Farid Kamil kecewa Remp-It V3 diharamkan


PADA awalnya, pelakon berbakat besar ini akui cukup teruja menantikan filem sulung arahannya, Remp-It V3 ditayangkan di pawagam kelak.

Bukan selalu dia diberi peluang untuk menjadi seorang pengarah, dan lantaran itu, Farid Kamil cukup teliti akan produk sulungnya itu untuk memastikan kepercayaan yang diberikan oleh penerbitnya, David Teo tidak disia-siakan begitu saja.

Namun, impian jejaka berusia 27 tahun ini untuk melihat respon penonton terhadap filem aksi yang memaparkan tentang lumba haram itu mungkin tidak kesampaian.

Dalam nada kecewa, Farid yang ditemui di lokasi penggambaran klip video lagu tema filem Estet di Sungai Buloh semalam, berkata, pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tidak membenarkan filem tersebut ditayangkan kerana paparan visual lumba haram yang banyak.

"Kami hantar filem itu untuk dinilai kira-kira dua minggu lalu. Sejujurnya, saya memang sudah rasa tidak sedap hati sebelum itu.

"Pada hari yang sama juga, keputusan tersebut diperolehi dan saya memang amat terkejut serta kecewa apabila mendapat tahu filem ini tidak boleh ditayangkan.

"Menurut mereka, sekarang ini ada undang-undang baru yang tidak membenarkan visual aksi lumba haram serta dialog yang berkaitan dimasukkan di dalam filem. Tambahan pula, filem itu menampilkan kira-kira 60 peratus tentang lumba haram.

"Saya cuba yakinkan pihak berkenaan bahawa filem ini mempunyai mesej tertentu yang ingin disampaikan, tetapi nampaknya mereka tidak dapat terima alasan itu. Saya sedih sebenarnya filem ini disalahertikan.

"Lagipun, sewaktu filem ini ingin memulakan penggambaran dulu, kita sudah mendapat kelulusan LPF serta pihak-pihak tertentu.

"Bila jadi macam ni, mestilah saya kecewa, apatah lagi setelah bertungkus-lumus untuk menyiapkannya," kata Farid dalam nada perlahan.

Menurut Farid lagi, pihak Metrowealth ada membuat rayuan supaya filem ini dapat dilepaskan untuk tayangan. Namun, ketika ini, belum ada keputusan tentang perkara itu.

"Rayuan pertama yang dibuat telah ditolak. Pihak Metrowealth masih cuba membuat rayuan, tetapi saya sendiri tidak pasti macam mana nasib filem itu...mungkin juga akan ditayangkan kelak, tetapi tak tahulah.

"David Teo bagaimanapun memahami hal ini dan minta saya bersabar. Apa yang boleh saya katakan, saya memang benar-benar sedih. Kalau nak buat semula pun, tak tahulah macam mana untuk diubah,"

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment