Eira, pilih karier lupakan soal cinta

Jika dulu tiada siapa yang mahu mengambil tahu apa yang dilakukan Eira Syazira, kini situasinya berbeza sekali. Sejak mula diperkenalkan melalui drama Meniti Bara terbitan Skop Production dan kemudiannya dikenali ramai melalui drama bersiri Ku Milikmu, pelakon cantik ini mula merasakan bahangnya.

Malah Eira pernah dituduh sebagai perampas suami salah seorang pelakon. “Bila gossip ini keluar, saya terus berjumpa dengan pelakon tersebut dan menjelaskan situasi sebenar. Saya tidak mahu dia salah faham atau percaya dengan gosip ini. Bila saya tengok dia okay dan faham situasi sebenarnya, barulah saya lega,” luahnya kesal.

Menurut pelakon yang telah beraksi dalam lebih 40 buah drama dalam tempoh lima tahun ini, soal cinta dan rumahtangga bukan dalam perkiraannya saat ini. Mengakui melalui jalan yang sukar untuk mencari tapak dalam bidang seni, Eira tidak mahu mensia-siakan apa yang diperolehinya kini.

Saya baru bermula. Cita-cita saya masih jauh lagi untuk digapai. Justeru, saat orang membuka peluang kepada saya untuk mengejar cita-cita itu, tentu sahaja saya tidak akan menolaknya. Jadi, perkara-perkara lain (cinta) bukan menjadi keutamaan saya buat masa ini. Saya tidak mengejar mana-mana lelaki, suami orang apatah lagi. Apa yang saya kejar saat ini ialah peluang yang berterusan untuk kembangkan bakat lakonan saya. Jika peluang itu terhenti, susahlah saya untuk meneruskan kerjaya yang cukup saya senangi ini,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran drama rantaian Embun dan Mutiara di Restoran Lemon baru-baru ini.

Selain aktif dalam bidang lakonan, anak kedua dari enam beradik ini mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Bermodalkan wang hasil titik peluhnya dalam bidang lakonan, Eira dan keluarga bersepakat untuk mengusahakan kedai makan di sebuah pusat membeli belah terkenal di Putrajaya. Industri seni ini kan ada pasang surutnya, jadi itu persiapan Eira untuk masa depan. Kedai makan itu yang berkonsepkan masakan Kelantan itu diusahakan bersama keluarga dan ibu Eira sendiri yang bertindak sebagai tukang masaknya. Alhamdulilah, setakat ini sambutannya cukup baik sekali dan Eira harap ia menjadi permulaan untuk kami melangkah lebih jauh lagi dalam bidang ini,” katanya.

kredit:karangkraf/dara.com

0 comments:

Post a Comment