Roslin tuntut RM50,000

Pemain badminton negara, Roslin Hashim, 34, merancang mengemukakan saman RM50,000 terhadap bekas isteri yang dikahwininya 12 hari sebagai tuntutan ganti rugi terhadap belanja dan kos perkahwinan yang dikeluarkan sebelum ini.

Dia yang dihubungi Harian Metro semalam berkata, hasrat berkenaan berikutan keinginan menuntut kembali haknya sepanjang melayari perkahwinan singkat itu.

Menurutnya, saman berkenaan akan difailkan sejurus dia memperoleh surat pembatalan pernikahan yang kini belum dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di sini.

“Saya tidak berdendam dan marah dengan kemelut yang pernah menjadi isu besar sehingga membawa kepada perceraian, sebaliknya hanya mahukan hak saya dikembalikan. Yang lepas biarlah lepas, namun saya tetap dengan pendirian itu tanpa dipaksa sesiapa,” katanya yang enggan mengulas secara panjang lebar.

“Akibat kelewatan surat pembatalan pernikahan itu, saya terpaksa menangguhkan proses memfailkan saman terhadap bekas isteri,” katanya.

Sebelum ini, difahamkan mahkamah meminta Roslin menyerahkan dokumen perkahwinan sah untuk membolehkan proses mengeluarkan surat pembatalan pernikahan dibuat.

Bagaimanapun, ia tertangguh sementara berikutan dia hanya menyerahkan surat dokumen perkahwinan sementara kerana belum menerima dokumen asal yang diperlukan mahkamah.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya melalui peguam, menyerahkan dokumen itu untuk mempercepatkan proses mendapatkan dokumen pembatalan pernikahan tapi kecewa kerana ia belum dapat diselesaikan hingga kini,” katanya.

Ditanya sama ada keinginannya mendapatkan segera surat itu ada kaitan dengan hasrat untuk berkahwin kali kedua, Roslin enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada takdir Ilahi.

“Masih terlalu awal untuk membincangkan soal itu (perkahwinan kali kedua) kerana saya mempunyai banyak perkara mustahak lain yang perlu diuruskan saat ini,” katanya.

kredit:hmetro

0 comments:

Post a Comment