Diana - Zamarul kahwin juga akhirnya

Setelah lapan tahun menyulam cinta, pelakon Diana Rafar, 27, dan aktor Zamarul Hisham, 38, akhirnya sepakat untuk melangsungkan pernikahan mereka pada 16 Mei depan.

Dalam nada ceria, Diana yang dihubungi hari ini mengakui dia dan Zamarul nekad memilih tarikh tersebut setelah berbincang tentang perkara itu pada bulan Februari lalu.

"Alhamdulillah, lapan tahun kami bercinta dan pelbagai onak ranjau dilalui, akhirnya kami bakal berkahwin juga.

"Saya minta maaf kerana tidak mendedahkan perkara ini awal-awal kerana kalau boleh memang kami tidak mahu besar-besarkan sangat tentang perkahwinan kami.

"Lagipun, kami hanya buat majlis yang sederhana dan kalau boleh tidak mahu ada pihak yang ingin menaja majlis kami nanti. Zamarul sendiri lebih suka uruskan sendiri perkahwinan kami ini," kata adik kepada pelakon dan penyanyi Linda Rafar ini.

Pasangan selebriti ini akan dinikahkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam di sebelah pagi manakala majlis persandingan pula akan diadakan di rumah keluarga Diana sendiri, di Bourgainvilla Garden, Shah Alam pada sebelah malam.

Resepsi di sebelah pihak lelaki pula akan diadakan di Bangi, Selangor pada 23 Mei.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment