Heliza Nafi Ada 'Affair' Dengan Suami Orang


ARTIS kelahiran Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini hanya ketawa kecil apabila ditanya tentang khabar angin yang melanda dirinya ketika ini.

Dalam nada tenang, Nur Heliza Helmi atau mesra dengan panggilan Heliza berkata, dia sendiri terkejut bila dikaitkan dengan gosip yang mengatakan dirinya mempunyai hubungan dengan suami orang.

Semuanya gara-gara satu panggilan telefon yang dibuat oleh seorang wanita ke radio Hot FM baru-baru ini yang mengesyaki suaminya mempunyai hubungan dengan seorang artis kelahiran sebuah program realiti.

Wanita tersebut mengadu tentang perkara itu dalam program pagi stesen radio tersebut yang dikendalikan oleh Fara Fauzana dan Faizal Ismail. Menerusi panggilan susulan yang dibuat oleh DJ tersebut selepas itu, wanita terbabit turut memberi beberapa 'clue' tentang artis realiti itu.

Menurutnya, artis perempuan itu adalah seorang yang bertudung litup, bermata galak serta boleh bertutur dalam loghat utara dan Sabah. Disebabkan itu, ramai pendengar merasakan artis tersebut ialah Heliza menerusi 'gambaran' yang diberikan oleh wanita terbabit.

"Saya tidak berkesempatan mendengar radio pada waktu itu, tapi saya terbaca mengenai gosip tersebut di internet selepas itu. Malah, ramai kawan turut menghubungi saya bertanyakan tentang kesahihan cerita itu.

"Berdasarkan apa yang saya baca, ramai yang mengesyaki sayalah artis tersebut. Memang terkejut juga pada awalnya, tapi saya tidaklah 'melatah' dengan perkara ini sebab saya tak buat pun. Saya tidak ada hubungan dengan mana-mana suami orang.

"Keluarga saya pun ada membaca tentang perkara ini di intenet dan mereka faham keadaan sebenar. Itu spekulasi semata-mata," kata Heliza.

Ujar gadis berusia 23 tahun ini, dia berharap peminat-peminatnya tidak salah anggap dan merasakan artis itu ialah dirinya walaupun menerusi bayangan yang diberikan oleh wanita itu, ia agak ketara menjurus kepada Heliza.

"Saya sibuk dengan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ditambah pula ini adalah semester akhir pengajian saya, tugasan semakin banyak untuk disiapkan. Jadi saya tidak ada masa untuk jalin hubungan cinta dengan sesiapa pun.

"Tapi saya tidak tertekan pun dengan gosip ini kerana keluarga dan rakan-rakan terdekat memang memahami. Cuma saya berharap sangat orang tidak salah anggap tentang saya," luah anak kelahiran Kuala Terengganu ini.

Kata Heliza lagi, dia akui dikalangan rakan-rakan lelaki yang dikenalinya juga memang ada yang sudah berkahwin. Namun, mereka semua dianggap sebagai rakan saja.

Ditanya jika ada diantara mereka yang mungkin menyimpan perasaan terhadapnya, ujar Heliza, dia sendiri tidak pasti tentang perkara itu.

"Sejujurnya, saya memang tidak tahu siapa suami orang yang dimaksudkan itu. Memang saya ada ramai kawan lelaki yang sudah berkahwin, tetapi apa yang pasti, semuanya adalah kawan sahaja.

"Lagipun, saya tidak mahu dilabel pengacau rumahtangga orang. Mungkin, lelaki itu yang perlu tampil dan menjelaskan perkara sebenar kerana saya tidak mahulah rumahtangga mereka bergolak, sedangkan saya tidak tahu apa-apa," ujar penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi dan Kimia ini.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment