Transformasi diva ke chef









PARA peminat Datuk Siti Nurhaliza sudah terbiasa melihat tangannya memegang mikrofon untuk mengalunkan lagu merdu.

Pernah tak melihat penyanyi kesayangan ramai ini 'bermain' dengan periuk belanga sambil tangannya tangkas memasak pula?

Tak ada lirik lagu yang perlu Siti hafal. Kali ini penyanyi manis ini memberi tips memasak dan resipi masakan.

Lihatlah bagaimana seorang diva berjaya mentransformasikan diri daripada seorang penyanyi kepada chef dalam program masakan, 'Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza".

Program masakan terbitan Global Station Sdn Bhd sebanyak 15 episod itu bakal menemui penonton sepanjang Ramadan ini iaitu bermula 21 Ogos ini setiap Rabu, Khamis dan Jumaat pada jam 11 pagi di saluran TV1.

Berkesempatan melihat set penggambaran program masakan tersebut di kediaman agamnya di Bukit Antarabangsa, terbit rasa kagum terhadap isteri usahawan Datuk Khalid Mohd.

Rupa-rupanya, Siti adalah diva baik di pentas mahupun di dapur! Lebih luar biasa, Siti tidak kekok langsung dan kerja memasak ini dikuasainya seperti seorang yang sudah mahir ke dapur .

Aroma lazat yang mengisi ruang udara menusuk hidung sehingga berkeroncong perut kru dan sesiapa sahaja di dapur ketika itu yang teringin sekali mencuba masakan Siti.

Buah tangan Siti yang lain termasuklah 'Sup Cendawan Purnama Merindu', 'Ikan Bawal Cili Padi Kau Kekasihku', 'Ayam Tiram Serai Badarsila' dan 'Ikan Patin Tempoyak Ku Mahu'.

Ketika penggambaran masakan itu dilakukan, Siti berpakaian kurung berona biru, hijau dan kuning dengan bertudung longlai menutupi rambut hitam bersanggul kemas rapi.

Tidak keterlaluan dikatakan Siti adalah chef yang paling cantik di dapur. Bukan itu sahaja. Dia pandai berinteraksi dengan penonton.

Seperti kata Chef Zam yang memantau masakan Siti, "Siti menjadikan dapur umpama satu pentas persembahannya. Dia menghidangkan lagunya dalam bentuk masakan."

Mana tidaknya, nama 'Pancawarna' yang digunakan bersama Tom Yam itu sebenarnya adalah nama salah satu album Siti.

Menjadikan program masakannya lebih personal, Siti menyelitkan kisah hidupnya dalam membentangkan resipi masakannya.

Misalnya, semasa memperkenalkan hidangan pencuci mulut 'pulut durian seribu kemanisan', Siti mengisahkan suami tercintanya mampu memakan sebiji durian seorang diri.

"Keluarga saya suka sangat makan durian. Semasa makan durian, saya akan terkenang nostalgia masa kecil. Masa itu, rumah saya berdekatan dengan kebun durian.

"Apabila berpindah ke Kuala Lumpur, saya dah jarang makan durian sehinggalah berkahwin dengan Datuk Khalid.

"Bagaimanapun, saya perlu menghadkan pemakanan durian untuk menjaga suara," katanya secara spontan semasa mengimbau nostalgia lampau.

Perkongsian kisah hidup serta tip masakan menjadikan Siti 'diva' di pentas mahupun di dapur!

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment