Along raja lawak berkahwin





WALAUPUN bergelar raja sehari, pelakon filem Adnan Sempit Along Raja Lawak yang berasal dari Johor Baru, Johor tidak lupa untuk ‘berkabung’ ekoran kemangkatan Sultannya, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 27, mengenakan kain lilitan putih pada songkoknya semasa upacara pernikahan dengan pasangannya, penyanyi dan pelakon Nur Azilah Seeron, 21, (Zila AF4) di Masjid Felda Lui Selatan 1, Bandar Seri Jempol, hari ini.

Dengan dua kali lafaz, pasangan yang bertunang selama setahun sebulan ini sah bergelar suami isteri dengan mas kahwin RM200 beserta tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM17,119.

Menurut Zila, nilai wang hantaran ditetapkan mengikut gabungan tarikh lahirnya dan Along di mana Along dilahirkan pada 19 Januari manakala Zila pada 17 November.

“Alhamdulillah, saya memang nervous kerana tidak percaya yang saya kini sudah bergelar isteri Along yang sah walaupun menempuhi pelbagai dugaan sebelum ini,” beritahu Zila yang tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir di tubir mata sejurus selepas selamat dinikahkan.

Selepas sehari bergelar suami isteri, Zila berkata dia akan menemani suaminya pulang ke Kuala Lumpur esok kerana Along akan kembali sibuk dengan kerjanya.

Disebabkan itu, mereka terpaksa menangguhkan rancangan untuk berbulan madu dalam masa terdekat ini.

“Kami belum rancang tempat dan waktu untuk berbulan madu kerana selepas nikah dan bersanding hari ini, Along akan sibuk dengan penggambaran,” katanya ketika dihubungi.

Disoal mengenai anak, tanpa berselindung Zila memberitahu dia dan suaminya belum membuat apa-apa perbincangan berhubung soal anak sebaliknya menyerahkan kepada izin Allah.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment