Setelah kira-kira dua tahun menjalinkan hubungan cinta, Norman Abdul Halim, 37, dan pilihan hatinya, Shireen Mardziah Hashim, 44, selamat diijabkabulkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, malam tadi, hanya dengan sekali lafaz.
Majlis pernikahan penyanyi, pelakon dan juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios dengan pasangannya yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KRU International itu berlangsung di dalam suasana sederhana dengan disaksikan oleh kira-kira 500 tetamu.
Antara yang hadir ialah ibubapa Norman, Abdul Halim Kamal dan Zarina A W Fenner, adik-beradiknya; Yusry, Edry dan Halina serta ahli keluarga Shireen, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Turut hadir ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan isteri Cik Puan Muda Julita Aishah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta rakan-rakan artis seperti Mawi, Ekin, Maya Karin dan Datuk Shake.
Pada majlis bersejarah itu, Norman dinikahkan sendiri oleh bapa Shireen, Datuk Mohamed Hashim di hadapan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Mohamad Shukeri Yaacob.
Shireen menerima mas kahwin RM3,000 serta lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihaknya.
Ditemui sejurus berakhirnya majlis itu, Norman melahirkan rasa syukur kerana telah mengakhiri zaman solonya dengan wanita yang disifatkannya sebagai seorang yang cukup memahami.
"Masa berlalu sehingga saya sendiri tidak sedar. Bermula hanya sebagai artis, saya kemudiannya menjadi usahawan. Bila sibuk dengan kerjaya, saya lupa bahawa masa bergerak begitu pantas dan tidak berfikir tentang hal seperti ini (perkahwinan).
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dipertemukan dengan Shireen kerana dia seorang yang banyak membantu saya. Saya rasa tenang dan tenteram dengan dia. Kematangannya mengagumkan saya.
"Walaupun sebelum ini, saya sering digosipkan dengan ramai artis, tetapi saya memang sudah buat keputusan sejak bertahun-tahun dulu untuk berkahwin dengan wanita yang bukan terlibat dalam dunia hiburan," kata Norman yang memilih masjid itu sebagai lokasi majlis tersebut setelah membatalkan rancangan untuk bernikah di Sydney, Australia.
Ditanya tentang wang hantaran pula, kata Norman, tiada wang hantaran diberikan atas permintaan Shireen, namun, sambil tersenyum, Norman berkata:
"Saya hanya bagi sekeping hati yang ikhlas kepadanya."
Dalam pada itu, Shireen berkata, dia tertarik dengan sikap ikhlas dan memahami yang ada pada diri Norman.
Bagi Shireen, dia sendiri bersedia berdepan dengan pelbagai gosip kerana sedar lelaki pilihannya itu adalah seorang selebriti popular.
"Dalam sesebuah hubungan, kejujuran adalah amat penting. Kita tidak boleh percaya sesuatu gosip itu tanpa berbincang dengan suami terlebih dahulu," kata wanita yang dilahirkan di England ini.
Pasangan ini akan berangkat ke New Zealand esok (Sabtu) untuk berbulan madu selama seminggu
Mengimbas detik perkenalan pasangan ini, Norman mula mengenali Shireen di majlis pernikahan adiknya, Edry dan isteri, Milia kira-kira 11 tahun yang lalu. Milia merupakan sepupu kepada Shireen.
Namun, hubungan mereka hanya benar-benar serius sejak dua tahun lalu. Ini merupakan perkahwinan ketiga buat Shireen. Dia bagaimanapun tidak mempunyai cahaya mata menerusi dua perkahwinan terdahulu.
kredit:mstar
mari masak...
14 years ago
0 comments:
Post a Comment