Zaidi Omar terlanggar penunggang motosikal






Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas bertembung dengan sebuah kereta jenis BMW dalam satu kemalangan maut di Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Bulatan Batu Caves, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, Tuan Mohamad Nul Hakim Tuan Long, 21, berasal dari Pangkalan Kubur, Kelantan dikatakan menunggang motosikalnya melawan arus di lorong kanan lebuh raya berkenaan untuk mengelak sekatan polis.

Bagaimanapun, mangsa bertembung kereta dipandu dramatis terkenal, Zaidi Omar, 51, dari arah Kepong menghala Batu Caves, menyebabkannya tercampak kira-kira 15 meter dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Bandaraya, Deputi Superintendan Abdullah Roning, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu dan siasatan sedang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan awal mendapati pemandu terbabit gagal mengelak motosikal mangsa yang tiba-tiba muncul dari arah bertentangan. Akibat pertembungan itu, mangsa yang tinggal di Sungai Buloh mati di tempat kejadian akibat cedera parah.

"Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat sebelum jenazahnya dituntut anggota keluarganya tengah hari tadi untuk dikebumikan," katanya.

Polis mengesahkan Zaidi membuat laporan berhubung kemalangan itu di Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur, Jalan Tun HS Lee tidak lama selepas kejadian sebelum ditahan

untuk diambil keterangannya bagi membantu siasatan.

Abdullah berkata, pelakon terbabit dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangannya tetapi keretanya yang terbabit dalam kemalangan itu masih ditahan sebagai mematuhi prosedur siasatan sebelum dirujuk ke Jabatan Kimia.

Sementara itu, Zaidi gagal dihubungi untuk mendapatkan kenyataannya berhubung kejadian itu

Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 bertindak melawan arus dengan menunggang di lorong kanan selepas melihat sepasukan polis sedang melakukan sekatan jalan raya di situ.

Pemuda terbabit dipercayai bertindak demikian kerana takut dikenakan tindakan ekoran tidak mempunyai lesen memandu.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan kereta dipandu pelakon itu tidak dapat mengelak motosikal yang datang dari arah bertentangan.

0 comments:

Post a Comment