mengenai Siti Shahrizah atau mesra disapa Eja. setiap kali muncul untuk sesebuah majlis anugerah mahupun majlis rasmi, gayanya tidak keterlaluan, begitu elegan dan klasik. senyuman manisnya tidak pernah lekang dari wajahnya, personality serta budi bicara sopannya menjadikan media malahan orang sekeliling menyenanginya. Tidak pernah cerita buruk diperkatakan mengenainya melainkan kisah dirinya yang dikatakan sudah berstatus isteri, mempunyai anak dan berkahwin dengan ahli korporat dengan gelaran isteri kedua. Namun semuanya ini tidak langsung menjadikan pemilik diri melatah dengan mudah. Malahan namanya tetap kuat dan kukuh di persada seni lakonan dan Eja dikenali menerusi drama Rahsia Demi Rahsia, hampir 12 tahun lalu.

Dia muncul di Imperial Suite, Hotel Grand Millennium Kuala Lumpur tepat jam 12 tengahari. Biarpun tanpa solekan, hanya mengenakan cermin mata ‘oversized’, gaun maxi dikenakan dengan kardigan putih, kasut flat berwarna emas dan menggenggam beg tangan jenama Prada, namun Eja tetap nampak classy dan jelita. Penulis dan Najeeb terkesima seketika apabila Eja muncul dengan rambut separa bahu, ini kerana Eja tidak pernah berambut pendek sebelum ini. Dia nampak muda dari usianya, stylo dan sangat sesuai dengan bentuk wajahnya.

Sewaktu wajahnya sedang dirias oleh Najeeb, penulis memulakan bicara dengan membuka kisah mengenai kehamilannya yang sudah mencapai lima bulan (ketika artikel ini ditulis). Eja hanya tersenyum dan mengatakan dia rasa sangat bersyukur dengan kehamilan pertamanya ini. Biarpun sudah berkahwin lebih 10 tahun, namun hatinya tidak terbuka untuk dikurniakan dengan cahayamata. Bukan dia tidak teringin, namun fokusnya ketika itu sehingga kini adalah kerjaya. “Atau mungkin kerana Eja merahsiakan status diri sebelum ini dan enggan berbadan dua kerana takut rahsia terbuka...?” tanya penulis kepada empunya diri.

“Eja sudah berada di dalam industri selama 12 tahun, dan sebenarnya tidak pernah merahsiakan status diri. Memang Eja sudah berkahwin lebih 10 tahun, ramai media yang tahu dan apabila persoalan itu digembargemburkan, Eja tidak pernah mengatakan ‘no komen’, apa yang Eja lazim jawab adalah soal peribadi dan kerjaya tolong jangan dicampur adukkan. Personal matter bukanlah hak umum untuk berkongsi, Eja perlu ruang untuk soal peribadi terutama rumahtangga. Ini adalah kehendak dan kerelaan hati Eja, bukan disuruh oleh suami mahupun sesiapa,” katanya panjang lebar.

kredit:nona