Ako bimbang penjara jejas pendapatan


Pelakon Ako Mustapha memohon supaya hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan berkhalwat diketepikan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini kerana ia bakal menjejaskan sumber pendapatannya.

Katanya, sebagai pelakon yang dikenali ramai, kerjaya dalam bidang hiburan itu akan terjejas sekiranya terpaksa menjalani hukuman penjara lebih-lebih isterinya kini sedang sarat mengandung.

Dalam hujahan bertulis yang difailkan pada 2 Disember lalu, Ako yang popular dengan watak 'Kapten Boleh' dalam drama bersiri kanak-kanak itu mendakwa Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini telah terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman.

Katanya, hukuman itu tidak mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama serta pengakuan bersalah selain ketiadaan nas undang-undang yang menunjukkan pesalah khalwat dihukum penjara sebelum ini.

Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad menetapkan 27 Januari ini untuk sebutan bagi hujahan balas pihak pendakwaan terhadap rayuan kes khalwat tersebut.

Ako sebagai perayu diwakili peguam syarie Akbardin Abdul Kader manakala pihak pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili pegawai pendakwa syarie, Zusyarafain Md. Yusof.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 38, dihukum penjara tiga bulan dan denda maksimum RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada 21 April lalu.

Hukuman dijatuhkan selepas Ako mengaku bersalah berkhalwat dengan jurusolek artis, Anang Sagunting, 25, di Blok B-2-9 Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa, dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pukul 1.20 pagi pada 27 Jun 2007.

0 comments:

Post a Comment