Patutkah Pengetua AF7 Seorang Wanita?



Sejak penganjuran Akademi Fantasia (AF) dari musim pertama hinggalah musim yang ke-6 tahun lalu, pengetua yang dilantik sentiasa seorang lelaki.

Bermula dengan Freddie Fernandez menerusi AF1, Ramli MS (AF2), M Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4), Roslan Aziz (AF5) serta kembali semula kepada Ramli MS mengemudi AF6, tergambar seolah-olah program realiti TV paling popular itu tidak yakin dengan kemampuan golongan wanita.

Padahal kalau hendak dibariskan pencapaian karyawan dan artis wanita, ramai yang berkelayakan berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang seni persembahan.

Antaranya, Datuk Sheila Majid, Datin Seri Tiara Jacquelina, Datuk Sharifah Aini, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar dan Dato' Siti Nurhaliza

Apa kurangnya mereka? Setidak-tidaknya, kehadiran pengetua wanita dalam program itu akan membawa satu kesegaran dan angin perubahan kepada AF yang terus kukuh.

Tidak dinafikan, ada pihak berpendapat bahawa wanita adalah golongan yang lebih beremosi berbanding lelaki. Namun bukankah AF sendiri satu pertandingan realiti yang sangat berkaitan dengan emosi?

Dalam erti kata lain, golongan wanita seringkali dianggap memiliki hati yang rapuh dan mudah tersentuh. Bagaimanapun, telah terbukti ramai golongan hawa telah berjaya dalam pelbagai bidang termasuk seni, pendidikan, ekonomi, sukan dan politik. Malah ada yang sudah berjaya menawan khutub yang jauh terpencil.

Siapa tahu pengetua wanita boleh membawa kejutan dan menambah X-Factor kepada program itu?

Dalam pada itu, ramai meramalkan Pengetua AF pada musim ke-7 ini masih lagi Ramli MS berdasarkan prestasinya sebelum ini. Tidak kurang mengharapkan Hj Aznil Nawawi yang telah begitu masak dengan selok-belok AF.

kredit: murai.com.my

0 comments:

Post a Comment