Mamat sudah lafaz cerai



PERGOLAKAN rumah tangga penyanyi Mohd Ali Kamarudin atau Mamat, bekas vokalis kumpulan Exist, nampaknya belum menampakkan tanda-tanda untuk ke penghujung meskipun sebelum ini Mamat menyatakan masih ada harapan untuk berbaik semula dengan isterinya, Marshila Mustapa Kamal (Shila).

Dakwaan Mamat seperti disiarkan dalam Kosmo! pada Isnin lalu dipertikaikan oleh isterinya. Malah Shila juga mendedahkan bahawa hubungannya dengan Mamat tidak mungkin boleh diselamatkan gara-gara sikap penyanyi itu sendiri.

"Kami sebenarnya telah pun bercerai apabila Mamat melafazkan talak kepada saya sekitar Oktober lalu.

Menurut Shila, dia tidak mahu ada pihak membuat pelbagai andaian tentang pendedahannya ini. Malah dia juga bukan bertujuan untuk meraih publisiti murah atau sekadar suka-suka berbalas kenyataan di media.

"Cuma saya ingin memperbetulkan apa yang dia kata. Saya tak mahu peminat-peminat dia tertipu," beritahu wanita ini dengan tenang dalam pertemuan kami kelmarin.

Lebih mengejutkan kata Shila, punca penceraian mereka tidak lain tidak bukan adalah disebabkan kehadiran pihak ketiga.

"Saya tak faham kenapa dia kata tidak melafazkan apa-apa pada saya dan kononnya mahu berbaik semula. Kenyataan dia juga seolah-olah saya yang salah. Kenapa dia perlu cakap jangan babitkan pihak ketiga, sedangkan memang kemusnahan rumah tangga kami berpunca daripada perempuan itu?

"Sebelum ini, awal-awal lagi dia ingatkan saya jangan bagi sebarang kenyataan tentang hal kami di media dan saya ikut katanya. Tiba-tiba, dia pula yang bagi kenyataan bukan-bukan kepada akhbar?," dedah Shila lagi.

Biarpun wanita yang baru menginjak usia 29 tahun kelmarin tenang ketika ditemu bual, wajahnya tetap menunjukkan kesedihan yang terpaksa ditanggung bersama tiga orang anaknya.

Shila sedih apabila Mamat mengatakan gadis yang kononnya rapat dan baru berusia 16 tahun itu memahami segala susah senangnya. Realitinya, menurut Marshila, Mamat selalu mencarinya apabila memerlukan bantuan.

"Selama enam tahun kami bercinta dan sembilan tahun kami berkahwin, adakah saya tidak memahaminya? Pertama kali dia pergi ke Singapura, dia berkata dengan saya mahu mencari peluang kerja tetapi dalam kenyataan dia di sebuah akhbar, dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan saya. Apa yang cuba dia maksudkan?

"Kalau nak tahu, saya langsung tidak ada nombor telefonnya untuk dihubungi. Kalau betul dia sayangkan anak-anak, patutnya dia menghubungi kami dan memberi nombor telefonnya pada saya agar jika ada apa-apa terjadi kami boleh menghubunginya.

"Perkara ini telah bermula sejak bulan April lalu. Masa awal-awal, dia dah buat hal mengenai gadis yang sama dan saya cuba selesaikan. Kononnya sudah putus, tapi mereka main wayang dengan saya.

"Saya perasan bila Mamat mula tidak menghubungi kami. Nafkah pula dia sudah tak bagi sejak ada hubungan dengan gadis itu. Saya tak faham kenapa dia bertindak begitu semata-mata kerana gadis yang masih bersekolah itu," ujarnya dalam nafas menahan kecewa yang kental.

Tambah Marshila, sebelum ini, rumah tangganya kerap kali dilanda badai apabila penyanyi yang popular dengan lagu Untukmu Ibu itu dikatakan menjalinkan hubungan dengan beberapa wanita dan juga seorang artis.

Bagaimanapun, demi kebahagiaan anak-anak mereka, Marshila sanggup memaafkan segala perbuatan suaminya.

"Sebenarnya, hal orang ketiga memang sudah menjadi lumrah dalam rumah tangga kami, tetapi ada juga masalah lain. Biasalah, saya ada kerja tetap dan dia kerjaya dia tidak menentu masanya. Dia kata saya tak memahaminya kerana tiada pendapatan tetap. Saya kerja untuk membantu dia juga, takkan 24 jam saya kena berkepit? Rasanya, sebab itu dia cari budak sekolah yang boleh berkepit dengannya ke mana-mana sahaja," kata Marshila.

Kini, biarpun sedih kerana gagal mempertahankan rumah tangganya, Marshila reda dengan kejadian yang menimpanya sekeluarga. Justeru hari ini Shila tidak akan mengharapkan apa-apa lagi daripada bapa kepada anaknya itu.

Mahu berbaik semula? "Tidak mungkin, cukuplah dengan apa yang berlaku sepanjang saya jadi isteri kepada Mamat," katanya dalam nada nekad dan pasrah.

0 comments:

Post a Comment