Ozlyn dan Johan selamat bernikah




Sabtu lalu bersamaan 25 Julai, dengan sekali lafaz pasangan ini selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri apabila melangsungkan pernikahan secara tertutup di Masjid Lembah Jaya, Ampang, selepas solat Asar.

Dari awal lagi Johan dan Ozlyn tidak mahu mengalu-alukan kehadiran wartawan ke majlis pernikahan atas alasan permintaan keluarga. Bagaimanapun, mereka berjanji memberikan gambar pernikahan mereka kepada wartawan selepas selesai majlis.

Ozlyn ketika dihubungi semalam, terlebih dahulu memohon maaf kerana terpaksa merahsiakan lokasi pernikahan sekali gus melarang wartawan membuat liputan.

"Alhamdulillah, saya amat lega kerana semuanya selamat. Walaupun pada awalnya ada beberapa masalah timbul, namun pada saat majlis dilangsungkan semuanya berjalan lancar.

"Saya mewakili keluarga mohon maaf kepada semua saudara-mara termasuk pihak media kerana tidak dapat mengundang mereka ke majlis penikahan kami kerana majlis ini hanya untuk keluarga kedua belah pihak yang dihadiri orang tua dan adik-beradik kami.

"Lagipun, ini cuma majlis pernikahan dan kami berdua mempunyai keluarga besar. Jadi, dengan kehadiran mereka saja, majlis kami sudah menjadi sesak. Sebab itulah keluarga memutuskan agar majlis pernikahan ini dibuat untuk keluarga kami saja.

"Insya Allah pada 26 September nanti, kami akan mengadakan majlis resepsi dan pada majlis itulah semua saudara-mara akan diundang termasuklah pihak media," katanya.

Akui Ozlyn yang kini terbabit dengan penggambaran drama bersiri, Akademi Boleh, dia lega kerana selepas setahun menjalinkan hubungan, mereka akhirnya sah bergelar suami isteri.

Apatah lagi, timbul pelbagai cerita kurang enak membabitkan mereka sebelum ini antaranya aksi berpelukan di khalayak ramai hingga mengundang sensitiviti masyarakat di negara ini.

kredit:hmetro

0 comments:

Post a Comment