kami tak gaduh- Dira & Sazzy

Sazzy kononnya dikatakan tidak berpuas hati dengan Dira yang dikatakan sanggup berhabis duit untuk mengundi diri sendiri bagi meraih tempat tertinggi dalam undian bagi program tersebut.

Lalu, Sazzy meletakkan rasa ketidakpuasan hatinya itu dalam status laman web sosial, Facebook tanpa merujuk nama peserta yang dimaksudkan. Sazzy dalam statusnya berpendapat seseorang itu tidak perlu berhabis wang untuk mengundi diri sendiri, biarlah masyarakat luar yang mengundi.

Dira kemudian dikatakan membalas semula status Sazzy itu melalui ruangan nota di laman Facebooknya pula.

Selepas itu, kedua mereka mendapat komen dan kritikan hebat daripada peminat masing-masing.

Beritahu Sazzy, apa yang ditulis dalam Facebook tidak ada kaitan dengan pertandingan program tersebut, sebaliknya ia sekadar satu diskusi umum bersama peminat-peminatnya.

"Saya dan Dira sangat rapat. Malah, kami ada undi sesama sendiri. Apa yang ditulis dalam Facebook saya, tidak ada kaitan dengan SB3 mahupun Dira.

"Ia cuma diskusi biasa sahaja. Saya akui dalam status itu, saya tulis mengenai sebuah program realiti yang pernah saya acarakan, tapi bukan SB3. Kami di sini dah jadi macam keluarga.

"Mungkin, secara kebetulan saya dan Dira mengeluarkan tulisan yang bunyinya seperti mengutuk antara satu sama lain, tetapi sebenarnya tidak.

"Memang asalnya, subjek yang dibincangkan adalah Sehati Berdansa dan topik yang diborakkan berkembang kepada tajuk program realiti secara umum.

"Saya tak tahu kenapa dari dulu lagi, ada sahaja yang tidak berpuas hati dengan saya, seolah-olah saya ni jahat sangat. Ingatkan bila buat tajuk status secara umum di Facebook, mahupun Twitter, tak adalah orang nak mengata.

"Tiba-tiba pula ada drama gara-gara tulisan kami di Facebook. Saya terkejut bila saya buka Facebook, macam-macam komen yang saya terima," katanya.

Tambah Sazzy, SB3 adalah sebuah pertandingan yang sihat serta adil dan tidak mungkin kerana hal remeh mereka boleh bergaduh.

Namun, sedikit sedih tercalit di hati Sazzy bila kata-kata negatif dilemparkan padanya. Bagi Sazzy, biarpun sudah tiga tahun berkecimpung dalam dunia hiburan yang penuh dengan dugaan, sekali-sekala dia tidak boleh menerima kritikan orang luar yang tidak berasas.

"Nak ikutkan memang saya tak perlu ambil kisah pun dengan kritikan orang, tetapi sebagai manusia, saya tetap rasa sedih dengan komen yang saya terima kerana saya tak pernah pun nak kutuk orang," tuturnya.

Tidak cukup dengan khabar angin pergaduhan itu, Sazzy dan suaminya, Nazril dikatakan ialah anak emas SB3 sehinggakan pihak produksi mahukan pasangan itu menang dalam program tersebut.

"Itu pandangan yang sangat bodoh dan menjengkelkan. Dahlah saya rasa sedih dengan kritikan yang diberikan pada saya, ada pula nak cakap macam itu.

"Saya harap, biarlah apa orang nak kata, asalkan peminat-peminat tahu kebenarannya. Saya dan suami sebenarnya tak kisah sama ada menang atau kalah kerana pada akhirnya selepas ini, masing-masing akan sibuk bekerja seperti biasa.

Bagi Dira pula, nota yang ditulis dalam Facebook juga tidak ada kaitan dengan Sazzy atau sesiapa pun dalam SB3.

Kegemarannya menulis blog dan Facebook selama ini tiba-tiba membuatkan Dira terkejut dengan respons peminat serta orang luar.

Menurut Dira, dia juga terkejut kerana nota yang ditulisnya itu sekadar luahan perasaan biasa yang ditulisnya seperti selalu.

"Bergaduh? Kami selalu lepak dan makan bersama, macam mana nak bergaduh. Mungkin peminat fanatik yang membaca nota saya terlalu teruja.

"Kami menghargai sokongan itu, tetapi jangan salah tafsir, kami tidak bergaduh. Perlu diingat, golongan selebriti juga adalah manusia biasa dan ada masanya bila rasa down, kita akan menulis blog atau Facebook sekadar luahan perasaan biasa.

"Apa yang terlintas di fikiran, itulah yang saya tulis. Memang rasa terkejut dan sedih bila mendapat komen orang tentang nota saya itu. Sebab saya tidak pernah mengalami situasi sebegini. Saya pun bukannya banyak sangat publisiti, tambahan pula tidak ada apa untuk diceritakan sepanjang bergelar pelakon dan pengacara.

"Perkara ini membuatkan saya risau, takut orang salah tafsir dengan kami. Peminat tak tahu macam mana kami akrab, tambahan pula Sazzy dan saya dalam satu pertandingan," jelasnya.

Beritahu Dira, dia sebenarnya tidak kisah jika ada antara peserta SB3 mengundi diri masing-masing untuk kekal dalam program tersebut.

"Mengenai isu pengundian, sebenarnya saya tidak ada masalah jika sesiapa antara kami mengundi sendiri. Itu hak mereka.

"Kalau orang kata undian kami melambung-lambung, saya sendiri pun tak tahu dari mana undian itu datang kerana saya bukannya terkenal.

"Cuma biasalah, saya ada suruh peminat-peminat, teman-teman dan keluarga untuk menonton program ini. Industri hiburan kita kecil sahaja, tak ada gunanya jika kita bergaduh.

"Kalau bukan kerana membuat amal Persatuan Thalassemia Malaysia, kami pun malas nak sertai program ini.

"Kanak-kanak itu memerlukan pertolongan, sebab itu kami sertai program SB3. Kalau tak, lebih baik kami bekerja seperti rutin biasa," ujarnya.

Bagaimanapun, Dira mengakui seboleh-bolehnya dia mahu kekal dalm SB3 agar dapat membantu badan kebajikan yang diwakilinya itu.

0 comments:

Post a Comment