Dynaz keguguran

Ketika sedang meratap kehilangan bayi sulungnya itu yang belum sempat merasa belaian daripada seorang ibu, terubat sedikit kesedihan itu apabila dia menerima berita kemenangannya Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) yang berlangsung di Genting Highlands, Ahad lalu.

Tutur pelakon berusia 28 tahun ini, dia menganggap kemenangannya adalah rezeki anak yang dikurniakan oleh Allah. Dia sendiri sepatutnya berada di majlis anugerah itu, tetapi nampaknya keadaan tidak mengizinkan.

"Sebenarnya, sejak Isnin minggu lalu saya selalu rasa 'cramp' di perut. Kemudian saya mula mengalami sedikit pendarahan. Suami saya akhirnya membawa saya ke Pusat Perubatan Prince Court.

"Ketika itu, degupan jantung 'baby' amat lemah. Dan nampaknya, tuhan lebih sayangkannya. Tetapi bayi saya itu dapat dikeluarkan secara normal," kata Dynaz yang sebelum ini juga pernah mengalami keguguran pada tahun lalu.

Menurut Dynaz, bayi perempuan itu dikebumikan oleh ayah dan suaminya di Tanah Perkuburan Bukit Kiara pada hari yang sama, Jumaat lalu.

Akui pelakon filem Impak Maksima ini, pada awalnya dia sememangnya amat kecewa dengan keguguran itu. Namun, sokongan si suami, Mohd Hafizy Hafiz dan ahli keluarga yang lain membuatkan Dynaz akhirnya akur dengan takdir tuhan dan cuba berfikiran positif.

"Sudah tujuh bulan saya mengandungkannya, memang cukup pilu apabila doktor kata dia sudah tiada.

"Walaupun saya dan suami belum membeli persiapan bayi, tetapi kami sudah pun sediakan nama untuknya, iaitu Emma Malissa. Nama itu jugalah yang kami letakkan di batu nisannya.

"Saya tahu, suami juga sedih. Tetapi saya kagum dengannya yang pandai kawal emosi untuk cuba tenteramkan hati saya. Banyak juga mesej-mesej takziah yang saya terima dari rakan-rakan dan peminat.

"Ramai yang cakap saya masih muda dan boleh cuba dapat anak lagi. Terima kasih banyak-banyak kerana memahami keadaan saya.

"Banyak juga ucapan tahniah yang saya terima atas kemenangan saya di ABP tempoh hari," kata Dynaz yang ketika ini sedang menjalani pantang selama 44 hari.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment