Black-juara Mentor musim ketiga



Protege kepada penyanyi dangdut Mas Idayu, iaitu Hanifah Md.Hanafiah atau Black menepati ramalan ramai apabila muncul sebagai juara Mentor musim ketiga, pada peringkat akhir program itu yang berlangsung di Auditorium MBSA, di sini, malam tadi.

Peserta berusia 22 tahun itu berjaya memungut peratusan tertinggi iaitu 75 peratus sekaligus membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva, manakala mentornya, Mas Idayu juga meraih RM100,000.

Camellus De'lelli Anam atau Chaq bersama mentornya, Ajai, pula muncul sebagai pemenang tempat kedua dengan markah sebanyak 52.8 peratus dan masing-masing berjaya meraih wang tunai sebanyak RM30,000.

Chaq yang sepatutnya tersingkir minggu lalu kerana menerima peratusan terendah telah diberi peluang untuk kembali beraksi di pentas akhir, dan ternyata tuah tetap menyebelahinya apabila merangkul tempat kedua program ini.

Black yang sentiasa menerima markah tertinggi saban minggu, terus mempamerkan persembahan hebat menerusi lagu medley Jeritan Batinku, Jangan Kau Mimpi dan Nakal; Aku Rindu Sayang Kamu (lagu baru ciptaan Uzai) serta Di Alam Fana Cinta dan Sinar yang merupakan duet bersama Mus dan Shamrin.

Chaq pula menyampaikan lagu baru ciptaan Ajai sendiri, Penjelasan 1per1, medley Tapi Bukan Aku dan Revolusi serta duet bersama adiknya, Stacy AF6 menerusi lagu Aku Cinta Aku Rindu, Jai Ho dan Boom Boom Pow.

Fira telah membawakan lagu Atas Nama Cinta, Mentera Semerah Padi dan Joget Berhibur; duet bersama juara Gang Starz musim kedua, One Nation Emcees menerusi lagu Hurt, Spin Me Right Around dan Don't Stop The Music serta sebuah lagu baru ciptaan Sharon Paul berjudul Bukan Niatku.

Dalam pada itu, Black yang ditemui pada sidang media sejurus berakhirnya program itu melahirkan rasa bersyukur dengan kemenangannya itu.

"Saya berterima kasih kepada keluarga dan penyokong yang membawa saya hingga ke tahap ini, serta kepada Mummy (Mas Idayu) yang memilih saya sebagai protege atas dasar bakat.

"Insya-allah, saya akan cuba menjadi seorang penghibur yang serba boleh dan akan turut mengambil kira apa yang penyokong atau peminat mahukan," kata Black yang juga akan mengikat kontrak bersama syarikat rakaman Monkey Bone selama setahun.

Mentornya, Mas Idayu juga menyuarakan perasaan gembiranya setelah menyaksikan kejayaan Black, meskipun sepanjang tempoh tiga bulan mendidik protegenya itu, ada pihak yang mempersoalkan teknik pengajarannya yang menggunakan rotan.

"Nampaknya berbaloi apa yang saya buat ini, iaitu menggunakan cara orang-orang tua mengajar anak-anak mereka dengan menggunakan rotan. Saya sendiri sebenarnya ada berjumpa bapanya dan bertanya sama ada dia setuju saya mendidik Black dengan gunakan rotan.

"Tetapi keluarganya tidak kisah apa yang saya buat ini kerana sampai sekarang pun, Black masih dididik seperti itu.

"Apapun, halatuju saya dalam Mentor ini ialah untuk jadikan Black sebagai juara, selain ingin melihat dia menjadi peserta yang serba boleh. Dan terbukti dia mampu lakukan.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment