Penyanyi Jamal Abdillah gagal menghadirkan diri ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi perbicaraannya yang didakwa mengugut isterinya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana sakit.
Fatimatuzahra berkata dia redha dengan keputusan mahkamah pada 28 Julai ini selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menarik balik kes.
“Saya memang nak tarik balik kes demi anak, Ahmad Zaki Yamani sebab anak saya semakin membesar dan bukan kerana Jamal,” jawabnya yang turut menafikan dia tiada niat untuk merujuk semula dengan suaminya itu.
Pada 23 April dan 3 September 2008 Fatimatuzahra telah menghantar dua pucuk surat kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya di Selangor untuk memohon supaya pertuduhan terhadap Jamal ditarik balik.
Namun mahkamah pada 20 Februari lalu dimaklumkan oleh pendakwaan bahawa surat representasi Jamal dan Fatimatuzahra telah ditolak Jabatan Peguam Negara.
Jamal terpaksa melalui proses perbicaraan setelah surat representasi yang dihantar Jamal bersama isterinya, Fatimatuzahra Samad selaku pengadu agar pertuduhan itu dipertimbangkan telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara.
Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidullah Ali, 48, didakwa telah mengugut Fatimatuzahra Samad, 26, menerusi SMS.
Dia didakwa menghantar kata-kata ugutan daripada nombor 013-3088080 ke nombor 017-3887258 pada pukul 7.44 pagi 30 April 2007.
SMS itu berbunyi: "Tunggu dan lihat apa akan terjadi."
Jamal yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 30 Ogos 2008, Fatimatuzahra telah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 11 di sini yang mengandungi penjelasan kepada laporan polis pertama yang dibuat sejurus selepas kejadian.
Fatimatuzahra dalam laporan polisnya menyatakan, dia telah tersalah anggap hingga menyebabkan suaminya didakwa di mahkamah pada 21 April 2008. Walhal Jamal, menurut pengadu langsung tidak berniat jahat terhadapnya.
Ditanya tentang perkembangan kes cerainya dengan Jamal, wanita berusia 26 tahun ini berkata dia hanya menunggu keputusan dari mahkamah.
“Saya hanya tunggu keputusan dari mahkamah sebab saya fikir saya mempunyai hak sebagai seorang isteri. Terpulanglah samada jatuh (talak) atau tidak.
“Saya tak pernah minta cerai jadi sebab itu saya bawa kes ini ke tengah untuk mendapatkan keadilan,” jelasnya.
Jamal berkahwin dengan Fatimatuzahra pada Disember 2005 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Zaki Yamani, 2.
Fatimatuzahra dalam keterangannya pula berkata, dia terkejut apabila Jamal tiba-tiba melafazkan cerai itu ketika berada di dalam kereta 15 Mei 2007.
kredit:mstar
0 comments:
Post a Comment