Fizo Omar dulu pemain bola sepak profesional








Baru berusia setahun dalam industri seni tetapi telah popular lebih awal sebelum waktunya. Tetap mesra dan mudah bekerjasama. Ayuh kita lihat dengan lebih dekat diri Wan Hafizol Wan Omar atau lebih dikenali sebagai Fizo Omar tentang karier dan perancangan masa hadapannya. Karier sebagai pemain bola sepak Jauh sebelum mula dikenali, Fizo Omar mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dengan apa yang dilakukannya sekarang. Dia sebenarnya adalah pemain bola sepak profesional.

Sejak dari kecil lagi, dia sudah terlibat secara serius bermain bola sepak ke peringkat negeri dengan mewakili Kelantan. Kemudian terpilih juga dalam beberapa kejohanan peringkat umur sehinggalah berjaya mewakili Malaysia bawah 16 tahun dalam Kejohanan Piala Nike yang diadakan di Korea Selatan.

“Apabila menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, saya terpilih juga mewakili Perlis bagi skuad Piala Presiden dan Liga Super. Ia juga menjadi kenangan manis buat saya apabila berjaya memenangi Piala Malaysia pada tahun 2005.” Ujar Fizo yang bermain di posisi tengah dan pertahanan. Tamat pengajian, dia beralih angin ke Kuala Lumpur dan mewakili pasukan TNB dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga merupakan pasukan terakhirnya.

Kemudian dia tidak lagi bermain bola sepak. Mengapa ya? “Saya tidak lagi bermain bola sepak kerana secara tidak langsung sudah terlibat dalam bidang peragaan dan lakonan. Ini semua adalah kerana seorang rakan yang telah menghantar gambar saya ke agensi modeling dan kemudian mendapat banyak tawaran iklan komersil dan beberapa tawaran lakonan.

Juga dalam masa yang sama, saya telah menyertai pencarian Hero Remaja anjuran majalah Remaja terbitan Kumpulan Karangkraf.” Jelas Fizo yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan itu. Jelasnya, bukan dia tidak berminat lagi dengan bola sepak, tetapi memandang jauh akan masa hadapan supaya kehidupannya nanti lebih terjamin.

Tidak menafikan dengan bermain bola sepak boleh hidup mewah tetapi semua itu akan berakhir apabila seseorang pemain itu mendapat kecederaan yang serius dan tidak boleh bermain lagi. Oleh itu, Fizo mengambil keputusan untuk berhenti bermain bola sepak secara serius dan menumpukan kepada bidang seni yang semakin terbuka luas untuknya.

kredit:karangkraf/maskulin

0 comments:

Post a Comment