saluran khas 'SITI' di astro



sempena meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-52, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza diberikan penghormatan oleh Astro dengan menampilkan saluran khas 'SITI' yang boleh disaksikan secara percuma di saluran 188.

Selama dua hari tanpa henti bermula 30 Ogos ini pada pukul 8 malam sehingga 31 Ogos, jam 11.59 malam, saluran istimewa SITI ini bakal menyiarkan rakaman konsert Satu Datuk Siti Nurhaliza yang telah diadakan di Istana Budaya pada Jun lalu sebagai siaran utamanya.

Turut akan ditayangkan menerusi saluran itu ialah Konsert Siti Nurhaliza Fantasia dan video muzik penyanyi tersohor itu.

"Saya memang terharu sangat kerana dalam ramai-ramai artis, saya yang dipilih oleh Astro untuk bekerjasama bagi menghasilkan saluran SITI ini. Bagi saya, saluran ini memang amat istimewa kerana buat pertama kalinya, konsert Satu akan ditayangkan di televisyen.

"Bagi saya, konsert itu memang 'kena' dan bersesuaian dengan Hari Kemerdekaan kerana sedikit sebanyak ia turut menyahut seruan 1Malaysia.

"Apapun, saya memang bersyukur kerana ini merupakan satu penghargaan dan pencapaian yang baik dalam karier saya," kata Siti pada satu temubual khas bersama media di Astro, semalam.

Menurut Siti, walaupun saluran istimewa itu hanya menemui penonton selama dua hari, namun, katanya, ia sedikit sebanyak mampu menjadi platform yang baik untuk sebarang perancangan lain pada masa depan.

"Kalau ikutkan, memang syok ada saluran sendiri sepanjang masa. Tapi macam syok sendirilah pulak...Tapi kalau ada tawaran, apa salahnya kan. Bukannya apa, kalau ada saluran sendiri, banyak yang boleh dikongsi dengan penonton

"Lagipun saya sendiri ada menerbitkan program sendiri, mungkin boleh buat 'gameshow'...macam-macamlah. Apapun, saya sudah cukup gembira dengan saluran khas selama dua hari ini.

"Bagi saya, ini adalah satu permulaan," tutur Siti yang menambah, kandungan program di dalam saluran itu merupakan perbincangan bersama antara dia dan pihak Astro.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, idea untuk menghasilkan saluran istimewa itu tercetus kerana merasakan ia bersesuaian dengan bulan kemerdekaan.

"Kita memang dari awal lagi memilih Siti setelah melihat kejayaan konsert SATU tidak lama dulu. Dan konsert itulah yang akan menjadi siaran utama dalam saluran ini selain program-program lain.

"Memandangkan juga Hari Kemerdekaan disambut dalam bulan Ramadan, kami kena mengambilkira banyak perkara.

"Kami merasakan saluran SITI ini memang sesuai untuk Ramadan kerana masa siarannya juga fleksibel untuk penonton pilih.

"Malah, selain konsert SATU, kami juga akan menyiarkan Konsert Fantasia Tour Siti di Bukit Jalil pada tahun 2004 di samping video muziknya berselang-seli secara bonus.

"Ini adalah hadiah istimewa Astro kepada pelanggan-pelanggan setia kami," kata Khairul yang menambah, program-program dalam saluran itu akan diulangtayang mengikut jadual yang ditentukan.

Ditanya sama ada idea ini mungkin akan diteruskan dengan membabitkan artis-artis lain pula kelak, kata Khairul, semuanya bergantung kepada acara dan artis itu sendiri.

"Kita kena lihat kepada kapasiti yang kita ada...bergantung kepada artis dan acara itu sendiri. Jika kita merasakan ia sesuai, kita akan ketengahkah," tambahnya lagi.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment