Shamsul-Hati sudah dimiliki!


Pasti ramai yang terkejut bila suara pengarah muda ini kerap didengar di corong-corong radio.

Benar, kini Shamsul melangkah setapak lagi di bidang seni dengan mencuba nasib dengan mengeluarkan single terbarunya yang berjudul Bidadari.

Malah, Shamsul juga turut menyumbang suaranya dalam filem KL Drift 2 dalam lagu tema.

"Sebenarnya memang saya dah lama nak keluarkan satu single untuk peminat, cuma masa saja tidak mengizinkan.

"Kebetulan pula sekarang ini saya buat KL Drift 2 dan beberapa lagu diperlukan. Oleh itu saya pun cuba untuk menyanyikan lagu tema filem itu.

"Rasa seronok pula bila dapat menyanyi. Apa-apa pun saya menganggap karier nyanyian sebagai hobi sahaja. Saya lebih utamakan kerja pengarahan kerana itu karier utama saya," ujarnya.

Sementara itu, bertanyakan pula mengenai khabar angin hubungan cintanya bersama aktres popular, Julia Ziegler yang dikatakan semakin intim, Shamsul menafikannya.

Bagi Shamsul, dia menganggap Julia tidak lebih daripada seorang kawan. Tambah pula, kini hatinya sudah dimiliki!

"Ya, hati saya sudah dimiliki dan memang saya sedang bercinta. Tetapi bukan dengan artis, dia hanyalah sekadar orang biasa sahaja. Kami baru saja berkenalan lebih rapat.

"Setakat ini, masing-masing cuba mendalami hati budi masing-masing. Lagipun saya belum bersedia untuk berkahwin, masih terlalu awal lagi.

"Saya akui, saya sedang bahagia, tetapi dari segi kerja, hati saya tetap tidak senang selagi kerja filem saya belum siap," tegasnya

0 comments:

Post a Comment