Diddy nak kahwin

SELEPAS empat tahun melayari alam pertunangan, akhirnya Syamsul Hirdi Muhid (Diddy), 24, membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya dengan Ellen Norazah Abdullah, 24.

Selama ini ada dakwaan mengatakan hubungan mereka sudah berakhir dengan perpisahan.

Tetapi bak kata Diddy, ketika dia melangkah ke pentas Akademi Fantasia Keempat (AF4) pada tahun 2006, dia sudah berjanji satu perkara iaitu, cinta dan kasihnya terhadap Ellen tetap tidak akan berubah sampai bila-bila.

Dan hari ini Diddy mengotakan janjinya apabila dia mengumumkan hasrat untuk bergelar seorang suami.

Memilih tarikh 6 Februari, majlis akad nikah akan diadakan di Masjid Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor pada pukul 3 petang sementara sehari selepas itu diadakan majlis persandingan sebelah perempuan.

Dengan hantaran tujuh dulang dibalas sembilan, pihak lelaki juga akan membawa wang hantaran sebanyak RM10,000.

Menurut Diddy, dia amat bersyukur kerana hasrat untuk mendirikan rumah tangga itu tercapai jua.

Selama ini banyak dugaan yang dilalui mereka tetapi Alhamdulillah, segalanya dapat dihadapi dengan tenang.

Selama empat tahun menjadi tunangan orang tidak ada dugaan besar yang melanda kerana persefahaman yang disemai selama ini.

Lagipun Diddy dan Ellen sudah sepuluh tahun berkawan. Tentu mereka sudah memahami hati budi masing-masing.

Ditanya kenapa selepas empat tahun barulah dia bersedia untuk mendirikan rumah tangga, ungkap Diddy mudah saja.

Sekarang dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menggalas tanggung jawab sebagai ketua keluarga.

“Empat tahun kami bertunang tetapi sebenarnya sudah sepuluh tahun kami berkawan. Tahun ini adalah tahun yang mematangkan saya untuk bergelar seorang suami,” kata Diddy.

Ujarnya, walaupun dia tidak pernah membawa Ellen ke majlis-majlis hiburan, bukan bererti hubungan mereka sering bermasalah.

Sebaliknya jika ada masa terluang Diddy dan si dia sering berjumpa untuk mengeratkan lagi hubungan yang sudah terbukti utuh kerana Ellen juga bekerja di Kuala Lumpur.

Percaya atau tidak kata Diddy, dalam tempoh sepuluh tahun kenal itu, mereka sebenarnya masih lagi dalam proses bercinta.

“Memang bunyinya macam “poyo” tapi itulah kebenaran kisah cinta kami,” katanya.

Bercerita bagaimana dia boleh mengekalkan hubungan selama sepuluh tahun, kepercayaan adalah kunci dalam sesebuah kasih sayang.

Dan ketika membuat keputusan untuk bergelar artis sehari selepas bertunang, Diddy sudah berjanji tidak akan mempersia-siakan kekasihnya itu.

Kerana toleransi tersebutlah cinta mereka akhirnya diikat dengan sebuah perkahwinan.

Bersyukur mendapat bakal isteri yang memahami dan banyak membantu dalam kerjayanya selama ini, ujar Diddy, Ellen yang agak pemalu tidak mahu terlibat dalam mana-mana majlis hiburan.

Bukan tidak menyokong kerjaya bakal suami tetapi si dia berpendapat biarlah Diddy seorang sahaja yang menjadi milik masyarakat.

“Ellen berkata kepada saya dia tak mahu ikut saya pergi ke mana-mana majlis hiburan kerana dia tidak selesa.

“Begitu juga bergambar untuk majalah dan akhbar. Cukuplah saya seorang saja. Cuma pada majlis kahwin nanti sahaja dia bersetuju untuk bergambar berdua sebagai tatapan peminat. Apa nak buat, saya kenalah akur kehendaknya itu,” kata Diddy.

Bercerita mengenai majlis resepsi sebelah pihak lelaki pula ia akan diadakan secara sederhana pada satu tarikh yang belum ditetapkan pada bulan Februari akan datang.

Disaat tidak sabar untuk menanti tarikh keramat tersebut, lelaki ini tidak dapat menafikan agak sedih apabila memikirkan kehilangan ayah, Muhid Leman, 62, yang meninggal dunia pada 16 September tahun lalu.

Kata Diddy, ayahnya berhajat besar untuk melihat majlis pernikahannya tetapi apakan daya, hasrat itu tidak terlaksana.

“Sebelum ini Arwah abah selalu tanya saya bila nak kahwin? Saya cakap, nanti dulu abah.

“Beberapa hari sebelum dia meninggal dunia, saya ada luahkan perasaan untuk majlis itu tetapi dia memberi jawapan yang agak dingin seperti sudah tahu yang dia tidak sempat untuk meraikan hari bahagia itu,” katanya.

Walaupun begitu kata Diddy, dia percaya doa arwah sentiasa ada bagi mengiringi kebahagiaan kehidupan alam rumah tangga bersama-sama dengan Ellen tidak lama lagi.

0 comments:

Post a Comment