Ida Nerina-Sha'arin Sudah Lebih Dua Bulan Tidak Tinggal Sebumbung


Sebutan kes cerai pelakon Ida Nerina Hussain dan suaminya, Sha’arin Mohd Razali terpaksa ditangguhkan ke tarikh 22 Disember depan, pukul 9 pagi kerana pelakon itu tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin telah mengarahkan peguam syarie Mahyuddin Md Zahari mewakili Sha’arin untuk melayangkan surat saman agar pelakon itu hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan.

Sementara itu, ketika perbicaraan kes yang berlangsung pada 11.35 pagi tadi, Sha’arin yang membuat permohonan cerai itu ada menyebut yang dia telah memaklumkan kepada Ida melalui telefon.

Saya dah hubungi dia tetapi dia tidak menjawab telefon dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) (tentang kes hari ini), tetapi dia tidak membalasnya,” kata Sha’arin ketika menjawab soalan Hakim Syarie.

Sha’arin atau lebih dikenali sebagai Shahrin Blackrose juga memaklumkan kepada mahkamah yang dia telah tidak tinggal sebumbung dengan Ida sejak lebih dua bulan lalu.

Hakim Syarie: Masih tinggal bersama?

Sha’arin: Saya sudah tidak tinggal bersama (dengan Ida) dalam dua hingga tiga bulan lalu sejak melafazkan cerai pada bulan September.

Hakim Syarie: Siapa tinggalkan siapa?

Sha’arin: Saya tinggalkan dia.

Hakim Syarie: Sekarang kamu tinggal di mana?

Sha’arin: Saya tinggal dengan keluarga di Kuala Lumpur.

Hakim Syarie: Siapa yang tinggal di rumah kamu sebelum ini?

Sha’arin: Ida yang tinggal di rumah kami bersama orang gaji.

Sementara itu, Mahyuddin yang baru dilantik oleh Sha’arin selaku peguamnya pada minggu lalu berkata dia akan mengirimkan surat saman kepada Ida dalam masa secepat yang mungkin.

Jelasnya, jika Ida masih gagal menghadirkan diri selepas surat saman itu diberikan kepadanya, mahkamah akan mendengar dan memutuskan perbicaraan kes ini tanpa kehadirannya di bawah Seksyen 121 (1)(b) Akta Tatacara Mal Wilayah Persekutuan 1998.

Pada Hari Raya Puasa kedua lalu, suami Ida didakwa telah melafazkan cerai terhadap pelakon filem ‘Susuk’ dan ‘Anak’ itu.

Episod penceraian itu dilaporkan berlaku akibat pergaduhan yang tidak berkesudahan dan berlanjutan sehingga suami Ida tidak mampu mengawal amarahnya sehingga melafazkan cerai terhadapnya.

Dimaklumkan, selepas Shahrin melafazkan cerai terhadap Ida, beliau telah keluar meninggalkan rumah Ida.

Pada 9 Oktober lalu, Sha'arin telah mengisi borang pengesahan lafaz cerai di mahkamah itu.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment