Kecoh Diana Danielle pitam

KECOH seketika majlis 'post-party' yang berlangsung sejurus berakhirnya Anugerah Bintang Popular 2008 (ABP) di Genting Highlands malam tadi, apabila pelakon muda, Diana Danielle dikatakan pitam ketika ingin mengambil makanan.

Walaupun 'aksi' itu hanya untuk beberapa minit, ramai yang berada di majlis itu tertanya-tanya punca sebenar gadis itu pitam secara tiba-tiba.

Ada juga yang berpendapat, Diana mungkin tertekan gara-gara kepenatan mengikuti Program Latihan Khidmat Negara yang mana dia perlu kembali meneruskan latihannya di Kem Princess Haliza, Sepang, hari ini.

Mengulas tentang hal tersebut, kata ibunya, Norsiah Ramli, Diana pitam bukan disebabkan oleh tekanan di PLKN, tetapi kerana faktor keletihan dan tidak sempat makan sebelum bermulanya acara ABP.

"Dia letih sangat-sangat. Lagipun jadualnya sepanjang di Genting begitu padat. Beberapa jam sebelum bermulanya ABP dia meluangkan masa ditemubual oleh media dan menghadiri acara sampingan lain.

"Waktu tu, dia memang tidak sempat menjamah makanan. Hanya sempat sarapan saja. Pada pukul lima petang, dia terus bersiap pula untuk malam kemuncak ABP.

"Saya tanya sama ada dia lapar atau tidak, tetapi dia cakap dia ingin makan sewaktu di acara tersebut kerana ada makanan disediakan terlebih dahulu.

"Tetapi dia tak sempat makan juga kerana sibuk dengan hal lain. Mungkin kerana terlalu letih, Diana pitam sewaktu di 'post-party'," kata Norsiah.

Menurutnya, kesihatan Diana bagaimanapun tidak terjejas kerana dia mempunyai masa untuk berehat sebelum pulang ke kem latihannya petang nanti.

"Dia sepatutnya pulang pagi ini. Tetapi saya telah menghubungi komandan kem dan dia dibenarkan pulang lewat sikit hari ini," kata Norsiah.

kredit: mstar

0 comments:

Post a Comment