Cerita Azza 'dibelasah' kekasih


AZZA dipukul kekasih sampai berdarah.Azza dikatakan telah mengalami kecederaan teruk akibat dipukul oleh teman lelakinya sendiri beberapa hari sudah.

Azza juga dikatakan telah membuat laporan polis angkara dipukul oleh teman lelaki sendiri.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai kejadian berkenaan, Azza memberitahu bahawa semua cerita itu telah diberi penambahan yang cukup melampau oleh pihak lain.

Azza yang popular dengan lagu Trauma bersama kumpulan Elite juga menafikan percintaannya dengan lelaki bernama Firhan lebih setahun lalu sudah putus akibat kejadian berkenaan.

“Tak ada lebam-lebam dan tak ada pun bengkak- bengkak.”

Begitulah pengakuan pelakon Azza (Elite), 32, apabila diminta komen berhubung insiden pergaduhan dengan teman lelakinya Mohd. Firhan Yusof, 29, di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Azza atau nama sebenarnya Azzarima Zawari juga terkejut bagaimana pertelingkahan kecil itu dilaporkan akhbar sehingga menggambarkan seolah-olah tragedi besar menimpanya.

Ditanya bagaimana insiden itu berlaku sehingga membabitkan pihak polis, jujur Azza bercerita ia bermula dengan pertelingkahan kecil di antara mereka.

Disebabkan tidak boleh mengawal perasaan, maka perang mulut telah berlaku sehinggalah terjadi sedikit kekasaran.

Ketika tidak dapat mengawal emosi itu, Azza terpaksa menghubungi pihak polis kerana bimbang berlakunya perkara yang lebih teruk selain untuk meminta polis memberi nasihat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Apabila pihak polis datang, mereka bawa kami ke balai polis. Di sana mereka bagi nasihat supaya jangan gaduh-gaduh lagi.

“Polis ada tanya Azza nak buat laporan atau tidak? Azza kata tak payahlah. Bukannya Firhan pukul Azza sampai bengkak-bengkak atau lebam-lebam pun. Cuma gaduh-gaduh biasa saja dan sekarang kami sudah okey,” katanya.

Selepas mendapat nasihat itu, mereka pulang ke rumah masing-masing dan Azza dihantar semula oleh anggota polis yang mengambilnya.

Mengenai laporan polis yang dibuat di Balai Polis Hulu Kelang pada 5 Januari lalu pula kata Azza ia tidak membabitkan teman lelakinya itu.

Sebaliknya laporan dibuat setelah dia mendapat kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbau ugutan.

Ujar Azza dia terkejut tiba-tiba ada orang mengirim SMS seolah-olah mengetahui rahsia luar dalam mengenai dirinya, selain berhasrat menyebarkan rahsia itu kepada umum.

Mengakui tidak pernah melakukan perkara tidak bermoral tetapi sebagai seorang artis tentunya dia terdedah dengan tumpuan orang ramai dan berkemungkinan ada pihak cuba melakukan sabotaj untuk memburukkan dia.

“Kerana bimbang mendapat SMS seolah-olah ugutan daripada orang yang Azza tak kenali, maka adalah lebih baik Azza membuat laporan polis untuk keselamatan,” ujarnya.

Menurut Azza, selama ini macam-macam fitnah dan tuduhan disebarkan melalui SMS membuatkan dia menjadi bimbang dan beranggapan ada pihak berniat kurang baik terhadap dirinya.

Percaya kepada peranan polis, maka Azza berharap individu terbabit dapat menghentikan perbuatannya itu untuk kepentingan bersama.

“Azza membuat laporan itu sebagai langkah berwaspada selepas individu berkenaan mengugut untuk membocorkan rahsia Azza. Tapi apakah rahsia itu? Azza sendiri tidak pasti.

“Perkara tersebutlah yang membuatkan Azza menjadi susah hati dan terus membuat laporan polis demi maruah agar tidak diperbodohkan,” jelasnya.

Mengenai hubungannya dengan lelaki yang berasal dari Kelantan itu, Azza mengaku dia bersyukur dipertemukan dengan seorang yang baik dalam hidupnya. Selama ini ujar Azza, Firhan banyak mencorakkan dia untuk menjadi insan yang mempunyai arah hidup selepas perkahwinannya dengan Mohd. Ehsan roboh.

Tetapi adatlah. Hubungan dan percintaan mana yang tidak ada ujian. Insiden yang berlaku pada Rabu lalu itu merupakan ujian percintaan pertama mereka yang agak serius tetapi syukurlah ia tidak berpanjangan.

“Firhan banyak mengubah hidup Azza untuk menjadi lebih positif. Nasihat yang dia berikan benar-benar bermakna. Apa yang Azza harapkan hubungan kami akan kekal berpanjangan sebab Azza sangat sayang kepadanya,” katanya.

Bercerita mengenai rumah tangga, menurut Azza dia hanya berserah kepada jodoh agar hubungan itu dapat diakhiri di jenjang pelamin.

Bagaimanapun masih terlalu awal merancang ke arah itu kerana mereka dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing.

kredit:utusan

0 comments:

Post a Comment