Que mula rasai gemuruh perkahwinan








SEBELUM ini, aktor Que Haidar kurang memberikan reaksi apabila disoal tentang perkahwinannya namun apabila ditanya tentang perasaannya kini, baru bakal suami koreografer Linda Jasmine Hashim ini merasakan debarannya.

Perasaan gemuruh Que jelas terpancar ketika beliau melakukan sesi ‘fitting’ sut pengantin di Butik Lord’s Tailor semalam.

“Apabila orang lain bertanya tentang perasaan saya sebelum ini, saya jawab saya tak rasa apa-apa tetapi sekarang baru saya rasa berdebar.

“Namun, diikutkan perasaan berdebar tu dah mula terasa sejak saya menjalani penggambaran di sebuah masjid.

Ketika itu, berlangsung sebuah upacara akad nikah. Apabila diberitahu oleh rakan produksi tentang upacara tersebut, terus saya pergi dan membayangkan saya sedang berada di tempat lelaki yang akan bernikah itu.

“Waktu tu, memang jantung saya berdenyut ‘dup dap dup dap’ dengan laju.

“Jika bertanya tentang perasaan saya sekarang, memang saya akui berasa gemuruh, teruja dan seronok.

“Perasaan bercampur-baur apabila keluarga dari Johor akan turut serta semasa majlis perkahwinan saya nanti,” ujar Que yang akan menjalani pengambaran sehingga 12 Februari ini sebelum mengambil cuti panjang untuk majlis perkahwinannya di Bora Ombak pada 14 Februari ini dan seterusnya majlis resepsi di Johor pada 15 Mac depan.

Menurut Que, tarikh 15 Mac dipilih oleh ibunya sendiri kerana waktu itu musim cuti sekolah. Jadi, semua ahli keluarga Que serta orang kampung dapat ‘turun padang’ untuk sama-sama memeriahkan majlis yang bakal berlangsung di Padang Awam Felda Taib Andak, Kulai.

Untuk majlis di Johor, Que serahkan kepada ahli keluarga, jiran tetangga dan pihak AZ Saloon yang bertindak selaku perunding perkahwinannya termasuk menghias pelamin.

Tambah Que, kad jemputan sedang dicetak dan dijangka sebanyak 2,500 kad yang akan diedarkan nanti.

“Pada malam sebelum majlis resepsi perkahwinan kami, upacara berzanji akan diadakan.

Kemudian pada keesokan harinya, saya akan bersanding pada sebelah siang. Dalam majlis resepsi tersebut, sesi berkaraoke juga akan dibuat,” cerita Que mengenai sedikit-sebanyak tentang majlis resepsi di Johor.


*******************************************

Linda pernah ‘reject’ Que

Ketika seronok berbual, tiba-tiba Que membuka cerita tentang beliau pernah di’reject’ oleh Linda seawal detik perkenalan mereka.

Itupun, Que dapat mengetahui tentang hal itu selepas mendengar daripada mulut Linda.

“Mula-mula semasa saya berjumpa dengan Que, saya pernah cakap ‘tidak’ kerana dia tidak memenuhi ciri-ciri lelaki yang saya sukai.

“Beberapa bulan lalu, dengan perlahan-lahan setelah kami berkenalan, baru saya cakap ‘ya’,” cerita Linda sambil tersenyum di sisi Que.

Kini, semua pengalaman tersebut tetap menjadi kenangan manis dan akan diingati oleh Que sampai bila-bila.

Dengan perkahwinan yang mendatang ini, Que juga sempat meluahkan harapannya untuk hidup bahagia seperti pasangan suami isteri yang lain.

“Saya harap kasih sayang antara kami tidak akan luntur. Jika ada rezeki, saya juga mahu menimang ramai anak,” luah Que yang menjadikan ibunya sebagai idola dalam membesarkan 10 orang anak.

Tambah Que, sudah menjadi lumrah dalam perkahwinan, setiap pasangan semestinya inginkan zuriat daripada perhubungan yang dibina, begitu juga dengan dirinya yang inginkan anak.

“Kalau Linda tidak mempunyai anak pun, memang saya tetap akan berkahwin dengannya...,” kata Que lagi.

Sebelum ini, Que berkata beliau tidak kisah dengan status Linda sebagai ibu tunggal dan lebih tua tujuh tahun daripadanya.

Selepas perkahwinan pertama Linda dengan seorang rakyat Malaysia yang berkacukan Cina dan Afghanistan, mereka dikurniakan seorang anak iaitu Qalif Khan, 9.


kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment