Sudah lebih setahun bergelar suami isteri, pasangan penyanyi popular Mawi atau Asmawi Ani dan Ekin (Nora' Asikin Rahmat) kini bagaikan belangkas, asyik bersama ke mana berpergian. Malah, ada kawan-kawan mereka memberitahu Mawi dan Ekin macam pasangan baru bercinta kerana selalu berkepit, langsung tidak berenggang.
Tidak pernah merasa terkongkong memandang Ekin kini juga menjadi pengurusnya, Mawi merasakan jadualnya kini semakin teratur.
"Sekarang ini kami rasa bebas. Dulu, masa sebelum kahwin, kami tiada ruang untuk keluar macam pasangan bercinta lain. Sekarang ini kami jadi lebih akrab. Sampaikan orang kata kami ni macam pasangan baru bercinta," tutur Ekin.
Kerana itu, Mawi tidak kisah untuk berkorban masa dan tenaga untuk merancang kejutan buat Ekin pada hari jadinya itu baru-baru ini.
Pada majlis tahlil, doa selamat dan hari jadi Ekin, ia disambut dalam keadaan yang sederhana tetapi tetap meriah dengan dihadiri oleh ramai artis, media serta teman-teman rapat pasangan ini. Pasangan ini juga menganjurkan doa selamat untuk arwah bapa Mawi, Ani Ahmad yang meninggal dunia pada 1 Julai 2006.
Beritahu Mawi, memandangkan dia belum lagi membuat majlis doa selamat sempena rumah barunya itu, dia mengadakan majlis itu sekali dengan tahlil arwah bapanya dan pada malamnya, disambut pula hari lahir Ekin bersama kembarnya Ain.
Menariknya, Mawi memberikan kejutan kepada Ekin dengan membawa aktres pujaan isterinya, Erra Fazira hadir ke majlis itu.
"Ekin memang dari dulu sukakan lakonan-lakonan Erra. Dia ada cuba hubungi dan SMS Erra untuk menjemput Erra ke majlis hari jadinya, tapi Erra tak layan. Memang kami sengaja merancang supaya Erra tidak membalas sebarang panggilan Ekin," seloroh Mawi.
Terus Ekin berkata, "Mana taknya, saya telefon, tak diangkat, mesej pun tak dibalas. Jadi, rasa macam tak seronok bila hajat mahukan Erra hadir ke majlis saya tak tercapai.
"Memang sejak zaman sekolah lagi saya sukakan personaliti dia. Kalau ke majlis-majlis, adalah saya berjumpa dengannya, tapi takkan nak buat muka teruja di khalayak ramai dan minta autograf," kata Ekin sambil disambut Mawi lagi : "Bayangkan, masa ada program Gugu Gaga Erra, hari-hari dia tengok rancangan itu. Saya nak tukar ke rancangan lain pun tak boleh. Sampaikan saya terpaksa beli TV baru untuk menyaksikan program lain dan main video."
Dalam pada itu, Ekin memberitahu, majlis hari jadi seperti ini adalah kali pertama dan terakhir untuknya disambut secara meriah. Selepas ini apa yang Ekin inginkan bagi setiap tahun tarikh kelahirannya adalah dengan menjaga keluarga yang sedang dibinanya bersama Mawi serta bahagia di sisi insan yang tercinta.
Dalam bercerita mengenai detik-detik gembira bersama, pasangan itu mendedahkan untuk kali kedua, Ekin disahkan keguguran kandungan yang baru memasuki usia tiga minggu pada Ogos lalu.
Enggan memberitahu umum mengenai berita sedih itu pada awalnya, pasangan ini lebih selesa merahsiakannya buat sementara agar emosi masing-masing kembali tenang.
"Saya memang sedih, dah tak ada rezeki, nak buat macam mana. Cuma yang pasti, Ekin menerima kesan yang mendalam. Masa pertama kali gugur, tak adalah risau sangat, tapi bila gugur buat kali kedua, dia risau jika sesuatu yang buruk akan berlaku.
"Dia mendapat tahu berita itu ketika saya berada di luar rumah dan masa itu dia bersama Ain, menangis-nangis.
"Kami pun tahu tentang kandungan itu melalui pemeriksaan sendiri dan bila lihat positif, rasa seronoklah. Masa bercuti di Korea lagi dia dah mula rasa sakit-sakit perut.
"Tak sangka pula bila buat pemeriksaan, doktor sahkan Ekin keguguran," kata Mawi lagi.
Sedikit terganggu emosi dengan berita tersebut, bagaimanapun, pasangan ini tidak pernah berputus asa untuk menanti rezeki anak di masa akan datang.
kredit:kosmo
0 comments:
Post a Comment